MESRA dipanggil ‘bonda’  tiada garis pemisah malah hubungan yang terjalin erat ibarat ibu dan anak.

Itulah bekas pendidik Sekolah Kebangsaan Tunku Kurshiah, Kuala Pilah di era 1970-1978 yang amat dikagumi dalam kalangan anak murid.

Mahaya Mohd Yassin, 67, menganggap gelaran itu sebagai ikatan erat hubungannya bersama anak didik.

Panggilan bonda tidak terhenti setakat itu sahaja, malahan turut melekat pada pelajarnya ketika menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Raja Melewar.

“Di zamannya dahulu, guru dianggap ibu pada diri mereka. Rasa hormat mereka kepada guru amat tinggi. Begitu juga dari segi keakraban dan rasa kasih sayang antara satu sama lain yang sungguh mendalam.

“Apabila dipanggil ‘bonda’ saya merasakan mereka adalah anak-anak saya. Ada rasa kasih dan sayang di situ. Tidak ada garis pemisah.

“Malahan, ibu bapa  memberi kepercayaan penuh kepada kami sebagai guru untuk mendidik anak mereka walau bagaimana cara sekalipun. Atas sebab itu, kesungguhan mereka untuk belajar bagi menimba ilmu daripada seorang yang bergelar guru memang amat luar biasa.

“Dahulu, tiada tempat atau sumber lain untuk murid menimba ilmu melainkan guru, berbanding kini,” katanya.

Akrab sehingga murid beri bekal makanan

“Saya masih ingat, ada seorang anak murid saya. Nama dia Mei Lin, sanggup bawa bekal makanan dan kuih muih untuk saya. Saya pernah tanya dia, kenapa bagi saya, kemudian dia menjawab, saya bawakan khas untuk bonda.

“Waktu itu, memang saya terharu sangat, kerana tidak menyangka anak murid melayan saya begitu sekali.

“Bila tiba Hari Guru pula, memang banyak hadiah saya terima. Bermacam-macam seperti pinggan mangkuk, tisu dan sebagainya. Sampaikan saya terpaksa naik teksi angkut hadiah-hadiah yang diterima untuk pulang ke rumah di Terachi.

“Memang rasa hormat mereka begitu tinggi kepada guru-guru kerana di zaman dulu, gurulah tempat mereka menimba ilmu.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan pernah berhadapan dengan anak murid yang tidak suka dengan cara kita memberi layanan lebih kepada murid lain. Dalam erti kata lain ‘jealous’ tetapi saya mengambil pendekatan positif dengan cuba tackle kembali agar mereka tidak berterusan sebegitu,” katanya.



Datuk Norhayati Omar antara anak didiknya

Memang ramai dalam kalangan anak didiknya sudah berjaya dan memiliki profesion tinggi.

“Saya amat suka melihat kejayaan mereka, ada yang menjadi doktor, peguam dan ada juga yang menjadi Ahli Yang Berhormat (YB). Datuk Norhayati Omar antara anak didik saya, ketika mengajar di Sekolah Kebangsaan Tunku Kurshiah, Kuala Pilah.

“Jika berjumpa dengannya, memang tidak sah lagi, beliau akan cakap saya guru dia masa zaman sekolah dahulu. Saya amat terharu kerana ada anak didik yang masih ingat akan diri ini,” katanya.


Masih erat hubungan dengan bekas anak didik

Walaupun masa bersilih ganti, hubungannya dengan bekas anak didik masih erat dan sentiasa terjalin.

“Perjumpaan alumni menjadi platform untuk kami bersua kembali setelah sekian lama. Ada sesetengah perjumpaan itu dibuat di rumah anak didik saya sendiri dan sebagainya. Begitu juga jika ada kenduri-kendara.

“Apabila bersua kembali, banyak cerita dapat dikongsi bersama termasuklah perihal kerjaya masing-masing. Kebanyakan anak didik saya sudah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

“Syukur apabila mengetahui kejayaan mereka. Ada anak didik saya ketika dia di Tingkatan 6, di Kolej Tunku Kurshiah berkata dia mahu jadi seperti saya yang aktif menulis apabila dewasa nanti. Akhirnya, saya melihat dia berjaya dan menjadi seorang editor,” katanya.

 


Masih aktif mendidik generasi baharu menerusi penulisan

Sudah 11 tahun bersara, namun memorinya sebagai pendidik tidak pernah terpadam. Malah terus bergiat aktif dalam penulisan buku menjadi bukti kuatnya ingatan beliau. Perkhidmatan terakhirnya 20 tahun yang lalu adalah di Maktab Perguruan Raja Melewar.

“Hobi saya masih seperti dahulu. Meskipun tidak lagi mengajar tetapi kerjaya yang saya lakukan kini tidak lari dari pendidikan.

“Ajar, didik, kita mesti ada ilmu, baru boleh memberikan input yang terbaik, dan ia memberi keseronokan bukan sahaja pada diri sendiri tetapi untuk generasi baharu.

“Walaupun saya sudah bersara, tetapi jiwa sebagai seorang pendidik itu masih ada. Sekali jadi guru, selamanya menjadi guru,” katanya yang kini memegang jawatan Ketua 1 Persatuan Penulis Negeri Sembilan.