Kaedah pembelajaran abad ke-21 (PAK21) yang menyeronokkan menjadi pilihan guru masa kini kerana ternyata berjaya menarik perhatian murid untuk memberi tumpuan penuh kepada pengajaran selain penyampaian ilmu yang lebih mudah serta berkesan.

Perkembangan ini membuatkan lebih banyak strategi pengajaran dan pembelajaran muncul dan antara yang popular ‘Flipped Classroom’ diaplikasikan guru Subjek Biologi dan Sains, SMK (L) Methodist, Sentul, Cikgu Stephen Isaac.

Cikgu Stephen Isaac

Flipped Classroom merupakan model pendekatan pengajaran yang mengalihkan masa kuliah di dalam kelas kepada kuliah melalui video di luar kelas.

Maka waktu kelas digunakan sepenuhnya untuk aktiviti kolaborasi dan pengukuhan kepada pelajar secara individu.

Dalam erti kata mudah, pelajar diberi video untuk ditonton sebelum masuk kelas. Di dalam kelas, hanya berlangsung sesi pembelajaran dengan aktiviti.

Kaedah ini memberi lebih masa kepada guru untuk membimbing pelajar dalam aktiviti inkuiri dan penyelesaian masalah (inquiry-based and project-based learning) yang dapat mengukuhkan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) pelajar serta membolehkan guru melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dengan lebih efektif.

Kaedah 'Flipped Classroom' yang diaplikasikan dalam kelas membuatkan Cikgu Stephen disenangi pelajarnya

Aktif menggunakan kaedah ini, Cikgu Stephen dipilih antara penerima saguhati Anugerah Adiwira PAK21 yang dianjurkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau mula menggunakan amalan terbaik PAK21 ini pada awal Januari 2019. Kesannya, pembelajaran kelas lebih berpusatkan kepada pelajar.

Menurut guru yang berasal dari Kuala Lumpur ini, melalui kaedah ‘Flipped Classrom’,  tumpuan kepada aktiviti dapat diberikan dan pelajar juga mampu memberikan hasil carian mereka dengan lebih berkesan.

"Amalan ‘Flipped Classrom’ membolehkan 'differentiated learning' (kepelbagaian pembelajaran) berlaku, guru dapat mengajar setiap kumpulan pelajar tersebut mengikut tahap kemampuan mereka.

"Tumpuan lebih menyeluruh pula dapat diberikan kepada pelajar yang lemah," katanya.

Platform media sosial

Jelas Cikgu Stephen lagi, amalan tersebut memerlukan pelajar menggunakan platform media WhatsApp, YouTube dan Instagram dalam pembelajaran yang secara tidak langsung melahirkan minat dan rasa teruja setiap kali kelas bermula.

“Amalan Pak21 ini dapat membentuk kemenjadian murid (meaningful learning). Murid bukan sekadar mendapat ilmu daripada buku, tetapi juga ilmu dari luar bilik darjah, seterusnya ia boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian pelajar.

“Reaksi pelajar pula sangat mengagumkan… mereka diberikan kebebasan untuk 'explore' pembelajaran mereka sendiri. Malah, mereka juga seronok kerana dapat menggunakan platform media sosial seperti Instagram dan YouTube dalam pembelajaran. Kaedah ini bukan sahaja menyeronokkan, bahkan mereka menjadi lebih aktif dalam kelas,” ujarnya.

Cikgu Stephen mempunyai hubungan yang akrab dengan pelajarnya

Reaksi ibu bapa

Bercerita lanjut tentang reaksi ibu bapa dan warga pendidik, Stephen memberitahu, beliau mendapat respon positif daripada ibu bapa pelajar dan warga sekolah. Ada antara ibu bapa menghantar mesej kepadanya, mengatakan anak-anak mereka lebih aktif dalam pembelajaran, selain menjadi seorang yang positif.

“Warga sekolah sangat 'supportive', dan mereka juga turut mengaplikasikan amalan ini dalam pengajaran. Pada awalnya memanglah agak mencabar kerana memerlukan anjakan paragdima dari segi teknik pengajaran. Begitu juga halnya dengan pelajar, tidak mudah untuk mengubah kaedah pembelajaran traditional kepada kaedah yang bertumpukan mereka.

“Cabaran dan dugaan itu hanyalah 'mindset' pelajar itu sendiri. Mereka terlalu biasa menerima maklumat daripada guru, dan tidak diberi peluang untuk mencari maklumat sendiri sebelum bermulanya kelas. Apapun, saya yakin lama-kelamaan, mereka akan menjadi terbiasa dan lebih positif,” katanya.

Stephen turut berharap, pelajarnya akan menjadi seorang insan yang berjaya dari segi IQ dan kemenjadiannya sebagai seorang manusia.

“Saya dapat lihat, kaedah ini berupaya membantu mereka untuk menjadi seorang yang berdikari dalam pembelajaran, seterusnya dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari itu di luar bilik darjah. Selain membentuk semangat kekitaan yang lebih baik dan juga keyakinan diri yang tinggi dalam diri,” ujarnya.

Tambah guru muda ini lagi, reaksi yang diberikan oleh pengetuanya juga sangat positif dan membina. Beliau sendiri gembira melihat impak yang dibawa oleh amalan PAK21 ini.

“Pengetua sentiasa menyokong usaha yang saya ambil untuk menjalankan amalan PAK21 ini di dalam bilik darjah. Selain dapat membantu pelajar, saya juga turut membantu guru-guru lain mengimplementasikan amalan ini mengikut keperluan bidang masing-masing,” katanya.

Guru yang baru lapan tahun bergelar pendidik ini berkata, kerjaya perguruan ini suatu yang mulia, mencabar dan menyeronokkan.

Katanya, bukan semua orang boleh menjadi seorang guru, tanpa semangat untuk mengajar, ia hanya menjadi suatu pekerjaan untuk mendapatkan gaji bulanan semata-mata.

Profil:

Nama: Stephen Isaac

Sekolah: SMK (L) Methodist, Sentul, Kuala Lumpur

Subjek: Biologi dan Sains

Kelulusan: Sarjana Muda Pendidikan Dengan Sains (Major Biologi) di Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Amalan Terbaik: Amalan Flipped Classroom.

Anugerah:

Saguhati Adiwira PAK21, Kempen Guru PAK21

Anugerah Penceramah PAK-21 Flipped Classroom peringkat Negeri (Wilayah Persekutuan)