SIAPA sangka remaja 14 tahun, Syukor Khamis yang mendapat jolokan sebagai Mowgli Malaysia kerana keakrabannya dengan sekumpulan kerbau  ternakan bapanya, kini bergelar pelakon.

Biarpun tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam bidang seni, Syukor melihat penglibatannya dalam bidang lakonan ini sebagai peluang untuk mencuba  bakat sekali gus menimba pengalaman baru dalam hidupnya.

Jika sebelum ini, anak bongsu daripada lapan beradik ini pernah  tampil dalam sebuah filem pendek Raya Di Hujung Tanduk yang disiarkan sempena Aidilfitri lalu, terkini dia tampil memegang watak utama menerusi telefilem Budok Kuba.

Telefilem yang turut menyaksikan gandingannya bersama pelakon terkenal, Wan Hanafi Su, Datuk Fizz Fairuz dan Emelda Rosmila itu telah mendapat sambutan yang cukup positif daripada penonton selepas disiarkan di Astro Citra, Sabtu lalu.

“Saya sebenarnya tak sangka dapat berlakon kerana tidak pernah terfikir tentang perkara itu  sehinggalah ada wakil pihak produksi yang datang ke kampung dan bertemu ayah untuk memberikan tawaran tersebut.

“Memandangkan ceritanya berkaitan kerbau, saya OK sahaja  untuk mencuba. Apatah lagi penggambarannya pun tidak melibatkan masa yang lama di mana ia hanya mengambil masa selama seminggu sahaja.

“Sebelum ini saya hanya pernah berlakon sikit sahaja tapi  kali lebih mencabar kerana ia adalah telefilem yang panjang  dan memerlukan komitmen lebih besar apatah lagi saya memegang watak utama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Festival Balik Pulau 2019, di Balik Pulau, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Hok payoh skali masa hapal dialog...' - Syukor Khamis berlakon pula, jadi watak utama telefilem]

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Lakonan Syukor bertambah baik.. banyak babak siang dan malam, cuti sekolah seminggu' - Abang]

[ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar SMK Padang Midin gemparkan dunia fotografi, aksi dengan kerbau menang peringkat dunia]

Tidak abai pelajaran

Berkongsi cabaran sebagai seorang pelakon, kata Syukor, dia perlu memberikan lebih tumpuan untuk menghayati watak selain menghafal skrip yang diberikan.

“Nampak macam senang tetapi sebenarnya bukan mudah terutamanya bagi orang  yang tak pernah berlakon macam saya. 

“Hari pertama kat set, memang tak berhenti rasa berdebar sebab takut buat silap atau cara saya lakonan tak betul. Apa lagi bila kena buat emosi
yang pelbagai dan hafal skrip panjang.

“Bagaimanapun, saya kemudiannya OK bila semua orang kat set rajin beri tunjuk ajar dan bantu saya untuk buat yang terbaik untuk watak tersebut,” katanya.

Tambah Syukor lagi, biarpun bergandingan dengan barisan pelakon hebat namun dia merasa selesa kerana mereka sentiasa menerimanya dengan baik.

“Memang rasa sangat bertuah dan bangga bila dapat berlakon dengan pelakon-pelakon yang terkenal dan hebat. Paling best apabila mereka sangat baik  dan banyak ajar saya.

“Saya ada banyak babak dengan pelakon Wan Hanafi Su yang jadi datuk saya dalam telefilem ini. Dia nampak sahaja macam garang tapi dia sangat baik
dan saya suka berlakon dengan dia,” kongsinya.

Ditanya adakah selepas ini dia akan terus aktif berlakon, Syukor tidak menolak kemungkinan tersebut jika penggambaran tidak melibatkan waktu persekolahan kerana tidak mahu mengabaikan pelajarannya.

“Tahun depan saya sudah masuk ke tingkatan tiga dan perlu lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran.

“Sebelum ini saya akan mendapatkan pelepasan terlebih dahulu daripada pihak sekolah jika ada aktiviti yang memerlukan komitmen saya pada hari persekolahan,” jelasnya.

Artikel lain:

Cemerlang setiap kali peperiksaan, guru ini gariskan tujuh panduan untuk diikuti

Cikgu boleh cuba kaedah ini, cara mudah ajar murid lemah kuasai jawi

Guru ini perkenal teknik ‘ulat beluncas hijau’ bantu murid menulis karangan dengan baik