Nama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 26, mula mendapat perhatian ramai sejak memenangi kerusi Parlimen Muar pada PRU14.

Selain berwajah tampan, segak dan berketerampilan, kepetahannya berbicara membuatkan ramai yang terpesona dengan pemuda yang berasal Johor Bahru, Johor ini.

Selesa dikenal sebagai Syed Saddiq, graduan jurusan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) punyai kisah menarik sepanjang zaman persekolahannya.

GPS Bestari berkongsi kisah pendebat terbaik Asia sebanyak tiga kali ini bersama semua pembaca.

Syed Saddiq dilahirkan pada 6 Disember 1992 di Pulai, Johor Bahru, Johor dan merupakan anak kedua daripada empat beradik.

Syed Saddiq (kanan) bersama rakan ketika di MTD.

Beliau memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Perling, Johor Bahru dan kemudiannya meneruskan pengajian menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (English College).

"Saya akui, agak nakal ketika zaman sekolah, pernah sekali janji dengan kawan untuk ke kafe siber tapi kantoi dengan mak.

"Sejak itulah, mak pergi ke semua kafe siber, tampal gambar muka saya dan abang. Dua beradik ini diharamkan masuk ke kafe siber," katanya.

Setelah mendapat keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Syed Saddiq melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Tentera Diraja (MTD) Kuala Lumpur ketika berusia 16 tahun dan kemudiannya ke UIAM.

Menurut Syed Saddiq, pelbagai kenangan manis yang masih segar di ingatan, antaranya ketika belajar di MTD.

"Saya masih ingat, ketika di MTD, disiplin saya agak teruk. Selalu lambat dan nak makan masakan ibu saja.

"Mungkin suasana agak baru, dan saya belum dapat sesuaikan diri. Namun begitu, akhirnya saya dapat biasakan diri dengan pembelajaran di MTD secara berperingkat.

"Saya seronok belajar di sana. MTD banyak membentuk semangat jati diri saya. Aspek seperti memupuk semangat berpasukan, kepimpinan, kerjasama, disiplin dan sebagainya telah diterapkan kepada saya," kata Syed Saddiq.

Tak sangka, jejaka yang suka sukan hoki, polo air dan marathon ini begitu meminati subjek Sejarah.

Kata Syed Saddiq, dia suka membaca kisah sejarah yang bukan sahaja merangkumi sejarah negara, tetapi juga sejarah lain seperti sejarah keluarga, tempat dan perkara lain.

"Dengan sejarah, saya dapat tahu tentang asal-usul negara Malaysia malahan subjek ini juga membantu kita mengenali asal-usul sesuatu perkara," ujarnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, kejayaan dan pencapaian cemerlang dia pada hari ini, adalah sokongan dan kata-kata semangat daripada ibu tercinta.

"Tanpa ibu, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz, mana mungkin saya boleh berjaya seperti sekarang.

"Saya bukan daripada keluarga senang. Dulu, saya agak nakal dan ibulah yang banyak mendidik saya sehingga berjaya. Kemenangan (sebagai Ahli Parlimen Muar) ini adalah untuk ibu," jelas Syed Saddiq.

Meminati bidang perguruan

Walaupun sudah bergelar ahli Parlimen, jauh di sudut hatinya tetap ingin menceburi profesion perguruan.

"Saya suka mengajar kerana dunia pendidikan sudah jadi darah daging saya. Mak saya guru, kakak saya pensyarah.

"Dulu, saya pernah bergelar pensyarah sambilan dalam subjek pengucapan awam.

"Mungkin sebab dah terbiasa mengajar dan sebab itu saya minat menjadi guru," katanya.

Nasihatnya kepada pelajar, jangan cepat putus asa.

"Kita kena tegas, bersemangat, bertenaga dan jangan cepat mengaku kalah.

"Walaupun banyak dugaan, sebagai anak muda, kita kena bangkit kerana kitalah yang akan mewarisi masa depan negara tercinta," katanya.