MELIHATKAN kepada bakat peserta yang menyertai pertandingan International Festival Dance and Singing Competition Abanico 2019 pada 31 Mac hingga 2 April lalu, membuatkan guru ini takut dan bimbang, sama ada dirinya mampu membawa pulang kejayaan buat Malaysia ataupun tidak.

Guru Kanan mata pelajaran Teknik dan Vokasional, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16 Shah Alam, Mohamad Khamidon Sadi mengakui yang dirinya begitu gementar sebelum pertandingan bermula.

“Peserta lain bukan calang-calang orang. Kebanyakan daripadanya begitu berbakat dalam dunia nyanyian. Pendek kata, masing-masing sudah ada pencapaian yang boleh dibanggakan,” ujarnya.

Walaupun berdepan pelbagai perasaan, namun Cikgu Khamidon berjaya buktikan yang dia mampu mengalahkan peserta hebat yang lain.

“Bila diumumkan sebagai Johan Kategori Nyanyian Solo Pertandingan International Festival Dance and Singing Competition Abanico 2019 di National Palace of Culture - Sofia, Bulgaria saya terkedu buat seketika.

“Tak sangka dan tak percaya yang saya boleh menang. Alhamdulillah... ini kejayaan untuk Malaysia,” katanya.

Cikgu Khamidon yang mesra dengan panggil Cikgu Donze  menerima dua buah piala dan sijil penghargaan serta jemputan khas untuk membuat persembahan di Festival Kebudayaan di Torino, Itali penghujung Mei depan.

Pertandingan International Festival Dance and Singing Abanico 2019 disertai peserta dari 15 buah negara antaranya Bulgaria, Romania, Spain, Moldova dan Malaysia.

Kontinjen Malaysia disertai seramai 25 orang yang terdiri guru pengiring dan pelajar. Masing-masing bertanding dalam kategori berlainan.

Cikgu Donze menganggap kemenangan itu kejayaan tertinggi dalam hidup dan menjadi kenangan manis sepanjang hayatnya.

“Ini adalah pencapaian tertinggi buat saya. Walaupun pernah memenangi beberapa anugerah seperti Best Performance di negara lain selain Itali, tetapi kemenangan kali ini sangat bermakna kerana cabaran yang diterima begitu hebat,” katanya yang telah menjadi pendidik selama 27 tahun.

Berkongsi pengalaman menyertai pertandingan tersebut, Cikgu Khamidon berkata, terdapat dua pusingan dalam Kategori Nyanyian Solo yang mana setiap peserta wajib membawa dua buah lagu.

“Lagu pertama mesti dalam bahasa Sepanyol manakala lagu kedua pula bebas.

“Bagi lagu pertama, saya perlu menghafal dan menyanyikan lagu Sepanyol dengan sebutan dan intonasi yang betul. Memandangkan saya tak mahir dalam bahasa itu, memang agak susah, tapi saya cuba juga demi azam untuk mengharumkan nama negara,” jelasnya.

Lagu kedua beliau memilih Irama Malaysia bertajuk 'Balqis' nyanyian asal penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Walaupun lagu pertama susah nak bawa, tapi saya masih ada lagu kedua untuk dinilai. Alhamdulillah, berkat doa semua, saya akhirnya muncul juga Johan Ketegori Nyanyian Solo tersebut,” katanya yang turut berdepan cabaran lain iaitu masa pertandingan di Bulgaria bermula pada jam 9 malam bersamaan jam 3 pagi di Malaysia.

Cikgu Khamidon menerima piala dan sijil kemenangan daripada penganjur Pertandingan International Festival Dance and Singing Abanico 2019 di Sofia Bulgaria, Itali.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai latihan menyanyi dalam bahasa Sepanyol, ini kata beliau.

“YouTube menjadi tempat belajar paling penting buat saya. Setiap hari, saya berlatih menyanyi lagu Sepanyol berjudul 'Porti Sere' melalui saluran tersebut berulang-ulang kali.

“Tidak ketinggalan, saya turut bertanyakan kepada rakan senegara yang juga mengetahui serba sedikit sebutan bahasa Sepanyol dengan baik,” ujar guru ini.

Cikgu Khamidon berharap agar kemenangannya itu mampu memberi inspirasi kepada rakan guru lain khususnya bagi membuktikan bahawa guru adalah insan yang serba boleh dan harus berani ke hadapan.

“Saya juga harap lebih ramai rakan guru terus berusaha menaikkan nama negara dengan kepakaran yang ada pada diri masing-masing. Niat yang ikhlas dan diiringi dengan kesungguhan pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

Bersama rakan guru yang sentiasa memberi kekuatan dan sokongan. Dari kiri: Cikgu Reza Feelaqiz Shauri, Cikgu Oya Sanoyah Yusof, Cikgu Khamidon, Cikgu Siti Dewi Marshitah Ismail dan Cikgu Mahendran.

Meraikan kemenangan bersama kontinjen Malaysia yang turut memenangi Kategori Tarian Etnik.

10 pencapaian tertinggi yang diperoleh Cikgu Donze

1. Johan International Singing Competetion Festival Abanico - Sofia Bulgaria

2. Anugerah Emas International Folklore Festival Rimini Itali

3. Naib Johan International Horse Sculpture Painting

4. Guru Adiwira Kebangsaan 2019

5. Ikon Guru Kebangsaan 2017

6. Anugerah Guru Inspirasi Mc Donald Kebangsaan 2018

7. Ikon Guru Negeri Selangor 2016

8. Naib Johan Mural Kebangsaan 2015 dan 2017

9. Johan Nyanyian Majlis Sukan dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan Malaysia (MSKPPM) Kebangsaan - enam kali

10. Johan Persatuan Sukan dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan (PSKPP) Negeri Selangor - lebih 15 kali

 Bersama penari dari Malaysia yang juga merupakan pelajar sekolah menengah di Selangor di samping salah seorang peserta finalis dari Moldova.

 Cikgu Khamidon bersama penari mengiringi beliau ketika menyanyikan lagu 'Balqis'.

ARTIKEL MENARIK:

Razhiyah Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia 2019

Patutlah beliau dinobat Guru Pendidikan Khas Terbaik Asia.. niatnya murni, usahanya tanpa batas

Bakatnya dicungkil seorang guru ketika usia 11 tahun, kini Russel pilih sarung jersi Malaysia

Berdebar dilantik pengetua sekolah terbaik negara, akhirnya Cikgu Kamsah guna pendekatan ini