Shah Alam - Ada sesetengah guru menolak daripada mengajar kelas belakang.

Bagi mereka, mendidik pelajar kelas akhir ini banyak rumitnya. Rumit bukan kerana kelas mereka tiada kemudahan, tetapi rumit kerana banyak masalah yang timbul dek sikap pelajar itu sendiri.

Memberontak, melawan guru, malas belajar dan sebagainya, antara yang dikatakan sikap pelajar akhir.

Itu belum masuk bab akademik.

Cikgu Donze akan berusaha membantu anak-anak didiknya sehingga berjaya.

Biasanya, jika ajar hari ini, sekejap lagi tentu ada yang lupa. Kalau cikgu yang jenis cepat stres, memang akan timbul banyak masalah dan akhirnya, guru itu akan keluar dari kelas dan pelajar kelas akhir bersorak girang kerana tidak perlu belajar pada hari itu.

Ikon Guru Peringkat Kebangsaan 2017, Cikgu Khamidon Sadi berkata, walaupun guru yang mengajar kelas hujung berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, namun percayalah, guru inilah yang paling hebat, kreatif dan inovatif.

"Saya akui memang banyak cabaran, tetapi percayalah jika anda sudah jumpa rentak dan teknik untuk mengajar mereka, semuanya akan menjadi satu pembelajaran yang menyeronokkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi siaran langsung bersama GPSBestari, 14 Mac lalu dengan topik mengenai 'Guru Kelas Hujung Wira Tak Didendang'.

Cikgu Khamidon yang kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seskyen 16 berkata, dia tidak pernah 'rendah diri' apabila ditugaskan mengajar kelas akhir.

"Bagi saya, peluang mengajar kelas hujung adalah satu keseronokan. Inilah masa untuk saya keluarkan segala kreativiti yang saya ada.

"Ya, memang mereka ada masalah dari segi akademik. Tetapi mereka punya bakat besar dari segi kemahiran. Jika akademik, untuk lihat mereka lulus, memang susah. Tapi bila mereka lulus dengan cemerlang, saya menangis..hanya Allah saja yang tahu apa perasaan saya pada ketika itu," ujarnya yang sudah menjadi guru selama 26 tahun.

Menurut beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Donze, pengalaman mengajar dua kelas iaitu kelas depan dan kelas belakang, banyak memberinya pengalaman manis.

"Memang ada beza mengajar kedua-dua kelas ini.

"Perbezaan paling ketara, tentulah dari segi keupayaan pendidikan akademik dan sahsiah serta sikap pelajar.

"Kelas depan, pelajar cemerlang akademik berbanding dengan kelas belakang, yang biasa-biasa," katanya.

Walaupun ada jurang antara pelajar depan dan belakang, namun kata Cikgu Donze, jangan pandang rendah pada pelajar kelas akhir.

"Apa yang saya tengok, pelajar kelas atas, mereka hanya fokus pada akademik semata-mata. Mereka tak berani nak explore perkara di sekeliling mereka kerana bimbang 'result' jatuh.

"Berbanding pelajar hujung, mereka sangat berani dan ada sikap mahu mencuba. Memang akademik tidak ada 'apa-apa' buat mereka tetapi bila pelajar berani, kita dapat tengok bakat dan kebolehan pelajar itu sendiri," katanya.

Tambahnya, pelajar kelas belakang sangat mengingati guru berbanding pelajar kelas depan.

"Pelajar kelas hujung ni, bila jumpa kita selepas zaman sekolah mereka.. dari jauh dah panggil kita, kadang kat pasar malam pun sampai semua orang tengok," ceritanya.

Pesanan untuk guru

"Guru yang ditugaskan mengajar kelas hujung, janganlah tertekan. Anggaplah ini sebagai cabaran yang perlu anda lalui sebagai seorang pendidik.

"Untuk ibu bapa pula, jujur saya katakan, anda sememangnya memiliki anak yang cukup istimewa. Sayangilah mereka dan berikan sepenuh kepercayaan kerana saya percaya, anak-anak inilah yang akan menjaga anda satu masa nanti," kata beliau.

Akhir sekali, ini kata-kata hikmat Cikgu Donze kepada pelajarnya:

"Wahai anak-anakku sayang, kamu sebenarnya lebih hebat daripada saya, kerana kejayaan kamu sering membuatkan saya menitiskan air mata.

"Kejayaan kamu, walaupun bukan 'engineer', doktor, tapi kamu telah berjaya menjadi insan yang cukup hebat di mata saya," ujarnya.