BAGI menggalakkan interaksi antara murid dan teknologi, guru bahasa Inggeris ini membangunkan inovasi Vine-Project dan Rest and Read.

Cikgu Warid Mihat yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3, Kelantan ini berkata, kedua-dua inovasi itu pernah mendapat anugerah di peringkat kebangsaan kerana keberkesanannya dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas.

"Vine-Project menggunakan aplikasi Vine di dalam kelas yang memerlukan guru dan murid membina dialog dan perisian perakam suara seperti audacity ataupun video recording untuk ‘record-pause-record’ dialog mereka.

"Bagi saya aktiviti ini merupakan satu PdPC yang menarik kerana projek ini menggalakkan interaksi antara murid dan teknologi," katanya.

Melalui inovasi itu, beliau dapati murid amat aktif dan bersemangat untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

"Vine-Project mampu meningkatkan kreativiti murid apabila masing-masing berkongsi hasil kerja," katanya.

Cikgu Warid

Cikgu Warid berkata, inovasi keduanya adalah hasil gabungan idea dengan rakan panitia yang dinamakan Rest and Read (R&R).

"R&R merupakan tempat istirahat murid pada waktu rehat mahupun ketika menunggu ibu bapa mengambil mereka pulang dari sekolah.

"Kami sediakan 2,000 buah buku cerita bahasa Inggeris di R&R yang terletak antara dua blok bangunan sekolah untuk dibaca ketika waktu senggang berkenaan," katanya.

Menurutnya, R&R banyak membantu meningkatkan minat dan kemahiran murid terhadap bahasa Inggeris kerana sejak diwujudkan murid gemar berkumpul di situ untuk mendapatkan bahan bacaan.

"Kedua-dua inovasi ini mendapat pingat perak bagi Anugerah Malachi Creative Teacher Showcase anjuran Malaysian English Language Teaching Association (MELTA) 2016 dan pingat emas bagi Anugerah Inovasi Pendidikan anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) tahun lalu," ujarnya.

Dilantik Edufluencer

Lebih menggembirakan apabila beliau dilantik sebagai guru Adiwira dan Edufluencer (KPM) 2019, walaupun pelantikan itu dianggap berlaku secara tidak sengaja.

 "Pada waktu itu ada pertandingan PAK21 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM), saya membuat keputusan untuk berkongsi cerita-cerita manis di sekolah saya agar pihak KPM tahu bahawa pendidikan kita telah berada pada tahap yang boleh dibanggakan.

"Alhamdulillah cerita saya mendapat tempat 100 terbaik dan saya kemudiannya dilantik menjadi guru Edufluencer (KPM) 2019," katanya.

Cikgu Warid (kanan) ketika menerima Pingat Gangsa Anugerah Penyelidikan MIRCELE 2019 daripada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum KPM), Dr Habibah Abdul Rahim.

Katanya lagi, sebelum menjadi guru Edufluencer, beliau banyak memberi ceramah kepada pelajar siswazah dan rakan guru.

"Saya sering dijemput untuk berkongsi dengan pelajar University of Nottingham Malaysia Campus (UNMC) mengenai bagaimana untuk membina bahan PdPC untuk pelajar sekolah rendah (bagi subjek bahasa Inggeris) sejak tahun 2017 lagi selain memberi ceramah mengenai pendekatan bilik darjah kepada pelajar institut perguruan (IPG) dan rakan guru di Pejabat Pendidikan (PPD) Kota Bharu.

"Saya lebih gemar memberi ceramah kepada rakan guru atau guru pelatih kerana jika kita berjaya mempengaruhi seorang guru untuk mengubah cara dia memahami muridnya, impaknya adalah lebih besar daripada kita memberi ceramah kepada pelajar," jelasnya yang telah berpengalaman hampir sepuluh tahun dalam mengajar subjek bahasa Inggeris.

Inovasi Essay Analysis

Menurut Cikgu Warid lagi antara PdPC yang paling digemari murid ialah Essay Analysis.

"Teknik ini telah banyak melahirkan murid yang mampu menulis karangan bahasa Inggeris. Biasanya murid belajar menulis esei dalam keadaan guru memanopoli sesi pdpc maka cycle pembelajaran menjadi satu hala dan keadaan seperti ini tidak memberi impak secara maksimum kepada pemahaman murid tentang gaya penulisan," kata beliau.

Bersama Pelajar UNMC yang mengikuti perkongsiannya.

Cikgu Warid bersama dua murid yang memenangi anugerah emas dan perak pada pertandingan menulis esei bahasa Inggeris peringkat antarabangsa.

Sesi PdPC bersama murid Tahun Enam di SK Kubang Kerian 3.

Cikgu Warid menjelaskan, melalui inovasi Essay Analysis murid akan melalui beberapa fasa PdPC penulisan.

"Pertama ialah fasa ‘usage of English’, kedua fasa ‘flow of ideas’, ketiga fasa ‘individual writing’ dan keempat fasa ‘feedback’.

"Dalam Essay Analysis, murid diberi satu esei yang mana setiap ayat di dalam esei tersebut mengandungi dua atau tiga kesalahan," katanya.

Sehubungan itu pada fasa pertama memerlukan murid bekerja dengan pasangan atau berkumpulan untuk mengenal pasti apakah kesalahan tersebut dan bagaimana kesalahan tersebut boleh dibaiki.

Menurutnya, kesalahan bukan sahaja terhad kepada masalah tatabahasa atau ejaan, tetapi juga dari sudut semantik.

"Selepas mengenal pasti kesalahan di peringkat ayat, mereka akan berbincang bagaimana perenggan boleh disusun agar flow cerita tidak terencat.

"Di akhir fasa, pembetulan yang mereka lakukan akan menghasilkan satu esei yang boleh dijadikan contoh untuk mereka baca. Selepas sesi ini barulah mereka akan mula membuat esei secara individu, kebiasaannya diberikan dalam bentuk kerja rumah atau ketika waktu mereka sedang menunggu ibu bapa selepas habis waktu persekolahan," katanya.

Kata Cikgu Warid, pada awal pendedahan teknik itu murid agak sukar untuk memberikan penjelasan mengenai kesalahan pada ayat tetapi di situlah ‘bottleneck’ yang perlu murid lepasi.

"Alhamdulilah selepas lima hingga sembilan sesi, selepas guru memberikan model penjelasan, murid mampu memberi penjelasan yang memuaskan bagi setiap tugasan yang diberikan.

"Kadang-kadang kita rasa murid tidak mampu memberi pandangan mereka, tetapi sebenarnya, mereka mampu memberi lebih daripada apa yang kita sangkakan," katanya.

Murid yang berjaya membolot lima tempat utama dalam Spell It Right peringkat negeri Kelantan tahun lalu.

Jika sebelum ini, murid diberikan contoh esei terbaik untuk dibaca tetapi melalui inovasi Essay Analysis impaknya lebih besar.

"Bagi saya juga, teknik ini memudahkan murid memberi maklum balas dan guru boleh mengaitkan maklum balas diberikan dengan apa yang telah dipelajari di peringkat analisis esei untuk memudahkan murid lebih memahami apa yang sedang mereka pelajari," katanya.

Cikgu Warid turut berkata, PdPC beliau juga tidak sekadar di dalam kelas bahkan sehingga di luar kelas.

"Saya percaya apa yang dipelajari di dalam kelas perlu dipraktikkan di luar kelas dalam kehidupan seharian. Oleh itu saya banyak mempengaruhi murid untuk menyertai pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

"Saya dan guru bahasa Inggeris sekolah saya banyak melatih pelajar kami untuk menyertai pertandingan yang dianjurkan agensi luar.

"Kami pernah menjadi johan selama dua tahun berturut-turut bagi Spell it Right anjuran The New Strait Time untuk peringkat negeri Kelantan, sekali gus terpilih ke peringkat kebangsaan," katanya.

Kata beliau, pada tahun kedua, lima murid membolot kerusi Top 10 Spell It Right di peringkat negeri yang mana johan, tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam daripada SK Kubang Kerian 3.

Lebih membanggakan, murid SK Kubang Kerian 3 turut menerima Anugerah Emas pada International E-Journal Writing Competition 2017 anjuran Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM) dan Anugerah Emas pada International Online Essay Competition 2018 anjuran USM.

Sementara itu, pasukan bicara berirama bahasa Inggeris SK Kubang Kerian 3 juga antara pasukan terbaik di Kelantan.

Beliau memberitahu, selain merancang program untuk murid, Cikgu Warid kini bergiat aktif bersama rakan melalui MELTA merancang aktiviti untuk guru bahasa Inggeris di negeri itu.

"Bagi menyahut saranan KPM menerusi inisiatif ‘Sekolah untuk Komuniti, Universiti untuk Masyarakat’, kami telah melaksanakan satu program dengan kerjasama MELTA Kelantan Chapter, Universiti Malaysia Kelantan UMK), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dan CEFL Malaysia dan penceramah dari Cambridge English for Life untuk berkongsi PdPC Fun Learning bersama guru bahasa Inggeris sekolah rendah di Kelantan.

"Insya-ALLAH pada tahun hadapan, kami akan menganjurkan lebih banyak bengkel untuk memperkasakan PdPc bahasa Inggeris," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakan guru untuk menulis dan menerbitkan makalah ilmiah agar guru kita setanding dengan pensyarah di universiti.

"Saya percaya, sebagai pengamal dalam bidang pendidikan, banyak perkongsian menarik yang dapat kita terbitkan sebagai bacaan pendidik lain," katanya.

INFO

Pendidikan:

1. B.Ed (Hons) TESL (Exeter/IPBA)

2. MA TESOL (University of Nottingham Malaysia Campus),

3. Ph.D  English Studies (Neuropsycholinguistics) UKM (sedang melanjutkan pengajian)  

Anugerah:

1. Edufluencer (KPM) 2019

2. Anugerah Guru Adiwira PPD Kota Bharu 2019

3. Pingat Gangsa Anugerah MIRCELE 2019 (Kategori PhD)

4. Pingat Emas Anugerah Pembentangan Kajian UKM 2018

5. Pingat Perak Anugerah Inovasi Bahasa Inggeris USM 2018

6. Pingat Emas Anugerah MELTA Excellence in English Language Education Research 2017

7. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016

8. Pingat Perak Anugerah Malachi Creative Teacher Showcase 2016

9. Anugerah Guru Pedalaman JPN Kelantan 2014

10. Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012

11. Anugerah Guru Praktikum Cemerlang IPG Kampus Bahasa Antarabangsa 2010


Artikel lain:

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan

Jauhi aura negatif di tempat kerja, guru ini dedah tiga tip yang boleh anda cuba...

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

150 guru terpilih Program Duta Guru - Selepas ini bahan PdPC lebih menariklah