Biodata

Nama: Ustaz Haji Salam Haji Abdul Rahman

Tarikh lahir: 10 April 1936

Tempat lahir: Parit Terus, Benut, Pontian

Bilangan anak: 4 orang (Balkis, 49, Ikbal, 46, Mohd Fahmi, 40, dan Mohd Fathi, 36)

Pendidikan: Sekolah Menengah Shamsuddiniah Kundang Ulu Sekolah Arab Kluang, Johor

Ijazah Sarjana Muda Fakulti Usuluddin, Universiti Al Azhar Mesir

Jawatan disandang:

Kadi Daerah Johor Bahru

Pengetua Maahad Johor

Pengetua Maahad Muar

Pengetua Maahad Pontian

Anugerah:

Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Johor (1994)

Tokoh Guru Sekolah Menengah Agama Negeri (2005)

PONTIAN - Setiap kali keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diumumkan, Maahad Pontian akan muncul sebagai sebuah sekolah yang mencatatkan keputusan membanggakan.

Namun, tanpa usaha seorang tokoh agama tempatan yang disanjung tinggi, tidak mungkin sekolah berkenaan mampu meletakkan namanya dalam peta pendidikan agama di negeri ini.

Maahad Pontian ditubuhkan Ustaz Haji Salam Haji Abdul Rahman selepas ramai pelajar Sekolah Arab Negeri memerlukan tempat di maahad bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian agama di luar negara mahupun tempatan.

Semuanya bermula apabila satu-satunya maahad yang ada di negeri ini iaitu Maahad Johor Bahru gagal menampung jumlah pelajar.

Ustaz Haji Salam yang ketika itu merupakan Yang Dipertua Kesatuan Guru Sekolah Agama Negeri Johor (KGSAJ) telah menyuarakan hasrat untuk menubuhkan Maahad Pontian bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Dengan bantuan beberapa tokoh agama terdiri daripada Ustaz Haji Jaafar Murni, Ustaz Haji Mohd Fandi Haji Mohd Tahir, Ustaz Kasim Kambang, Ustaz Tahir Daeng Mengati, Ustaz Abdullah Basidek dan Haji Mohd Ishak Abd Hamid, Maahad Pontian ditubuhkan.

Maahad yang pada asalnya sekolah agama rakyat itu merupakan maahad kedua ditubuhkan di negeri ini selepas Maahad Johor Bahru.

Ustaz Haji Salam sanggup berkorban

Maahad Pontian dibuka secara rasmi pada Mac 1992 dengan 200 pelajar dan enam guru.

Seorang guru yang berkhidmat di awal penubuhannya, Ahmad Paiman Sajimin mengakui Ustaz Haji Salam sangat berdedikasi dan sanggup berkorban demi cintanya terhadap bahasa Arab dan pendidikan agama Islam di Johor.

Beliau yang juga pengetua maahad berkenaan berkata, Ustaz Haji Salam tidak pernah putus asa untuk menubuhkan sebuah maahad meskipun berdepan cabaran dari segi kewangan dan sokongan.

“Usaha murni untuk melahirkan lebih ramai modal insan berjaya lulusan sekolah agama akhirnya membuahkan hasil.

“Berkat kesungguhan dan kesabaran serta sokongan daripada ahli keluarga Ustaz Haji Salam, akhirnya sebuah maahad dibuka di Pontian iaitu di Jalan Sekolah Arab dan kekal sehingga hari ini,” katanya.

Hajah Rafeah merasmikan galeri Assalam yang dibuka di Maahad Pontian.

Sanggup keluar wang sendiri bantu guru agama

Bercerita lanjut mengenai pengasasnya, Ahmad Paiman berkata, Ustaz Haji Salam merupakan seorang yang menepati masa.

“Walaupun perlu berulang alik setiap hari dari Johor Bahru ke Pontian, Ustaz Haji Salam tidak pernah lewat tiba di sekolah.

“Bayangkan seawal jam 7 pagi beliau sudah tiba untuk memulakan tugas sebagai pengetua,” katanya.

Menurutnya, sikap beliau yang mengutamakan kebajikan guru turut disenangi, malah dianggap seperti seorang ayah.

“Ketika itu, gaji guru agama sangat kecil, jadi sebagai pengetua, Ustaz Haji Salam sanggup keluarkan wang sendiri bagi membantu guru-guru agama,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, Ustaz Haji Salam akhirnya pergi buat selama-lamanya pada 23 Julai 2015.

“Pemergian beliau meninggalkan kesan yang cukup mendalam buat warga Maahad Pontian.

“Biarpun jasa dan baktinya sangat besar, namun keperwiraannya tidak pernah didendang,” katanya.

Kenangan Almarhum Ustaz Haji Salam bersama anak-anak dan cucunya.

Galeri kenang jasa

Bagi menghargai jasa Almarhum yang memartabatkan pendidikan agama di negeri ini, sebuah galeri khas dinamakan Assalam dibuka di Maahad Pontian.

Ahmad Paiman berkata, penubuhannya bersempena dengan ulang tahun ke-25 maahad.

“Assalam mempamerkan pelbagai barangan, sijil, penghargaan dan kitab agama kepunyaan Ustaz Haji Salam.

“Perasmian galeri telah disempurnakan isteri Almarhum, Hajah Rafeah Datuk Kiyai Samsudin. Penubuhannya turut mendapat sokongan daripada anakanda Almarhum yang banyak memberi sumbangan terutama dari segi kos dan perbelanjaan,” katanya.

Tiga hari sambutan

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari sambutan jubli perak Maahad Pontian bermula pada 30 Mac sehingga 1 April lalu.

Dimulakan dengan acara perasmian, sambutan ulang tahun kemudiannya diselitkan dengan pelbagai aktiviti berbentuk keusahawanan dan keagamaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Mufti Johor, Datuk M Tahrir Datuk Kiyai Samsudin; Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Amir Danuri dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam negeri, Md Rofiki Datuk Kiyai Samsudin.

Ahmad Paiman berkata, orang ramai dijangka hadir bagi mengikuti ceramah disampaikan Ustaz Ebit Liew pada malam Jumaat.

“Terdapat kira-kira 50 aktiviti selama tiga hari sambutan berlangsung," katanya.

Almarhum Ustaz Haji Salam bersama isterinya, Hajah Rafeah.

SEJARAH MAAHAD PONTIAN

1992 hingga 1999 - Maahad berstatus Sekolah Agama Rakyat yang lebih kepada persendirian.

2000 hingga 2012 - Di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Johor.

14 Ogos 2012 - Diletakkan di bawah Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SBAK).

Bilangan pelajar kini seramai 580 pelajar dari tingkatan 1 hingga 6.