“Saya tidak melihat umur itu sebagai masalah untuk saya galas tanggungjawab sebagai pengetua.

“Umur sekadar angka dan kita tidak sepatutnya memberikan lebih kepentingan dan fokus kepada angka tersebut,” tegas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian Tahfiz Model Ulul Albab (KERIS TMUA), Perak, Ustaz Nor Azam Abdullah, 46.

Dilantik sebagai pengetua pada usia 45 tahun, Ustaz Nor Azam mengakui ramai kurang percaya dengan pelantikan tersebut. Yang melahirkan rasa terkejut juga pun ada.

“Saya masih ingat satu kejadian ketika di awal menjadi pengetua. Apabila menghadiri program peringkat daerah atau negeri, pegawai di meja pendaftaran bertanya, “Tuan dari sekolah mana? Tuan wakil pengetua ya? Kenapa pengetua tak hadir?

“Nasib baik pada waktu itu saya berjambang dan jambang pun sudah beruban. Jadi, tidaklah nampak terlalu muda,” kata anak ketiga empat beradik ini.

Dalam pada itu, Ustaz Nor Azam mengakui yang cabaran adalah sesuatu yang mengujakan.

“Sebenarnya saya tidak berasa kekok untuk bekerja dengan rakan-rakan pengetua, mahupun penolong-penolong kanan serta guru-guru yang lebih senior. Saya seronok bekerja dengan mereka kerana banyak pengalaman. Saya sekali-kali tidak menganggap oleh kerana 'saya pengetua maka saya tahu semuanya'.

“Guru-guru saya adalah cikgu saya. Kerani dan pekerja kebersihan pun saya anggap cikgu saya. Saya banyak belajar daripada mereka. Cuma pengalaman sebagai pegawai di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama 10 tahun di empat jabatan sebelum ini banyak membantu tugas sebagai pengetua,” ujarnya yang meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali pada 2003, 2008 dan 2013.

 

Keluarga pendidik

 

“Darah pendidik sudah lama mengalir dalam diri saya. Almarhum ayah saya guru. Ibu juga guru. Malah arwah bapa mertua juga guru. Semenjak kecil lagi, saya sering mengikut ayah dan ibu ke sekolah. Seronok tengok ayah menanda buku. Tengok emak buat soalan pakai stensil. Bila salah kena padam dengan cecair pemadam khas berwarna merah.

“Rezeki saya dapat melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang bahasa Arab dengan dibiayai biasiswa KPM. Kebetulan pula saya memang minat bahasa. Apabila pulang ke Malaysia, saya sambung pula mengambil diploma pendidikan. Itu pun di bawah KPM juga. Begitu banyak jasa KPM kepada saya. Saya perlu menyumbang semula kepada pendidikan dengan berkhidmat sebagai guru,” ceritanya.

Setelah lama berkecimpung dalam bidang ini, Ustaz Nor Azam merasakan kekuatannya adalah dalam bidang pentadbiran pendidikan.

“Saya suka menetapkan sasaran, merancang dan menyusun strategi pendidikan. Bukan hanya sekadar kecemerlangan akademik, kecemerlangan sahsiah, kepimpinan dan kokurikulum juga perlu dirancang. Bak kata orang, 'ika anda gagal merancang, sebenarnya anda merancang untuk gagal'.

“Kerjaya guru adalah kerjaya mulia. Namun pada masa yang sama amat mencabar. Hasil kerja guru tidak boleh dilihat serta merta. Bukan keputusan cemerlang akademik SPM yang menjadi kayu ukur kejayaan guru sebenarnya. Apabila anak murid kita menjadi warga yang baik dan menyumbang kepada negara, bangsa dan agamanya, ketika itu barulah kita boleh dikatakan berjaya.

“Saya masih ingat kata-kata Almarhum Ustaz Suhot Sayuti, pengetua saya semasa di SMKA Perak, “kami cikgu-cikgu didik kamu semua untuk jadi orang”. Sekarang baru saya faham apa maksud beliau,” katanya yang sudah 22 tahun berkhidmat dalam pendidikan.

 

Model Ulul Albab

 

KERIS TMUA merupakan satu-satunya sekolah di Perak yang menawarkan program TMUA di bawah KPM.

TMUA merupakan satu model pendidikan yang disusun KPM, yang menggabungkan tahfiz Al-Quran dengan akademik. Ibu bapa sekarang sudah kembali mahukan anak-anak yang bukan sahaja bagus akademiknya, malah cemerlang akhlak dan peribadinya, apatah lagi hafiz Al-Quran.

Jika sebelum ini, ibu bapa inginkan anak-anak menjadi hafiz, mereka terpaksa mengorbankan akademik dengan menghantar ke sekolah-sekolah tahfiz satu aliran. Memang ada sekolah-sekolah seperti Imtiaz di Terengganu dan MRSM Ulul Albab, namun bilangan sekolah tersebut masih kecil berbanding dengan permintaan yang begitu tinggi.

“Pengambilan pertama pelajar TMUA sekolah ini bermula pada 2015. Sekarang ini jumlah pelajar TMUA daripada tingkatan satu hingga tingkatan tiga mencecah lebih 400 orang.

“Jadual murid-murid TMUA memang padat. Hanya murid-murid pintar dan tahan lasak saja yang mampu mengharungi cabaran ini. Mereka perlu menghafaz 30 juzuk Al-Quran sepanjang tempoh lima tahun berada di sekolah. Sebagai gambaran am, kehidupan mereka di asrama bermula sekitar 5 pagi. Kelas tahfiz bermula selepas subuh jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi. Selepas itu mereka mengikuti kelas akademik sehingga 4.30 petang. Pada 7 malam mereka mengulang hafazan bersama guru-guru TMUA sehingga jam 9. Kelas persediaan malam pula bersambung sehingga 11.30 malam. Jam 11.45 malam barulah mereka tidur,” kata Ustaz Nor Azam.

Ditanya tentang harapan terhadap anak didik KERIS TMUA, Ustaz Nor Azam memberitahu, harapannya, harapan guru, ibu bapa dan harapan pelajar itu sendiri sama sahaja.    

“Kami berharap mampu melahirkan bakal golongan profesional yang hafiz Al-Quran, berilmu, berakhlak dan berkemahiran insaniah melalui program-program tahfiz, akademik, hal ehwal murid dan kokurikulum yang mantap, tersusun serta berfokus.

 “Juga dapat melahirkan profesional yang hafiz, yakni doktor yang hafiz, peguam yang hafiz, jurutera yang hafiz, guru yang hafiz, pemimpin yang hafiz dan sebagainya,” akhiri beliau.