CINTANYA kepada Matematik tidak pernah terhenti apabila diamanahkan untuk mengajar subjek bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai, Petaling Jaya, Selangor.

Malah, Cikgu Liew Lee San sentiasa berkongsi ilmu dengan murid dan guru yang memerlukan bantuan bagi mengajar subjek itu.

Cikgu Liew Lee San

Guru muda ini sememangnya mempunyai jiwa pendidik yang besar apabila menerima tanggungjawab diamanahkan untuk mengajar bahasa Melayu dengan hati terbuka walaupun hakikatnya subjek itu bukan opsyennya ketika di universiti.

"Walaupun saya tidak berpeluang untuk mengajar Matematik, akan tetapi minat saya terhadap subjek itu tidak pernah luntur, malah saya memperkenalkan inovasi Tanggakus kepada murid dan rakan guru yang terbukti mampu meningkatkan penguasaan murid dalam subjek Matematik," katanya.

Menurut Cikgu Lee San, Tanggakus diperkenalkan sejak tahun 2014 ketika beliau menjalani latihan praktikum di sekolah St.Theresa Padungan, Kuching, Sarawak selama tiga bulan.

Inovasi itu banyak membantu murid menguasai topik Darab dan Bahagi yang mana kebanyakan murid kurang berminat dalam topik itu.

"Kebanyakan murid kurang minat menyelesaikan masalah darab dan bahagi terutama pembahagian panjang yang melibatkan enam digit dengan dua digit," katanya.

Menurut beliau, Tanggakus yang berbentuk konkrit direka bersesuaian dengan tahap perkembangan kognitif murid disamping membantu mereka dalam pembelajaran operasi bahagi.

"Dalam proses pembelajaran murid mewakilkan proses penyelesaian soalan bahagi secara visual dan seterusnya ke peringkat simbolik.

"Dengan menggunakan inovasi ini, murid dapat melakukan manipulatif Tanggakus, melengkapkan kad aktiviti berbentuk tangga dan seterusnya menyelesaikan soalan pembahagian panjang yang diberikan dalam latihan", ujarnya.

Tambah beliau lagi, Tanggakus juga digunakan untuk mengira bahagi manakala kad aktiviti digunakan untuk menyenaraikan bahagi," katanya ketika ditanya GPS Bestari.

Langkah kerja penggunaan Tanggakus dalam menyelesaikan soalan pembahagian panjang yang melibatkan nombor enam digit dengan dua digit

Murid SJKC Yuk Chai gigih mencipta Tanggakus baharu.

Cikgu Lee San berkata, Tanggakus turut digunakan oleh rakan guru lain di SJKC Yuk Chai dan mereka turut mengakui inovasi itu bukan sahaja dapat membantu murid malahan dapat digunakan sebagai satu model permulaan guru dalam pelaksanaan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) Matematik.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK)  St Theresa Padungan, Kuching, Sarawak, [email protected] Amen Anak Minyol berkata, inovasi Tanggakus sangat membantu murid yang lemah Matematik.

"Cikgu Lee San sangat kreatif kerana berjaya menghasilkan inovasi Tanggakus yang berupaya membantu murid menguasai kemahiran darab dan bahagi," katanya.

Menurut beliau, sejak guru menggunakan inovasi Tanggakus prestasi murid SK St Theresa Padungan dalam Matematik meningkat.

Mengenang kembali ketika mula mengajar bahasa Melayu di SJKC Yuk Chai, Cikgu Lee San berkata, sekolah itu kekurangan guru bahasa Melayu dan beliau mencabar diri untuk mengajar subjek itu.

Cikgu Lee San (kanan) bersama anak muridnya Ashlynn Leong Yiqian (kiri) yang mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Bercerita Sekolah Rendah (Tahap1) sempena Karnival Bahasa Melayu peringkat negeri Selangor 2019.

"Disebabkan subjek bahasa Melayu bukan opsyen, saya banyak dibantu oleh guru senior di sekolah itu.

"Atas dorongan ramai guru yang berpengalaman dalam subjek bahasa Melayu, iaitu Cikgu Chua Ah Huah merupakan pelatih utama, Cikgu Mandy Sikh Bee Sikh dan Cikgu Amillia Azmi, lama kelamaan saya boleh mengajar subjek itu dengan baik sehingga pernah mendapat anugerah pada pertandingan bercerita di peringkat daerah dan negeri," katanya.

Katanya, dilantik Edufluencer oleh Kementeria Pendidikan (KPM) membuatkan beliau lebih bersemangat untuk mengukuhkan pengetahuan dan mempelbagaikan kemahiran pengajaran kendiri untuk memanfaatkan proses pembelajaran secara optimum.

"Sebagai guru dalam zaman teknologi ini, saya perlu sentiasa bersedia menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan serta perkembangan dalam dunia pendidikan yang penuh dengan cabaran," katanya.

Mendapat Johan pada Pertandingan Bercerita Sekolah Rendah (Tahap 1) Sempena Karnival Bahasa Melayu Peringkat Petaling Utama 2019

Info:

Nama: Liew Lee San

Tarikh lahir: 20 Ogos 1990

Asal: Sandakan, Sabah.

Guru subjek: Bahasa Melayu

Sekolah: SJKC Yuk Chai, Petaling Jaya, Selangor

Pendidikan: Institut Pendidikan Guru-Matematik (Sarjana Muda), Universiti Malaya-Teknologi Pengajaran (Sarjana)

Pencapaian:

1. Edufluencer (KPM) 2019

2. Naib Johan Pelatih Murid pada Pertandingan Inovasi Sekolah peringkat negeri Selangor 2015

3. Johan Pertandingan Inovasi Sekolah peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama 2015

4. Pemenang Peringkat Zon MyINOVASI peringkat kebangsaan 2014

6. Kreativiti dan Inovasi (CIC), Penyelidikan Tindakan (CAR) dan IPG Lestari (CSI) 2014

7. Penyelidikan Tindakan IPG Kampus Batu Lintang 2014

8. International Conference on Action Research in Education 2014

Reaksi:

"Saya suka menggunakan Tanggakus ini untuk menjawab soalan darab dan bahagi, ia sangat mudah, saya dapat menjawab pembahagian panjang dengan lebih cepat dan tepat dengan menggunakan Tanggakus Cikgu Lee San."

Aishah Humaira Abdul Hamid
Tahun 5
SK St Theresa Padugan, Sarawak

"Bagi saya dengan menggunakan set Tanggakus saya boleh membuat pendaraban dengan begitu mudah dan cepat manakala untuk bahagi pula saya rasa boleh buat jauh lebih baik."

Hosanne Camerlite Anak Joseph Joe
Tahun 5
SK St Theresa Padugan, Sarawak

"Pada permulaannya saya tidak faham bagaimana menggunakan Tanggakus ini, tetapi Cikgu Lee San menerangkannya dengan lebih jelas dan mudah untuk difahami."

Joel Elijah Anak Bryan Royston 
Tahun 5
SK St Theresa Padugan, Sarawak

"Boleh tahan ciptaan cikgu Liew ini, saya rasa ia memang boleh membantu murid dalam pengiraan darab dan bahagi. Ia boleh dipasarkan, Tanggakus ini merupakan satu alat mesra pengguna, jika ia dipasarkan saya akan beli."

Jose[email protected] Amen Anak Minyol
Guru Besar,
SK St Theresa Padugan, Sarawak

GPSBestari menyokong Jiwai Rukun Negara

Artikel Menarik:

'Tak apa Alia, kalian dan Allah bersama saya..' - Cikgu Fadli disekat jumpa Alia

'Syafiqah, maafkan cikgu. Andai waktu boleh diputar... - Cikgu Koreayati luah kekesalan

Jauhi aura negatif di tempat kerja, guru ini dedah tiga tip yang boleh anda cuba...

Cikgu boleh amal tujuh tip ini untuk jadi guru yang disukai pelajar

150 guru terpilih Program Duta Guru - Selepas ini bahan PdPC lebih menariklah