Setiap orang ada cerita menarik ketika zaman persekolahan.

Begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon.

Katanya, banyak kenangan yang sukar dilupakan dan yang paling diingati adalah kreativiti guru-guru ketika mengajar walaupun tanpa kemudahan yang mencukupi.

"Masa dulu, penggunaan multimedia tak ada. Jadi, guru-guru kena kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

"Ketika saya tingkatan 6, Cikgu Geografi ajar tentang gunung berapi. Cikgu gunakan kedua-dua tangan dan cuba membentuk seolah-olah tangannya itu sebuah gunung berapi yang sedang meletup.

"Sebagai pelajar, saya dan rakan cuba imaginasi apa yang diterangkan oleh cikgu. Begitu susah belajar masa dulu, tapi kami tetap seronok untuk belajar," katanya.

Beliau berkata, zaman sekarang sudah berbeza.

"Sekarang main tekan je dekat internet. Semua nampak dan dapat lihat proses perkembangan gunung berapi berlaku. Jauh beza dengan zaman dulu," ujarnya yang kini masih berhubung dengan cikgu Azizul, iaitu guru yang banyak mengajarnya mengenai pelbagai formula.

Sin Woon yang mendapat pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kuo Min, Nilai dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Said sempat meninggalkan sedikit pesanan untuk pelajar dan guru.

"Untuk pelajar, sesi belajar sangat menyeronokkan. Belajar bukan hanya untuk menimba ilmu tetapi sebenarnya memberi peluang untuk kita bergaul dengan kawan dan orang ramai. Jadi, jangan sia-siakan masa dan belajarlah bersungguh-sungguh untuk jaminan masa depan.

"Untuk guru pula, jalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik dan anda harus berbangga kerana anda telah berkhidmat untuk negara sendiri," jelas beliau.