Fokus ketika belajar, ulangkaji, dan rajin bertanya guru adalah rahsia cemerlang dalam pelajaran. Murid tidak perlu malu bertanya, sebaliknya ia adalah peluang besar untuk murid itu memahami subjek yang diajar guru di dalam kelas.

Bersama Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran, GPSBestari kongsi 10 petua belajar menuju kejayaan.

1. Ada matlamat yang jelas iaitu apa yang hendak dicapai. Apabila jelas matlamatnya, maka jelaslah jalan mana yang hendak dituju.

2. Perlu ada perancangan pelaksanaan untuk capai matlamat itu tadi. Tanpa perancangan yang rapi, kejayaan yang cemerlang sukar untuk dicapai.

3. Perlu bertindak melaksanakan apa yang telah dirancang. Impian tanpa pelaksanaan adalah sia-sia. Bertindaklah sebagaimana yang dirancang, insya-Allah barulah kejayaan itu ada sinarnya.

4. Perlu konsisten atau berdisiplin melaksanakan tindakan tersebut.

5. Perlu menambah baik jika ada kelemahan semasa pelaksanaan tadi. Misalnya dari segi tempoh masa, waktu kesesuaian belajar dan buku yang digunakan.

6. Perlu fokus sepanjang tempoh pelaksanaan. Elakkan perkara yang tidak perlu seperti cinta dan abaikan perkara remeh-temeh seperti sikap kawan-kawan yang mungkin mengganggu emosi.

7. Jaga hubungan dengan Pencipta kita dan orang-orang di sekeliling.

8. Bantu orang lain supaya sama-sama berjaya. Prinsip mudahnya, lagi banyak kita mengajar orang lain, Insya-Allah lagi kuat ingatan dan lagi bertambah ilmu kita.

9. Sentiasa yakin akan kejayaan yang bakal  menjelma. Tanpa keyakinan, kita tidak boleh mengalahkan pelbagai rintangan yang sentiasa mendatangi kita.

10. Jangan sesekali mengalah. Sekali melangkah, teruskan berjuang sehingga ketitisan yang terakhir.

Tip Menarik:

11 Kantin sekolah dengan dekorasi mewah ini patut jadi destinasi lawatan penanda aras

Mak ayah kena buat ini jika mahu anak Tahap Satu cemerlang Matematik tahun 2020

Tip mudah ingat sifir 2,5,10 dan 11 cara Teacher Shaza

Cikgu ini kongsi cara hafal sifir dalam masa sehari - Murid-murid pasti dapat skor Matematik nanti