SETIAP tahun, pasti ada guru-guru yang baru melapor diri sebagai guru baru atau berpindah daripada sekolah lama. Sebagai orang baru, tidak kira kita benar-benar guru baru atau guru yang baru berpindah, kita perlu faham, kita tetap orang baru di sana.

Sebagai guru yang ada pengalaman bertugas sebagai guru baru dan juga berpindah ke sekolah baru, izinkan saya berkongsi sedikit petua di sini.

1) Hormati guru-guru di sekolah baru

Maksud saya, jangan kita buat tak tahu apabila bertemu mata. Paling tidak senyumlah dahulu. Jika ada sedikit kekuatan, bertanyakan khabar mereka. Kita perlu faham, orang lama di tempat baru kita itu tetap senior walaupun mungkin kita lebih lama berkhidmat dalam dunia pendidikan. Tidak rugi kita bermanis muka sebagai tanda kita ini orang yang ada budi bahasa. Jika kita mahu dihormati dan disenangi, kita perlu tahu menghormati.

2) Jangan tunjuk kita ini serba tahu

Bukan kita tidak boleh menunjukkan kemampuan diri, tetapi dengan cara yang tidak menyakitkan hati orang lama di sana. Ini tidak, kita komplen kerja orang dan kita puji diri sendiri. Jawatan orang kita ambil dan kita tidak mahu mendengar pandangan orang lain. Ini tidak baik untuk hubungan jangka panjang.

3) Banyakkan bertanya

Orang baru kena banyak bertanya supaya cepat belajar. Ingat, jika kita guru lama, budaya kerja di sana mungkin berbeza. Tunjukkan kita ini orang yang ada budi bahasa. Pasti kita akan disenangi orang.

4) Banyakkan mendengar

Orang baru elakkan terlibat dengan kumpulan tertentu. Jadi pendengar sahaja dan jangan terlibat dengan politik organisasi yang wujud. Kita mungkin tidak tahu siapa sebenarnya yang betul. Sikap berdiam diri itu akan menyelamatkan kita daripada fitnah yang lain.

5) Jangan mengelak kerja

Ini yang kita perlu elakkan. Belajarlah menerima dahulu. Selepas itu baru berbincang dengan pihak tertentu berkaitan tugasan. Mungkin ia tugasan baru, maka kita perlu belajar dengan guru yang berpengalaman. Mengelak kerja bukan sahaja mengundang rasa meluat di hati orang lain, malah boleh menyebabkan prestasi kita kurang baik.

6) Pastikan waktu datang dan balik kerja mengikut peraturan sekolah

Perkara ini juga turut dinilai dalam organisasi. Jangan kita tersenarai dalam golongan yang sering datang lewat tanpa sebab. Orang baru perlu menunjukkan sikap yang baik di tempat baru. Jika tidak, kita akan jadi bahan gosip di sana.

7) Masuk kelas tepat pada masanya dan mengajarlah dengan penuh kesungguhan

Orang baru jangan ambil remeh akan perkara ini. Banyak mata yang sedang memandang kita. Tunjukkan kita ini orang yang amanah dalam bekerja. Pelajar sedang menilai kita dan mereka pasti akan menyebut siapa kita di belakang kita.

8) Terima seadanya apa yang kita terima di sana

Kadang-kadang kita rasa kurang selesa berbanding di tempat lama. Tetapi kita perlu faham bahawa kita ini orang baru. Mungkin untuk sementara waktu, hanya itu yang ada. Mungkin juga kita terpaksa mengambil alih kelas yang bermasalah. Oleh kerana kita orang baru, kita yang perlu menerimanya. Begitulah adat menjadi orang baru. Ambillah ia sebagai pengalaman baru dalam hidup kita. Jangan merungut. Fikir solusi untuk menghadapinya. Apa yang pasti, lambat-laun kita akan dapat menyesuaikan diri dan satu hari kita akan mendapat keselesaan dan dipermudahkan dalam tugasan kita.

9) Sampaikan suara hati kita dengan berhati-hati

Orang baru kadang-kadang diberi pelbagai kerja. Perkara ini mungkin tidak disedari oleh pihak pengurusan. Apa yang terbaik, jika kita rasa beban kerja sudah terlalu banyak, bawalah kepada pengetahuan mereka. Sampaikan kepada mereka secara baik supaya mereka boleh memahami apa yang kita maksudkan. Kita perlu faham, dalam keadaan tertentu, kita perlu belajar mengatakan tidak. Bukan kita mahu mengelak kerja, tetapi kerja yang ada sudah cukup banyak dan membebankan kita. Bagaimana jika mereka tidak mahu mendengarnya? Bersabarlah. Ingat, kita ini orang baru dan kita ada nilai diri. Jangan sampai tindakan kita menyebabkan nilai diri kita menjunam di mata orang, sedangkan kita hanya bertindak untuk hak kita di dalam organisasi. Apa yang penting, kita sudah menyampaikan, selebihnya, serahkan kepada-Nya.

10) Elakkan berada dalam kumpulan yang dominan, sebaliknya bergaullah dengan semua orang

Inilah kesilapan yang sering kita buat sebagai orang baru. Kumpulan yang dominan dalam organisasi, belum tentu kumpulan yang baik. Mereka memang mencari pengaruh dan kita jangan terperangkap dalam permainan mereka. Jadilah orang yang neutral. Ke mana pergi, diterima, disenangi dan disegani.

Sumber: Facebook Razali Saaran

- Merupakan Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan

Artikel Menarik:

Cikgu kena tahu 10 pantang larang ini bila pindah sekolah baru

12 tip untuk guru baru dan yang bakal berpindah - Faham dan hadam

'Lima pesan saya kepada guru-guru yang baru posting'

Cikgu sebak bila baca kad pemberian murid Tahun Enam...tak sangka ini yang anak didiknya tulis