Sukarkah untuk menjadi pekerja yang disukai ketua? Bagaimanakah pula cara untuk menambat hati ketua? Guru Penolong Kanan Tingkatan Enam, Pusat Tingkatan Enam SMK Dato Undang Musa Al-Haj, Jelebu, Negeri Sembilan, Cikgu Razali Saaran ada tipnya.

Sejujurnya saya kurang berminat untuk menulis tentang pekerja yang bagaimana yang disukai ketua kerana perkataan SUKA itu subjektif sifatnya dan sudah pasti definisi SUKA itu akan ditafsir mengikut jenis ketua.  

Seperti yang kita tahu, ketua itu ada pelbagai gaya dan ragam kepimpinannya. Oleh kerana wujudnya perbezaan tersebut, setiap orang pasti ada pandangan yang tersendiri berkaitan ketua dan pekerja yang bagaimana menjadi kesukaan mereka. Jadi, perkara ini pasti akan menyebabkan perdebatan yang tiada akhirnya.

Maka, saya kongsikan sedikit tip bagaimana untuk menjadi seorang pekerja yang disukai ketua.

Ia secara umum dan ia hanyalah pandangan peribadi saya sahaja. Mungkin juga pandangan ini salah dan berbeza dengan pandangan orang lain.  Walaubagaimanapun, saya berharap moga ada juga manfaatnya kepada pembaca, Insya-Allah.

1. Berilmu

Jika seseorang pekerja itu mempunyai ilmu yang diperlukan dalam tugasannya, sudah tentu ia disukai oleh ketua. Orang berilmu biasanya dipandang tinggi dan dijauhi daripada keburukan. Dengan ilmu yang ada akan melancarkan perjalanan organisasi. Ketua juga biasanya suka meminta bantuan tertentu kepada pekerja berdasarkan kepakarannya.

2. Mahu belajar dan cepat menyesuaikan diri dengan tugasan

Ada juga pekerja yang tiada pengalaman dalam sesuatu tugasan. Namun, apabila diberi tanggungjawab, mereka menerima dan mahu belajar bagaimana untuk melakukannya. Mereka menunjukkan kesungguhan dan sikap yang baik. Mereka tidak menolak kerja tanpa alasan yang munasabah. Mereka juga cepat belajar dan cepat menyesuaikan diri dengan tugasan yang diberi.

3. Tidak bertangguh kerja

Ini juga mungkin pekerja kesukaan ketua. Orang yang suka bertangguh adalah mereka yang tidak komited dengan kerja. Sikap mereka itu menyebabkan tugasan orang lain turut terganggu. Bayangkan tugasan itu melibatkan pihak luar yang berautoriti? Apa persepsi mereka terhadap ketua dan organisasi? Tentu anda ada jawapannya.

4. Proaktif

Dalam sesebuah organisasi, tidak ramai yang proaktif dalam bekerja. Sudah tentulah golongan yang tidak ramai ini disukai ketua. Mereka ini bukan sekadar melaksanakan tugasan dengan pantas, malah mereka turut melakukan sesuatu yang kadangkala tidak disangka oleh ketua, tetapi telah menjadikan tugas ketua semakin mudah.

5. Pemantauan kerja yang minimum

Pekerja yang begini akan memudahkan urusan ketua. Jika ketua perlu membuat pemantauan yang banyak, mungkin urusan kerja ketua turut terganggu dan memerlukan tenaga yang banyak.

6. Tahan ditegur

Ada pekerja yang mudah melenting jika ditegur. Bukan tidak boleh bersuara semula, tetapi perlu melihat kepada keperluan dan kepentingan organisasi, serta cara suara itu disampaikan. Biasanya ketua sangat prihatin kepada perkara ini. Sampai satu tahap, mungkin ketua naik letih dengan sikap tidak boleh ditegur itu. Jadi, jika pekerja tahan ditegur dan bertindak untuk memperbaiki kelemahan, sudah tentu mereka disukai ketua.

7. Tepati masa

Ini juga perkara yang sangat diberi perhatian oleh ketua dalam menilai tindak-tanduk pekerjanya. Misalnya masa sampai di tempat kerja dan ketika menghadiri mesyuarat dalaman. Kebanyakkan organisasi, masalah ketidakpatuhan pada masa sering berlaku. Jika ini dijaga dengan baik, ketua akan menyukai pekerja tersebut.

8. Mengikut arahan

Tugas ketua ialah memberi arahan. Apabila pekerja akur dengannya dan melaksanakan bersungguh-sungguh, kita percaya pekerja itu akan disukai. Tidak ada ketua yang suka arahannya diingkari.

9. Menghormati ketua

Ini juga ciri pekerja yang disukai. Misalnya ketua itu mungkin lebih muda daripadanya. Namun mereka tidak memandang kepada umur dan senioriti, sebaliknya mereka menghormati jawatannya. Mereka juga bertindak mengikut peraturan organisasi sebagai tanda menghormati ketua. Mereka tidak bertindak sesuka hati dan sentiasa mendahulukan ketua sebelum melakukan sesuatu.

10. Bersungguh-sungguh dalam bekerja

Ketua biasanya memerhatikan pekerjanya ketika melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Dalam kalangan pekerja itu ada yang Bersungguh-sungguh dan ada juga yang cincai serta sambil lewa sahaja. Jika ingin menjadi pekerja yang disukai, tunjukkan kesungguhan dalam bekerja. Elakkan diri daripada sikap sambil lewa dan bermalas-malasan semasa bekerja.

Artikel pilihan:

Jika murid anda kidal, ini yang perlu dilakukan...

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Tiga sebab ini perlu ada, jika mahu jadi guru yang cemerlang dan bernilai