Peralihan usia dan peringkat pembelajaran menjadikan sesetengah ibu bapa juga murid sering berasa gusar dengan perubahan. Pelbagai andaian yang difikirkan, lebih-lebih lagi bila anak yang dahulunya bersekolah rendah bakal melangkah ke dunia baru.

Tidak hairanlah jika sesetengah sekolah turut menganjurkan program melangkah ke sekolah menengah, bagi memberikan pendedahan berkaitan pembelajaran dan budaya pelajar di sekolah menengah.

Sebagai persediaan buat murid yang bakal memasuki alam remaja, ada beberapa tip yang boleh murid amalkan.

Ikuti 10 petua ringkas dari Guru SMK Dato’ Undang Musa Al-haj, Jelebu, Cikgu Razali Saaran.

Para pelajar tahun 6 baru sahaja menutup bukunya di sekolah rendah. Setelah bertarung selama enam tahun di sekolah rendah, tidak lama lagi mereka akan memasuki sekolah menengah yang merupakan dunia baru buat mereka.

Secara umumnya, dunia baru yang bakal mereka tempuhi itu berbeza dengan dunia lama yang mereka telah tinggalkan. Walaupun saya kini mengajar di Tingkatan Enam, namun sebelum ini pernah juga merasa mengajar di Tingkatan Satu.

Menurut pemerhatian saya, pelajar Tingkatan Satu ini ada gaya mereka yang tersendiri ketika di sekolah. Maklumlah, mereka masih baru dan sedang membiasakan diri dengan dunia baru mereka.

Menjelang sesi persekolahan yang bakal bermula pada tahun hadapan, saya kongsikan sedikit petua buat murid-murid yang bakal melangkahkan kaki ke Tingkatan Satu.

Walaupun mungkin ada petua lain yang Lebih penting dan tidak dikongsikan di sini, semoga 10 petua ringkas ini dapat juga membantu murid-murid memulakan sesi pembelajaran yang lebih mencabar itu.

1. Cari maklumat awal sekolah yang akan dimasuki

Saya rasa perkara ini agak penting supaya anda tidak berasa janggal ketika melangkahkan kaki ke sana. Maklumat awal akan menjadikan anda lebih tenang kerana tempat yang baru pasti menjadikan anda berasa asing dan serba tidak tahu sehinggakan anda jadi gelisah.

2. Tetapkan matlamat

Ini adalah perkara yang cukup penting. Apa yang berlaku di tahun enam perlulah diabaikan sahaja. Kini anda bakal memasuki alam baru yang lebih mencabar dan yang akan menentukan hala tuju kehidupan anda selepas itu.

Oleh itu, anda perlu tahu apa yang hendak dicapai supaya anda dapat fokus kepada matlamat tersebut. Tanpa matlamat yang jelas, anda akan tercari-cari jalan mana yang hendak dituju dan apakah penghujungnya.

Selain daripada matlamat utama tadi, anda juga perlu tahu aktiviti kokurikulum mana yang akan dipilih. Walaupun belum muktamad kerana mungkin boleh bertukar selepas itu, anda boleh mencari maklumat awal berkaitan dengannya. Misalnya badan berunifom dan kelab apa yang hendak disertai. Sekiranya anda berminat dengan aktiviti yang mencabar, mungkin boleh sertai badan berunifom seperti pengakap dan kadet polis.

3. Bersedia daripada fizikal dan mental

Belajar di sekolah menengah memang mencabar. Jika di sekolah rendah subjek utamanya terdiri daripada Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, namun subjek di sekolah menengah lebih banyak lagi. Untuk pelajar Tingkatan Satu, anda akan turut mempelajari subjek yang lain seperti Geografi, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Pjk, dan lain-lain lagi.

Subjek yang banyak itu sudah tentu akan memenatkan badan dan otak anda. Ini ditambah lagi dengan subjek yang baru dan sukar. Pasti tekanan akan berbeza berbanding semasa belajar di sekolah rendah dahulu.

4. Cepat Sesuaikan Diri

Buang segera sifat keanak-anakan yang masih dibawa daripada sekolah rendah. Guru-guru di sekolah menengah kebiasaannya menganggap anak-anak di sekolah adalah berdikari dan tidak sesuai dilayan seperti pelajar sekolah rendah. Jadi, elakkan bersikap keanak-anakan di hadapan mereka. Tunjukkan anda pelajar yang sudah matang dan berkeyakinan.

Anda juga perlu memahami, cara belajar di sekolah menengah lebih bersifat kendiri. Budaya belajar disuap guru tidak sesuai lagi di sekolah menengah. Para pelajar perlu belajar membuat nota dan mencari maklumat yang berkaitan mengenai apa yang dipelajari untuk meningkatkan kefahaman mereka. Keadaan ini sekiranya tidak difahami dengan jelas akan menyebabkan pelajar ketinggalan.

5. Hormati Pelajar Senior

Anda perlu faham, para pelajar senior di sekolah menengah lebih besar dan mencabar ragamnya. Ada sesetengah sekolah, pelajar paling senior berumur 19 tahun kerana mereka sedang berada di semester 2 ( Tingkatan Enam atas).

Sebab itu, anda perlu ada hati yang kuat. Jangan cepat sentap apabila ditegur oleh mereka. Anda perlu tenang dan jangan kalut ketika berhadapan dengan mereka. Tunjukkan anda sudah matang dan layak dilayan seperti remaja lain yang berada di sekolah menengah.

Apa yang penting, tunjukkan sikap yang menggambarkan anda menghormati mereka melalui tutur kata dan gerak badan anda. Kadang-kadang gerak badan itu boleh menimbulkan rasa curiga di hati orang lain yang akhirnya menyebabkan perbalahan berlaku.

6. Jauhi kumpulan yang bermasalah di sekolah.

Di mana-mana sekolah pun, mungkin ada segolongan pelajar yang sering menimbulkan masalah kepada pihak sekolah. Sekiranya anda melihat kumpulan yang sebegini di sekolah, jauhi mereka.  

Tumpukan kepada matlamat anda ke sekolah. Sekiranya anda terpengaruh dengan mereka, diri sendiri yang akan rugi. Ingat, dengan siapa kita bersahabat, itu yang menentukan masa hadapan kita.

7. Kenal pasti rakan yang sesuai dijadikan sahabat baik

Di awal persekolahan, anda akan bertemu dengan pelajar yang sudah dikenali di sekolah rendah dan pelajar yang belum pernah ditemui.

Dalam tempoh awal persekolahan itu, berkawanlah dengan semua orang dan dalam masa yang sama kenalpasti mereka yang sesuai dijadikan sahabat.

Sahabat yang baik itu mempunyai matlamat yang sama dan jelas seperti anda iaitu untuk berjaya dengan cemerlang. Kesilapan memilih kawan, mungkin akan membawa anda kepada jalan yang salah dan merugikan.

8. Kuasai subjek yang diajar oleh guru

Kebanyakan subjek adalah sukar dan berkesinambungan dengan tingkatan yang akan datang. Jika asasnya lemah, untuk jangka panjang ia tidak baik untuk anda. Oleh itu, jika tidak faham, segera bertindak untuk menguasainya dengan cara berjumpa dengan guru atau bertanya kepada rakan-rakan. Jangan biarkan masalah tidak faham itu berlarutan. Kelak ia akan menyusahkan hidup anda.

9. Setiap guru wataknya berbeza-beza

Saya percaya, semua guru ingin melihat anak didiknya berjaya. Namun begitu kita perlu faham bahawa watak mereka tidak semestinya sama. Ada guru suka membuat lawak dan ada guru yang serius sepanjang pengajarannya. Begitulah guru, berdiri bersama watak masing-masing dan pelajar perlu memahaminya. Atas sebab itu kita tidak boleh melayan guru-guru dengan cara yang sama.

Sebaiknya, biarlah cara berkomunikasi dengan guru itu secara formal bagi guru-guru yang kita mungkin belum biasa dengannya. Bagi guru yang mungkin kita agak biasa dengannya, bolehlah komunikasinya lebih santai. Apa yang penting, sama ada formal atau santai, jagalah tutur kata serta sikap kita dan gunakan bahasa mulut dan bahasa badan yang baik sepanjang berinteraksi dengan guru-guru di sekolah.

10. Segera melaporkan sekiranya anda dibuli atau diganggu

Inilah perkara yang cukup penting. Kita harap anda tidak berdiam diri andai dibuli, diugut dan sebagainya. Segeralah melaporkan kepada guru. Janganlah takut kerana undang-undang akan melindungi anda. Ketangkasan bertindak bukan sahaja dapat melindungi anda, malah dapat melindungi pelajar lain daripada dibuli atau diganggu pada masa hadapan.
 

Artikel Menarik:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Persediaan Matematik Tahun Enam 2020 - Pesanan penting guru ini 'kena mula dari sekarang'

'Perlu jaga imej' - Guru ini kongsi empat elemen imej yang perlu ada pada pendidik

'Tidak layak ke sekolah berasrama penuh, bukan gelap masa depan' - Penulis ini kongsi pengalaman