Saat negara kita diuji dengan pandemik Covid-19, ramai yang mula rasa takut dan gelisah.

Takut dan gelisah kerana banyak perkara yang terpaksa dihentikan ekoran kita kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini membataskan pelbagai urusan untuk diselesaikan.

Bagi golongan guru, ibu bapa dan murid, mereka juga tidak terkecuali merasai tempias.

Dek musim PKP ini, golongan ini perlu berhadapan dengan dunia pendidikan yang kesemuanya perlu dijalankan secara dalam talian.

Kaunselor Berdaftar, CR Afizul Mohammad berkata, untuk memastikan daripada terus-terusan dalam dilema, golongan berkenaan perlu mengikuti beberapa tip.

“Sebagai manusia, Covid-19 adalah satu ujian yang perlu kita lalui dengan sabar. Terdapat banyak cara yang boleh kita buat untuk kelihatan sentiasa bahagia sepanjang PKP.

“Saya kongsikan 11 cara bahagiakan diri sendiri di musim PKP ini,” katanya.

Ikuti tip berkenaan di bawah ini. 

1) Reda dengan semua yang berlaku kerana semua yang terjadi atas izinNYA. Dengan menerima  realiti yang berlaku kita akan lebih terbuka dan sedar diri.

2) Buat sesuatu aktiviti atau kerja sepanjang hari yang baik dan sihat. Supaya badan jadi lebih proaktif dan cergas. Orang yang banyak tidur lebih mudah tertekan dalam hidup.

3) Sapa diri sendiri dengan kata-kata yang memberikan semangat dan motivasi diri. Manusia sentiasa naik turun tidak menentu, kita yang harus pastikan diri dalam kawalan yang betul.

4) Jangan mengeluh atau selalu mengeluarkan perkataan negatif, nanti semua jadi tak best. Fikiran kita mudah terganggu dan terfokus benda negatif. Hati-hati dalam ‘self talk’ takut jadi lebih teruk.

5) Baca buku, baca FB yang positif sahaja, tengok Youtube yang baik-baik sahaja. Pilih dan tapis untuk kuatkan kerangka fikir kita. Kita yang kawal apa yang mahu kita tengok dan jadi, bukannya benda lain yang kawal kita dengan mudah.

6) Mulakan menulis atau menaip. Apa sahaja tentang perkara yang baik-baik. Ini adalah terapi positif yang membuatkan kita muhasabah diri secara kita tak sedar. Biar sikit dulu, biar macam merapu dulu, lama-lama jadi lebih cemerlang. Dengan menulis otak mula ligat berjalan.

7) Ambil masa zikir, baca al-Quran dan buat sesikit kebaikan. Tolong kemas rumah ke, tolong pasangan atau anak-anak ke, sedekah online ke atau apa sahaja. Ia akan tingkatkan motivasi diri.

8) Banyakkan senyum pada orang sekitar dengan pasangan, anak-anak atau depan cermin. Sambil tu doakan diam-diam agar kita sentiasa diredhai dan dipermudahkan urusan.

9) Elakkan membandingkan diri kita dengan orang lain terutama kawan sosial media kita. Kita semua banyak ‘topeng’, maka kita jadilah diri sendiri seadanya dan tambah baik diri lebih baik. Jadi terbaik versi kita je.

10) Banyakkan bercakap dengan orang tua kita, hubungi setiap hari, bahagiakan mereka walau dengan bertanya khabar. Automatik kita pun jadi lebih bahagia. Keberkatan hidup itu sangat penting.

11) Biar diri rasa cukup apa yang sudah ada. Doakan rezeki yang kita dapat kita rasa cukup. Digandakan dan di lebihkan alhamdulillah. Hidup bukan mengejar kebendaan, ia sekadar ujian. Kecukupan adalah yang terpenting.

Inilah kebahagiaan, ia bukan dicari, kebahagiaan adalah dirasai. Ia sudah ada depan mata dan dalam diri kita. Rasailah.

Artikel menarik

Jadi cikgu jiwa kena besar: 5 kata-kata motivasi dari Ustazah Aminah

Unik, replika batu bersurat di SMK Seksyen 18 jadi perhatian