Ibu bapa yang berkerjaya, tentunya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk bersama dengan anak-anak.

Dek kerana itu, hubungan antara mereka menjadi renggang dan akhirnya akan memberi impak negatif pada anak mereka.  

Perkongsian daripada Guru Pendidikan Awal Kanak-kanak, Ashikin Hashim berkenaan tip rapat dengan anak, diharapkan dapat membantu dan  menjadi panduan kepada mak ayah.

Mari kita ikuti perkongsian Cikgu Ashikin yang juga seorang pengetua tadika.

*****

Tip rapat dengan anak

1) Salam dan peluk anak - biasanya dilakukan selepas solat berjemaah atau ketika anak mahu pergi sekolah. Boleh juga kita buat setiap kali sebelum tidur.

2) Usap kepala anak - Usap kepala anak tanpa mengira waktu. Waktu berselisih dengan anak di rumah, cepat usap kepalanya. Anak pasti balas dengan senyuman.

3) Ucap terima kasih - Walau kecil bantuan yang diberikan, ucaplah terima kasih.

4) Mohon maaf - Usah ego. Jika kita bersalah, mohon maaf pada anak.

5) Hulur bantuan – Selalu hulur bantuan pada anak. Contohnya kita tengok dia susah nak butang baju. “Wajdi boleh ke tu. Nak ummi tolong? "

6) Kongsi makanan - Sedikit atau banyak makanan yang kita ada di rumah atau di luar, dikongsi dan dirasai bersama.

7) Raikan kejayaan walau kecil - Contohnya ketika anak mendapat keputusan peperiksaan. Apa jua keputusan anak ketika peperiksaan pertengahan dan akhir tahun, raikan bersama. Sekurang-kurangnya belanja aiskrim!

8) Luangkan masa bercerita dan berbual mesra setiap hari - Balik kerja memang semua orang penat. Cuba ambil sedikit masa duduk bersama dan tanya khabar anak-anak hari ini. Macam mana di sekolah, kawan ok ke tak, best tak sekolah. Kadang kita tak tahu pun anak kita merana di sekolah. Tak enjoy. Dia nak cerita pun tak tahu. Kesian kan?

9) Bermain dan berguraulah dengan anak! - Maafkan saya sedikit menegur. Saya perhatikan ramai ibu ayah yang kekok bergurau dan bermain dengan anak termasuklah nak ketawa pun susah. Inilah yang membuatkan kita jauh dengan anak. Anak rasa ayah seperti orang luar. Takut nak tanya. Takut nak bergurau. Akhirnya apabila anak dah bijak sedikit, dia akan suka berjalan rumah kawan. Cari orang lain sebagai mentor dalam kehidupan.

10) Rancang percutian atau sesi jalan-jalan cari makan dengan anak sekurang-kurangnya sebulan sekali (mungkin selepas Covid-19 reda) - tak perlu yang mahal-mahal. Cukup yang termampu bagi kita. Pergi padang permainan pun sudah cukup membahagiakan anak.

11) Berikan hadiah sekali sekala sekurang-kurangnya ketika hari lahir anak - tak perlu yang hebat dan mahal pun. Sekeping kad pun kadang-kala sudah buat si anak rasa benar-benar dihargai.

Sumber: Telegram Nota Keluarga Ashikin Hashim

Artikel menarik

Elak wajah ditumbuhi jerawat, ini 8 langkah pencegahan yang guru dan pelajar wajib tahu

Tahun 2020 bawa tuah, 22 inovasi FSKM, UiTM terima perlindungan hak cipta