GURU agama dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor, Muhammad Shawal Suhaimi berkongsi 15 aktiviti bermanfaat untuk murid tahun enam lakukan selepas UPSR.

Perkongsian menerusi akaun facebook Muhammad Shawal Suhaimi cukup menarik dan boleh dijadikan panduan buat mak ayah yang masih lagi buntu untuk mengisi masa lapang anak kelak.

Jom semak, apa cadangan daripada cikgu muda ini.

**********

1) Tahap DIAMOND punya caring ibu bapa tentang masa anak-anak ni. Join kem-kem yang meningkatkan sahsiah dan jati diri sebagai seorang anak, pelajar, remaja dan hamba. Rasanya lepas UPSR banyak NGO @ konsultan yang anjurkan program-program sebegini rupa. Sekolah pun ada yang anjurkan program-program ini, rajin atau malas jer. Jangan ikut malas anak-anak, kena ikut rajin dan kesungguhan ibu bapa.

2) Mantapkan bacaan al-Quran anak, fokus betul-betul, hantar ke kelas mengaji, cari guru Quran. Sekarang bulan 10, ada lebih kurang dua bulan sebelum anak-anak masuk tingkatan satu, cukup untuk anak dalami asas bacaan al-Quran. Jangan terkejut tahun enam masih ada lagi anak-anak yang tidak kenal huruf hijaiyyah, UPSR calon 6A...rugi...

Haaa, yang ni kena letak aktiviti wajib, kalau dah pandai baca sekali pun, hantar juga untuk dalami ilmu Quran yang lebih luas, mana tau ada rezeki anak-anak minat nak hafal Quran. Jadi hafiz...siapa yang untung...ibu bapa jugakan. Jadi yang buat tak tahu, wajib settle yang ni.

3) Luangkan masa, pantau solat anak-anak. Dari segi bacaan, perlakuan, ini masanya anak-anak hadam pelajaran wajib hidup ni. Tak payah nak pikir nak isi masa anak dengan apa kalau solat masih tak betul. Ajar anak-anak cara ambik wuduk dengan betul, cara solat, ruku’, sujud, bacaan-bacaan. Bagi settle semua. Mak ayah yang tak habis silibus solat pun boleh join sekali.

4) Mak ayah buat jadual harian mereka, bukan untuk mengongkong tapi untuk stabilkan aktiviti harian anak-anak. Risau jadi hantu lepas UPSR. Main game 24 jam je memanjang.

Last-last yang awalnya tawaduk, rajin, dengar kata sebelum ni, semua jadi hantu sebab tiada kawalan dalam aktiviti harian. Ingat anak-anak meningkat remaja ni, nafsu baru nak berputik.

Buat jadual, contoh: Bangun pukul 6, siap-siap solat, baca Quran dan sebagainya sehinggalah malam. Boleh selit juga main game, riadah-riadah, tengok tv, sebab mereka perlukan hiburan untuk reward diri mereka yang hard study for UPSR sebelum ni, tapi mesti control, WAJIB control.

5) Selitkan aktiviti (ikhtiar hidup), ajar mereka basuh pakaian sendiri, lipat pakaian sendiri, mengemas rumah, tolong mak kat dapur, tolong ayah kat luar, buat secara kreatif. Kalau tidak mereka akan rasa seperti terpaksa. Jadikan program untuk keluarga. Contoh, bagi tahu hari ni kita nak cantikkan dapur kita, bagi tugasan siap-siap. Buat bersama-sama. Nampak macam program keluarga mengemas rumah sebenarnya kita sedang mendidik.

6) Ziarah, ada anak anak kita belum kenal siapa Pak Long, Mak Long, Mak Ngah, Pak Ngah, Mak Su dan sebagainya, mungkin sebelum ni mereka rasa tidak perlu kenal atau mak ayah yang tidak bersungguh menziarahi mereka. Jadi, sangat molek la, ajak satu keluarga pergi ziarah menziarahi. Hubungan silaturahmi pun makin baik. Ziarah ni bukan time raya ja. Tak kan tunggu raya atau dengar berita saudara meninggal baru nak pergi ziarah. Last-last anak tanya, “mak ayah, siapa yang meninggal tu”...Tepuk dahi masa tu dah tak guna.

7) Solat berjemaah kat masjid. Sebenarnya aktiviti ini tak payah tunggu lepas UPSR, every time kena ajar anak-anak dekat dengan masjid. Tapi kalau sebelum ni, anak-anak kenal masjid time solat Jumaat dan solat hari raya ja, tu pun duk main kejar-kejar dekat belakang, haa, kali ni manfaat kan betul masa ni, pastikan anak-anak kenal rumah Allah, dan ajar sekali adab-adab duduk dalam masjid...kan terasa terisi gitu.

8) Baca buku. Aktiviti ni mungkin anak-anak akan rasa susah banyak nak buat, kan baru lepas UPSR, malas la nak baca buku...kan...kan...kan...Beli la buku-buku yang menarik, contoh pasal pengembaraan ke, pendekar-pendekar ke untuk anak lelaki. Kalau anak perempuan, novel-novel remaja pun boleh, tapi tetap kena pantau isi kandungannya, sebab banyak je novel-novel sekarang yang mengarut.

Lepas tu bila anak-anak dah mula tunjuk minat membaca, naikkan level content tu kepada buku-buku ilmiah. Banyak je buku-buku ilmiah santai. Tidak nampak akademik sangat. Jangan suruh baca buku Sejarah Tingkatan Lima sudah. Berkubur minat membaca.

9) Menjiwai alam, rasanya aktiviti ni yang best, bukan anak-anak je happy, mak ayah akan turut happy, Pergi la sekali sekala mandi manda dekat flora dan fauna, tempat air terjun, sejuk kan jiwa, tenangkan fikiran dan menjiwai alam, insya-Allah jiwa akan terasa lebih lapang dan hilang segala stress. Boleh Google lokasi yang ingin ditujui.  

10) Bawa ke tempat rumah anak yatim dan fakir miskin. Aktiviti ni sangat menarik untuk membentuk sifat empathy anak-anak. Mengajar anak-anak bagaimana rasanya seorang yang tidak ada mak dan ayah serta harta benda untuk kuat dan terus hidup. Selain tu boleh mengajar anak-anak memberi kepada yang memerlukan. Sebelum datang tu beli la barang-barang keperluan, nanti suruh anak-anak yang bagi sendiri. Bagi diorang rasa sifat memberi yang sebenarnya.

11) Main catur @ permainan merangsang minda. Anak-anak mesti suka main game ni, kalau yang tidak suka, mesti sebab diorang tidak pandai, so ajar la diorang main sampai pandai. Lama-lama diorang akan minat. Lebih fun daripada main game kat telefon tu. Selain dapat meluangkan masa, dapat asah minda. Betul tak?

12) Joging atau berbasikal, aktiviti ni lebih sihat dan dapat jaga diri daripada terkena apa-apa penyakit serta dapat rapatkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

Mungkin sebelum ni tiada jadual khusus untuk bersukan ni, kalau bersukan pun tidak teratur. So boleh tetapkan dalam seminggu, dua atau tiga kali jogging dan berbasikal sama-sama. Hari-hari lain biarkan anak-anak nak main dengan kawan-kawan. Jangan straight sangat buat jadual tu. Agak agak la.

13) Kuasai pembelajaran menggunakan media dan teknologi. Haa, kan ada juga masa dengan komputer, tapi ingat bukan untuk main game sebenarnya. Sikit-sikit boleh la. Tapi fokuskan diorang menguasai menggunakan Microsoft word, guna keyboard dan simpan maklumat dalam komputer, ia sebagai persiapan untuk sekolah menengah sebenarnya.

Aktiviti ni boleh buat dalam bentuk cabaran. Contoh: menaip karangan paling pantas, melukis menggunakan aps dalam komputer tu dan banyak lagi sebenarnya boleh buat dengan komputer ni. Tapi dalam kepala anak-anak nampak game je memanjang. Ubah pemikiran tu. Biar anak-anak tahu apa kelebihan besar lagi dengan komputer ni. Mana tau pandai buat duit nanti dengan komputer ni.

14) Memasak, aktiviti ni anak perempuan ke, anak lelaki ke semua boleh buat, mak ayah boleh ajarkan anak-anak memasak hidangan yang simple-simple, masak nasi dan bakar roti. Step by step. Cara menggunakan peralatan dapur, pisau dan sebagainya. Lepas tu bila dah pandai dan expert boleh ajar level master chef pula. Mana tau nanti anak-anak boleh sediakan makanan kat keluarga. Mak ayah tidak perlu susah-susah dah. Kaum mak biasanya mengeluh tiada pembantu kat dapur. So grab peluang ni.

15) Melancong tempat-tempat yang istimewa.

Dah, kat bawah ni khusus untuk cikgu-cikgu Tahun Enam yang nak buat aktiviti untuk pelajar.

Berikut disenaraikan contoh-contoh program yang boleh dianjurkan oleh guru dan pihak sekolah:

1. Kem Ibadah

2. Kem Jati Diri

3. Kem Hafazan Al-Quran

4. Klinik Al-Fatihah

5. Pertadingan Melukis

6. Pertandingan Rekacipta

7. Pertandingan Catur

8. Sukaneka

9. Hari Sukan Tahun Enam

10. Lawatan Sambil Belajar

11. Program pertukaran pelajar

12. Program khidmat sosial

13. Pertandingan Memasak

14. Bengkel Komunikasi dan Pengucapan Awam

15. Eksplorasi Tempat Bersejarah

16. Program Ramah Mesra Rumah Anak Yatim

17. Minggu Keusahawanan Murid

18. Bengkel Seni Mempertahankan Diri

19. Seminar Remaja Tolak Jenayah

20. Malam Kesenian Pelajar

21. Bengkel Reka Grafik dan Foto

22. Bengkel Fotografi

23. Seminar Kerjaya

24. Seminar Persediaan Sekolah Menengah

25. Gotong Royong Mesra Masyarakat

26. Bengkel Kraf Kertas/ Origami

27. Bengkel Buku Popup

28. Kembara Penulisan

29. Seminar Remaja Cemerlang

30. Program Cinta Alam Sekitar

31. Aktiviti Rentas Desa

32. Aktiviti Jelajah Berbasikal

33. Bengkel Membuat Video

34. Kembara Pantun dan Puisi

35. Bengkel Penulisan Kreatif

36. Program Keceriaan Kelas

37. Pertandingan Melukis Mural

38. Bengkel Anti Dadah

39. Demontrasi Anggota Bomba dan Penyelamat

40. Pertandingan Dekorasi Taman

41. Kursus Bahasa Asing

42. Bengkel Renang

43. Jungle Tracking

44. Pidato Remaja

45. Gotong Royong Kebersihan Sungai

46. Aperatis Kerjaya

47. Pertandingan Master Cheff Remaja

48. Bengkel Penulis Muda

49. Program Silang Bangsa dan Budaya

50. Program Remaja Celik IT

(Sumber: pendidik2u.my (Berkenaan 50 program yang boleh dianjurkan oleh guru dan pihak sekolah)

Habis UPSR tidak bermakna habislah belajar. Ia permulaan kepada peperangan dalam pendidikan sebenarnya. Jadi manfaatkan masa anak-anak sebaik mungkin.

Sumber: Facebook Muhammad Shawal Suhaimi