Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) merupakan inisiatif pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memastikan proses pembelajaran murid berlaku disamping mengurangkan defisit pembelajaran sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya menyediakan pelantar pendidikan digital seperti Delima dan Cikgootube yang merupakan koleksi video sesi PdPC mengikut mata pelajaran masing-masing.

Di samping itu, pelaksanaan pembelajaran teradun digalakkan oleh pihak KPM dalam tempoh ini memandangkan berlaku kekangan komunikasi antara guru, murid dan bahan.

Perkara ini dapat diatasi melalui penggunaan peranti dan akses internet yang mengupayakan batasan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, pembelajaran teradun bukan sekadar menggunakan teknologi atau menempelkan arahan tugasan sahaja, terdapat beberapa komponen penting yang harus diambil kira oleh guru sebelum pelaksanaannya.

Antara komponen dalam pembelajaran teradun adalah

1) Peranan pelajar yang berubah daripada pelajar pasif kepada pelajar aktif

Pelajar pasif merupakan pelajar yang menerima maklumat dan pengetahuan tanpa mengaitkan dengan proses pengetahuan sedia ada.

Mereka menerima maklumat melalui penerangan guru dan pembacaan buku teks, seterusnya pelajar menjawab soalan melalui lembaran kerja yang diberikan.

Murid-murid ini juga kurang memberi respon kepada guru ketika sesi PdPC berlangsung.

Pelaksanaan pendidikan digital memberi ruang kepada murid untuk lebih aktif ketika belajar melalui aktiviti eksplorasi maklumat melalui halaman web.

Pelbagai jenis sumber pembelajaran seperti video, teks dan audio, membolehkan murid belajar mengikut gaya pembelajaran mereka secara optimum bagi mencapai objektif pembelajaran yang dirancang.

Ia juga memberi ruang kepada peningkatan motivasi murid di mana mereka boleh melontarkan pendapat, berbincang dan bertanya kepada guru dan murid secara bertulis.

Perkara ini membolehkan murid mendapat peluang yang sama dalam sesi PdPC.

Perubahan persekitaran dalam sesi pembelajaran mereka memberi impak positif kepada peranan mereka dalam era digital.

Perubahan ini juga merupakan tunjang dalam menyokong kepada pembelajaran sepanjang hayat, yang merupakan salah satu ciri dalam masyarakat abad ke-21.    

2) Guru dan sistem sokongan

Perkara ini memerlukan peningkatan kemahiran profesional guru dalam aspek pedagogi dan kemahiran dalam melaksanakan pembelajaran teradun. Guru berkemahiran dalam merancang strategi yang berfokus kepada pelaksanaan pedagogi mata pelajaran serta menyediakan keperluan murid dalam pembelajaran abad ke-21.

Transformasi persekitaran kearah pembelajaran digital mengubah peranan guru daripada pembekal pengetahuan kepada fasilitator untuk murid-murid dalam sesi PdPC.

Di samping itu, guru juga bertindak sebagai sistem sokongan yang dilakukan secara rutin dan berkala bagi memastikan murid-murid menguasai kemahiran yang dipelajari.

Perkara ini memberi fokus kepada aktiviti troubleshooting teknologi untuk keberkesanan komunikasi jarak jauh dan sokongan dalam peningkatan kefahaman murid terhadap isi kandungan mata pelajaran.

Sistem sokongan juga didefinasikan sebagai sokongan akademik yang berfokus kepada pembangunan strategi pembelajaran yang berkesan yang bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan tentang literasi teknologi dalam melengkapkan tugasan (Wang et. al, 2015).

3) Pengintegrasian isi kandungan mata pelajaran dengan teknologi

Pengintegrasian merupakan aktiviti yang dilakukan guru-guru dalam sesi PdPC sama ada sebelum atau ketika tempoh pandemik bertujuan menyampaikan komunikasi berkesan. Pelbagai medium dieksplorasi dan digunakan oleh guru-guru untuk tujuan tersebut sepanjang murid-murid berada di rumah. Teknologi berperanan sebagai mekanisma mengupayakan batasan manusia untuk melengkapkan tugasan.

Dua jenis teknologi yang sering digunakan oleh guru-guru iaitu aplikasi pendidikan yang digunakan dalam aktiviti pembelajaran secara jarak jauh dan penggunaan media sosial yang membantu mengupayakan komunikasi dua hala antara guru dengan murid.

Di samping itu, penggunaan teknologi membantu guru dalam menghasilkan isi kandungan mata pelajaran yang interaktif, dinamik dan menarik untuk murid-murid.

Penggunaan aplikasi pendidikan dalam aktiviti pembelajaran memberi impak positif kepada motivasi dan sikap murid.

Sebagai contoh, menggunakan aplikasi pendidikan berbentuk permainan seperti Kahoot! dan Quizziz dilihat berupaya menarik penglibatan murid ketika PdPR. Perkara ini memerlukan kepakaran guru dalam merancang aktiviti pembelajaran dan pemilihan teknologi yang sesuai dengan keupayaan peranti dan kemahiran literasi murid-murid.

Kesimpulannya, pembelajaran teradun dilaksanakan bukan sekadar memberikan arahan tugasan atau menggunakan aplikasi pendidikan sahaja, malahan guru berupaya mewujudkan suasana pembelajaran abad ke 21 walaupun pada jarak jauh.

Ia memerlukan kefahaman dan perancangan yang teliti oleh guru-guru dalam melaksanakan pembelajaran teradun untuk memastikan murid-murid ini menjadi aktif dalam sesi PdPC.

Untuk memastikan murid sentiasa aktif, guru perlu menyediakan pelbagai aktiviti pembelajaran yang melibatkan penggunaan teknologi seperti aktiviti eksplorasi maklumat melalui laman web.

Perkara ini memberi ruang kepada murid untuk belajar mengikut gaya pembelajaran masing-masing.

Kepelbagaian maklumat yang diterima oleh murid harus dibantu dan dipandu oleh guru yang berperanan sebagai fasilitator dalam meningkatkan kefahaman murid terhadap subjek tersebut.

Di samping menjadi fasilitator, guru juga berperanan sebagai sistem sokongan kepada murid-murid khususnya dari aspek literasi ICT supaya murid dapat mengoptimumkan penggunaan teknologi untuk melengkapkan tugasan yang diberi.

Bagi tujuan itu, isi kandungan dan teknologi harus diintegrasikan bagi mewujudkan sebuah pembelajaran yang bermakna.

Teknologi itu memudahkan, bukan menyulitkan.

*****Muhammad Sabiq Mohd Noor merupakan guru Sekolah Kebangsaan Senibong, Pasir Gudang, Johor

Artikel menarik

Pembelajaran Teradun: Apa yang perlu kita tahu?

Luahan hati guru: Rindu nak mengajar di sekolah, jumpa murid