IPOH - “Saya akan terus membaca, selagi terdaya.” Itu reaksi pesara kerajaan, S Anandan, 72, peminjam buku paling banyak (Kategori Dewasa) sempena Program Let’s Tour De Library @ Perpustakaan Tun Razak, 12 Mac lalu.

Dia sama sekali tidak menyangka dipilih menerima anugerah berkenaan kerana beranggapan rutinnya meminjam buku itu hanya sekadar pelengkap kepada hobi membacanya.

Bagaimanapun, Anandan tetap berbangga dengan anugerah berkenaan dan berikrar akan meneruskan hobi membacanya itu sehingga ke akhir hayat. “Memang tak sangka saya dipilih sebagai peminjam buku terbanyak.

Sebahagian peserta menunjukkan hasil kreativiti setelah siap mewarna.

 

Saya memang suka membaca dan kurang tengok televisyen. Di perpustakaan ini pun saya dah jadi ahli selama 35 tahun. “Sejak jadi ahli, saya selalu ke sini,  membaca dan pinjam buku untuk dibaca di rumah. Sekali pinjam, biasanya sampai empat buku.

Mujur isteri memahami hobi saya ini. Dia pun tak melarang,” katanya. Anugerah disampaikan Eksekutif Kanan Penjenamaan Grup Buku  Karangkraf, Muhammad Asyraf Yahya.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Mohd Zakuan Zakaria. Penolong Pengarah Pembangunan Masyarakat Perpustakaan Tun Razak, M Kasturi berkata, penganjuran Program Let’s Tour De Library @ Perpustakaan Tun Razak mampu menjadikan perpustakaan berkenaan kembali aktif dengan penganjuran pelbagai aktiviti.

Urusan pendaftaran oleh urus setia program.

 

Menurutnya, dalam masa terdekat ini, pihak perpustakaan juga merancang mengadakan jualan buku secara besar-besaran bersama dengan  pembekal-pembekal tempatan.

“Kita rancang untuk adakan jualan buku ini sempena Hari Bandar Raya pada 23 Mei nanti. Apa pun semuanya dalam peringkat perancangan lagi,” katanya.

Program Let's Tour De Library mendapat sambutan di luar jangkaan apabila hampir 100 murid sekolah rendah  menyertai pertandingan mewarna, 12 Mac lalu.

Dengan misi memupuk budaya membaca dalam kalangan pelajar dan belia, Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) turut menyumbang lebih 1,000 buku pelbagai genre kepada 10 sekolah terpilih di Ipoh.

Selain sekolah, sumbangan sama turut diberikan kepada Perpustakaan Tun Razak merangkumi bahan bacaan kanak-kanak, motivasi, novel dan keagamaan.

Anandan (kiri) gembira menerima anugerah berkenaan daripada Muhammad Asyraf.

 

Muhammad Asyraf berkata, sumbangan berkenaan bersempena Program Let’s Tour De Library yang  dianjurkan dengan kerjasama Perpustakaan Tun Razak.

Menurutnya, Perak menjadi destinasi ketiga selepas Selangor dan Negeri Sembilan dalam pelaksanaan aktiviti berkenaan bagi mendorong lebih ramai pihak tampil menjadikan perpustakaan sebagai pusat aktiviti mereka.

“Perpustakaan kini tampil dengan aktiviti lebih kreatif dan usaha itu harus disokong, ia juga menjadi hasrat kita di Karangkraf agar institusi ini tidak sekadar untuk mendapatkan bahan bacaan semata, tetapi boleh dijadikan pusat sehenti menjalankan pelbagai aktiviti melibatkan pelbagai kaum,” katanya.

Dua kanak-kanak ini mengambil peluang ber’selfi e’ pada Program Let's Tour De Library di Perpustakaan Tun Razak.