Merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, pendidikan di Malaysia sudah berada pada gelombang ketiga bermula pada tahun 2021.

Perkara ini merupakan kesinambungan dua gelombang awal yang memberi fokus kepada pengekalan kemajuan kendiri untuk mencetus inovasi dan meningkatkan pencapaian melebihi standard minimum.

Perkara ini membawa maksud guru-guru perlu berinovasi dalam sesi pengajaran dan pemudahcaraan (PdPC) bagi memastikan ilmu pengetahuan dan kemahiran diterima oleh murid secara optimum.

Inovasi dalam pendidikan wajar dilaksanakan memandangkan bilangan kes Covid 19 di negara yang masih tinggi memberi kesan kepada perjalanan persekolahan murid-murid pada tahun 2021.

Bagi mengekalkan momentum PdPC, pembelajaran teradun merupakan salah satu intervensi yang wajar dilaksanakan oleh guru-guru dalam situasi ini.

Untuk tujuan tersebut, terdapat beberapa faktor yang memainkan peranan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan pembelajaran ini.

Faktor utama dalam memastikan kelancaran pembelajaran teradun adalah akses teknologi yang bermaksud keupayaan murid-murid mendapat akses peranti dan internet ketika di rumah.

Oleh itu, guru perlu mengenal pasti latar demografi murid-murid kerana perkara ini berkaitan batasan jalur lebar dan liputan internet.  Perkara ini tidak menjadi masalah untuk murid yang berada di kawasan bandar mendapat capaian 3G atau 4G.

Sebaliknya, murid yang berada di kawasan pedalaman, perkara ini menjadi punca utama murid-murid tidak dapat melengkapkan tugasan secara atas talian. Disamping itu, bilangan peranti yang dimiliki juga memainkan peranan penting dalam pelaksanan PdPC ketika tempoh Covid-19.

Keterbatasan peranti jelas dilihat dalam kalangan murid sekolah rendah di mana sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada peranti milik ibu bapa.

Ada juga situasi dimana, anak-anak pelbagai darjah perlu berkongsi satu peranti untuk menyiapkan tugasan. Perkara-perkara ini perlu dipertimbangkan oleh guru terlebih dahulu sebelum melaksanakan aktiviti PdPC.

Seterusnya adalah faktor reka bentuk yang mengintegrasikan model pengajaran dengan penggunaan teknologi. Perkara ini bermaksud guru menyediakan aktiviti pembelajaran secara atas talian (online) dan diluar talian(offline) dengan menggunakan teknologi dan prinsip pedagogi untuk menyokong pembelajaran bermakna.

Perkara ini bukan sekadar menyediakan tugasan melalui aplikasi pendidikan semata-mata, ia memerlukan sebuah kerangka kerja yang disusun dengan teliti mengikut kepada objektif mata pelajaran yang diajar.

Untuk tujuan tersebut sebuah halaman pembelajaran iaitu CEKAL [email protected] Pembelajaran Teradun Merentas Kemahiran Bahasa telah dibangunkan oleh kumpulan guru inovasi di Pasir Gudang.

Halaman ini merupakan sebuah inovasi PdP berasaskan pembelajaran teradun dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk murid Tahun 6. Halaman ini dibangunkan berasaskan kerangka konsep dan model-model pengajaran dalam matapelajaran Bahasa Melayu.

Halaman ini boleh dijadikan rujukan kepada guru-guru untuk membina halaman pembelajaran yang sistematik.

Faktor pembangunan kemahiran, sokongan dan latihan perlu dilaksanakan secara berterusan kepada murid-murid.

Perkara ini merujuk kepada literasi ICT dan kompetensi menggunakan aplikasi pendidikan yang harus dikuasai oleh guru dan murid.

Kompetensi ICT dalam kalangan guru tidak mempunyai masalah kerana mereka mempunyai kursus dan bengkel secara atas talian sepanjang tempoh pandamik.

Namun, kompetensi dalam kalangan murid perlu didedahkan dan dibudayakan ketika di sekolah (merujuk kepada sebelum tempoh pandemik).

Hal ini kerana guru dapat mengajar secara terus cara menggunakan pelbagai aplikasi pendidikan seperti Kahoot!, Quizziz dan Google Form dalam sesi PdPC.  

Amalan yang dilakukan secara berterusan memudahkan perjalanan sesi PdPC secara jarak jauh. Selain itu, perkara ini dapat meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran tersebut dimana murid lebih berminat untuk melengkapkan tugasan yang disediakan oleh guru melalui aplikasi pendidikan.

Faktor terakhir adalah motivasi murid dalam sesi PdPC pembelajaran teradun. Sesi PdPC dalam tempoh ini terdiri daripada tiga cara iaitu atas talian(online), luar talian (offline) dan manual.

Kaedah atas talian berlaku secara synchronous dimana guru dan murid hadir pada waktu yang sama untuk sesi PdPC secara langsung.

Kaedah luar talian berlaku secara asynchrounos dimana guru menyediakan bahan PdPC dalam halaman LMS dan murid boleh melayari halaman tersebut pada bila-bila masa.

Dalam situasi ini, pemantauan guru dalam sesi PdPC amat terbatas dan guru tidak dapat melihat respon murid secara langsung.

Bagi memastikan mereka sentiasa bermotivasi untuk belajar, komunikasi dua hala perlu diwujudkan dalam melalui media sosial seperti kumpulan Whatapps dengan memberikan kata-kata semangat dan sentiasa cakna tentang perkembangan mereka.

Disamping itu, guru perlu merangka sesi PdPC yang mengintegrasikan aplikasi pendidikan yang sesuai dengan aktiviti PdPC.

Pemilihan teknologi yang digunakan turut mempengaruhi motivasi belajar murid-murid.

Kesukaran mengakses aplikasi pendidikan menyebabkan mereka cepat bosan dan mengakibatkan motivasi belajar mereka menurun.

Kesimpulannya, inovasi dalam pendidikan melalui pembelajaran teradun memberi impak positif kepada perkembangan murid. Ia seiring dengan keperluan dalam menghadapi gelombang ketiga PPPM.

Bagi memastikan pelaksanaan pembelajaran teradun berlangsung dengan jayanya, perkara yang dinyatakan perlu dipertimbang oleh guru kerana faktor-faktor tersebut mempunyai perkaitan antara satu sama lain.

Bermula dengan mengenal pasti keupayaan akses peranti dan internet murid di rumah.

Seterusnya, guru perlu menyediakan aktiviti PdPc mengikut model dan pendekatan yang sesuai.  Untuk memastikan kelancaran sesi PdPC, kompetensi dalam literasi ICT perlu dikuasai oleh murid-murid. Hal ini penting untuk memastikan murid sentiasa bermotivasi dan mengalami sesi pembelajaran yang bermakna.

Teknologi itu memudahkan, bukan menyukarkan.

*****Muhammad Sabiq Mohd Noor merupakan guru Sekolah Kebangsaan Senibong, Pasir Gudang, Johor

Artikel menarik

Pembelajaran Teradun: Apa yang perlu kita tahu?

Senarai lengkap tajuk subjek Sains Tingkatan 5 2021 KSSM yang baharu, calon SPM boleh mula belajar