Bila sebut tentang sejarah, tentu orang ramai terutamanya guru dan pelajar ingin mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang perkara itu.

Tambahan pula, bagi yang meminati subjek Sejarah, mereka akan berusaha dengan lebih gigih dalam mendapatkan info lanjut.

Menerusi laman facebook Mohd Fadli Ghani baru-baru ini, beliau ada berkongsi berkenaan empat manuskrip sejarah Kelantan yang penuh dengan catatan penting.

Semoga dengan perkongsian tersebut, ia dapat membantu guru dan pelajar mendapatkan bahan sejarah yang berkaitan.

Mari kita hadamkan.

*****

Manuskrip atau tulisan yang belum dicetak adalah antara sumber awal sejarah negeri Kelantan, selain yang terdapat pada prasasti (batu bersurat) dan juga cerita-cerita lisan.

Sumber manuskrip ini menjadi catatan penting kerana ia tercatat secara bertulis dan mempunyai kedudukan yang kuat kerana biasanya ia ditulis oleh 'orang istana' yang dekat dengan kisah-kisah yang berlaku dalam sejarah politik Kelantan.

Salah satu pusat sumber yang penting dalam menyimpan manuskrip-manuskrip Melayu ialah Pusat Manuskrip Melayu di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur.

Pusat manuskrip ini menyimpan beribu-ribu manuskrip Melayu dalam pelbagai genre, termasuk sejarah.

Untuk sejarah negeri Kelantan, pusat manuskrip ini telah menyimpan sebanyak empat naskah manuskrip iaitu:

I. Syair Musuh Kelantan (MSS 3094)

II. Hikayat Puteri Saadong (MSS 1666)

III. Sejarah Peperangan Tok Janggut (MSS 1651)

IV. Sejarah Negeri Kelantan (MSS 1757).

Perincian manuskrip

Syair Musuh Kelantan dianggap antara sumber sejarah Kelantan yang tertua, di mana ia ditulis dalam bentuk untaian syair sepanjang 102 muka surat, yang mengkisahkan perang saudara yang berlaku di antara Long Senik Mulut Merah (kemudian Sultan Mohammad II) dengan Long Jenal pada 1837-1838. Manuskrip ini dianggarkan oleh Datuk Nik Mohammed Mohd Salleh, bahawa ia ditulis sekitar 1838-1840. Ia adalah karya seorang penulis perempuan bernama Tok Neng Rumek.

Manuskrip Syair Musuh Kelantan adalah kisah tentang pergolakan politik dan perebutan kuasa dalam perang saudara di Kelantan pada 1837-1838.

Hikayat Puteri Saadong pula adalah sebuah kisah tentang seorang puteri terkenal di Kelantan pada zaman Cik Siti Wan Kembang. Puteri Saadong yang merupakan puteri Raja Jembal telah menjadi anak angkat Cik Siti Wan Kembang sebelum berkahwin dengan Raja Abdullah. Setelah itu, Puteri Saadong hendak ditawan oleh Raja Siam, sehingga tercetus perang di Kelantan pada abad ke-17. Manuskrip ini disalin oleh Daud Abdullah Samah di Selindung Bayu, Pattani pada 1835.

Puteri Saadong, satu watak lagenda dalam sejarah Kelantan. Hikayat Puteri Saadong mengisahkan watak lagenda ini.

Sejarah Perang Tok Janggut pula adalah sebuah kisah kebangkitan orang Melayu Kelantan ke atas penjajahan Inggeris pada 1915. Peristiwa ini berlaku di Jeram, Pasir Puteh setelah En. Latif, Ketua Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura menguatkuasakan peraturan cukai yang baru dan menurunkan taraf Raja Jeram, Tuan Besar Engku Ahmad kepada jawatan Tok Kweng Muda (Penolong Penghulu). Manuskrip ini mengisahkan siapakah sebenarnya Tok Janggut dan perjuangannya sehingga beliau syahid pada 1915. Manuskrip ini ditulis oleh Ahmad Abdul Rahman dari Kampung Padang Patani.

Sejarah Negeri Kelantan sebalik merupakan sebuah catatan tentang sejarah Negeri Kelantan bermula dengan zaman Sultan Mansor Syah hingga zaman Cik Siti Wan Kembang, kemudian diikuti oleh kisah kedatangan tiga orang putera Wan Daim, Datu Pengkalan Tua ke Kelantan. Mereka ialah Long Bahar, Tuan Sulong dan Tuan Senik. Daripada keturunan mereka kemudiannya membentuk wangsa kerajaan Kelantan yang ada pada hari ini. Kisah ini berakhir dengan zaman Sultan Ahmad. Kisah Sejarah Negeri Kelantan adalah karya Haji Abdullah Wansa pada 1891.

Catatan penting

Keempat-empat manuskrip ini merupakan catatan penting sejarah Kelantan meliputi beberapa zaman.

Sejarah Negeri Kelantan mencerakinkan sejarah awal Kelantan yang sezaman dengan Melaka sehingga zaman Sultan Ahmad pada akhir abad ke-19.

Manakala Hikayat Puteri Saadong adalah berkisar tentang sejarah Kelantan pada abad ke-17, sedangkan Syair Musuh Kelantan menceritakan pergolakan politik Kelantan pada suku kedua abad ke-19 dan Sejarah Perang Tok Janggut pula menggalurkan kebangkitan rakyat Kelantan ke atas Inggeris pada awal abad ke-20.

Pengkajian ke atas manuskrip-manuskrip ini akan membuka lembaran baru sejarah politik Kelantan, terutamanya yang berkaitan dengan pembentukan Kerajaan Kelantan moden oleh Long Yunus dan pergolakan-pergolakan politik yang berlaku di Kelantan sepanjang abad ke-19 dan 20.

Sumber-sumber sejarah Kelantan sebenar masih banyak terdapat di pusat-pusat manuskrip lain secara berselerak. Ia memerlukan inisiatif khusus bagi mengumpulkan semula bahan-bahan warisan ini.

Sumber: Facebook Mohd Fadli Ghani

Artikel menarik

Sukar hafal fakta, topik pembelajaran, jom amalkan 6 tip mudah mengingat ini

Guru tuisyen guna TikTok bantu pelajar kuasai bahasa Inggeris