Februari. Masuk bulan kedua untuk sesi persekolahan 2017. Adakah anda telah cukup memanfaatkan waktu ketika bersama anak-anak di rumah? Setelah seharian mereka di sekolah,  lima hari dalam seminggu, pulangnya dari sekolah, perlu mengikuti kelas mengaji dan kelas tuisyen pula. Itu belum ditambah dengan masa untuk membuat kerja sekolah yang diberikan guru siang tadi.

Hujung minggu pula, ada kala perlu ikuti kelas tambahan dan aktiviti sekolah. Jadi, berapa jam sahaja masa mereka bersama kita? Namun, sebagai ibu bapa tanggung jawab perlu dilaksanakan walau apa jua keadaan. Anak-anak berhak mendapat perhatian sewajarnya walau sentiasa dihimpit kesibukan tugas seharian.

Tatkala anak-anak pulang dari sekolah, manfaatkan sekurang-kurangnya satu dua soalan bertanyakan perihal anak di sekolah. Ketika inilah kita akan mengetahui apa yang dilakukan di sekolah, apa yang dimakan, berkongsi perasaan sedih dan gembira bersama guru dan kawan-kawan di sekolah. Melalui cara inilah kita dapat berkomunikasi dengan anak-anak tanpa gagal.

Bertanyalah...kerana anak-anak takkan pernah jemu bercerita kisah sehariannya di sekolah. Seandainya kita tidak mahu kesunyian tatkala usia menjengah senja, berusahalah berbicara dengan anak-anak agar mereka juga akan melayan orang tuanya seperti mana orang tuanya melayan mereka dahulu.

Ini admin kongsikan secebis coretan yang dikongsikan di laman muka buku oleh seorang yang bergelar guru, Mohd Fadli Salleh, tentang soalan apakah yang boleh anda tanya kepada anak-anak. Mungkin para ibu tergambar pelbagai soalan di mindanya. Namun tidak pada golongan bapa. Maklumlah, ada kala si bapa buntu untuk bertanya soalan apa yang perlu ditanya pada anak-anak.

Ini merupakan sedikit panduan soalan-soalan yang boleh anda tanyakan pada anak-anak. Semoga sedikit sebanyak dapat membantu para ibu dan bapa.

---------------------------------------------------------------------------------------

 Bila anak pulang dari sekolah, apa yang perlu ibu bapa tanya?

---------------------------------------------------------------------------------------

1. Makan apa di sekolah?

- Sangat penting untuk memantau pemakanan anak-anak agar mereka membeli makanan yang sihat. Lebih-lebih lagi, kita kena tahu mungkin anak kita tidak makan hari tu atas beberapa sebab ; bekal makanan tumpah, duit hilang.

- Atau mungkin juga anak kita meminjam duit kawan kerana duit hilang. Kena tahu dengan siapa dia pinjam, bayar semula esok hari.

- Sangat aku galakkan ibu-ibu yang gemar memasak dan membekalkan bekalan makanan untuk anak-anak mereka untuk memasak lebih. Ajar anak berkongsi dengan kawan mereka.

2. Beli apa di sekolah?

- Ibu bapa perlu tahu ke mana anak mereka membelanjakan wang saku. Ada murid, sampai sahaja di sekolah, terus habiskan wang saku!

- Beli macam-macam benda tidak berfaedah. Sampai waktu rehat, dia dah kelaparan dan mula meminjam/meminta duit kawan.

- Malah, ada murid berbulan tidak berbelanja di sekolah. Bukan kerana duit mereka dibelanjakan awal, sebaliknya 'diminta' oleh kawan mereka. Murid jenis pendiam, ibu bapa pula tidak bertanya. Maka kes sebegini lambat sampai ke pengetahuan cikgu untuk tindakan lanjut. Apa kau ingat cikgu ada kuasa sakti nak tahu semua benda?

3. Belajar apa hari ini?

- Penting soalan ini agar murid 'recall' balik apa yang mereka belajar di sekolah. Apa yang guru ajar, kemudian 'dipanaskan' oleh ibu bapa di rumah menjadikan pembelajaran mereka hari itu kekal di ingatan. Kalau tidak, hanya menjadi memori sementara. Tanyalah!

4. Ada kerja rumah atau tidak?

- Soalan ini biasanya hampir semua ibu bapa bertanya pada anak. MALANGNYA, mereka sekadar bertanya sahaja. Tidak membantu bimbing anak untuk membuat kerja rumah.

- Maaf katakan, ramai murid menipu mak ayah bahawa tiada kerja rumah diberikan dan mak ayah terus percaya tanpa periksa. PERIKSA beg anak dan setiap buku untuk pastikan semua kerja rumah mereka disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

5. Tolong periksa beg anak. Tolong?

- Tolonglah. Sesekali periksa la beg anak-anak. Bekas pensel mereka, alat tulis mereka. Ada murid dari golongan berada berbulan-bulan datang sekolah tanpa alat tulis. Meminjam je kerja dia setiap hari.

- Ada yang tak bawa buku mengikut jadual. Dia main letak ikut suka dia je. Tolong la bantu dia susun jadual.

- Ada murid bawa mainan ke sekolah tanpa pengetahuan mak ayah. Malah, pernah berlaku murid bawa kucing dalam beg nak tunjuk kat kawan-kawan! Ini bukan gurauan, ini kejadian benar.

- Kalau perasan ada pertambahan alat tulis dan buku, soal anak siapa punya. Kembalikan semula kepada pemilik asal barang-barang itu. Ada murid suka ambil barang kawan dan bawa pulang. Yang minta barang kawan pun ramai juga, kawan tu terpaksa bagi kerana diugut, 'kalau awak tak bagi pensel tu, saya tak nak kawan'.

- Ugutan ini walau nampak remeh, tapi sangat berkesan kat budak-budak. Aku tahulah, aku kan cikgu.

* Ibu bapa, tanyalah anak!

 

Sumber: FB Mohd Fadli Salleh