Pernah tak cikgu-cikgu menghasilkan produk atau inovasi di sekolah?

GPS Bestari yakin, semua guru pasti ada mencipta inovasi hasil daripada idea masing-masing.

Namun, tahukah cikgu-cikgu bahawa inovasi yang dihasilkan itu, boleh dipertandingkan dalam program-program tertentu.

Guru Inovatif Negeri Sembilan 2013, Cikgu Siti Zubaidah Musa berkata, penciptaan inovasi bukanlah sesuatu yang sukar.

“Jika seorang guru itu ada idea menarik dan lain daripada yang lain, maka guru berkenaan bolehlah mencipta inovasinya yang tersendiri,” ujar Cikgu Siti Zubaidah yang juga seorang Guru Pemulihan Khas di Sekolah Kebangsaan Bandar Maharani, Muar, Johor.

Beliau yang pernah meraih pelbagai anugerah dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan ntarabangsa antaranya merangkul pingat platinum, emas, perak, gangsa dan Anugerah Khas Juri tampil dengan beberapa perkongsian berkenaan inovasi.

“Semoga dengan informasi ini, ia dijadikan panduan buat semua guru-guru,” ujarnya.

Ikuti apa kata Cikgu Siti Zubaidah tentang inovasi.

***

Apa itu inovasi?

Sesuatu produk, bahan bantu mengajar, kaedah, idea yang baru atau yang sedia ada tapi telah diberi penambahbaikan dan memudahkan PdPC/PdPR cikgu layak dipanggil inovasi.  

Bagaimana kita nak tahu sesuatu inovasi yang kita hasilkan dan ciptakan itu, layak untuk dipertandingkan dalam pertandingan inovasi yang dianjurkan oleh pihak tertentu seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Institut Pengajian Tinggi Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta dan sebagainya?

Jika cikgu-cikgu telah menghasilkan inovasi seperti yang telah saya berikan definisi diatas, maka cikgu layak menyertai mana-mana pertandingan inovasi yang dianjurkan di setiap peringkat.

Tidak ada inovasi yang dikatakan kecil atau besar, kerana setiap inovasi memerlukan idea, perbincangan dan usaha untuk menghasilkannya dan sekaligus memudahkan sesi PdPC/PdPR cikgu.

Sebagai seorang peserta pertandingan inovasi yang berpengalaman dan pernah dilantik sebagai juri dalam beberapa pertandingan inovasi, saya berikan sedikit tip untuk cikgu-cikgu yang mungkin berminat untuk menghasilkan inovasi dan menyertai pertandingan inovasi tetapi tidak tahu cara untuk memulakannya.

Tip 1

Mulakan dengan penyelesaian dalam permasalahan yang berlaku dlm sesi pengajaran cikgu. Ramai cikgu yang ingin menghasilkan inovasi tetapi tidak berfokus dengan masalah yang berlaku dalam lingkungan persekitaran sendiri. Senang cerita inovasi yang dihasilkan kalau tak ada pun tak apa, atau inovasi yang dihasilkan tidak memudahkan sebarang urusan cikgu pun, tapi cikgu buat juga. Jadi keperluan inovasi itu tidak nampak begitu penting. Fikirkan tentang permasalahan, baru timbulnya penciptaan.

Tip 2

Mesti diuji dahulu. Setiap inovasi yang dihasilkan perlulah dicuba atau diguna dahulu sebelum dipertandingkan kecuali persembahan idea inovasi. Jalankan pre dan post test bagi mendapatkan keputusan yang boleh meyakinkan para juri atau orang lain bahawa inovasi yang cikgu hasilkan benar-benar memberi manfaat kepada permasalahan yang timbul.

Tip 3

Novelti. Keaslian sesuatu inovasi adalah penting bagi mengiktiraf idea kreatif cikgu. Bukan diciplak bulat-bulat daripada hasil orang lain.

Namun begitu, inovasi yang sama atau pernah dipertandingkan dalam mana-mana pertandingan perlulah mempunyai eviden atau bukti penambahbaikan daripada yang terdahulu, asal bagi mengelakkan dikatakan mencuri, plagiat karya org lain.

Konsep permainan atau penggunaan mungkin sama namun perlu ada sedikit pembaharuan dan penambahbaikan.

Contoh inovasi dam ular suku kata, mungkin sudah ramai yang hasilkan inovasi begini, namun tidaklah ditiru bulat-bulat reka bentuk atau manualnya untuk menyertai pertandingan.

Tip 4

Papan cerita inovasi atau laporan penulisan atau kertas kerja. Bahagian ini mungkin ramai yang lepas tangan atau malas hendak fikirkan.

Namun perkara ini adalah penting sebagai bahan sokongan utama dalam menterjemahkan inovasi cikgu.

Setiap pertandingan inovasi mungkin berlainan formatnya tetapi pada asasnya inovasi yang cikgu hasilkan perlulah mempunyai latar belakang permasalahan, pengenalan inovasi yang dihasilkan, pemerhatian terhadap penggunaan dan yang paling penting impak inovasi tersebut kepada kemenjadian murid atau hasil akhirnya kepada komuniti sekolah dan tempatan. Jika cikgu telah hasilkan inovasi bermaksud cikgu telahpun menyediakan asas laporannya.

Tip 5

Kos. Sebaik-baiknya cuba elakkan menghasilkan inovasi dengan menggunakan kos yang tinggi. Namun pada masa kini segala-galanya memerlukan duit. Mungkin ada inovasi yang hebat memang memerlukan pembelian barangan atau aplikasi yang berbayar.

Tetapi ingin saya beritahu bahawa saya pernah memenangi Anugerah Platinum dalam satu pertandingan inovasi kerana menghasilkan inovasi tanpa mengeluarkan satu sen kos pun. Bergantung kepada penghasilan inovasi cikgu.

Itu adalah diantara tip yang boleh saya berikan bagi cikgu-cikgu yang mungkin tercari-cari cara untuk memulakan penghasilan inovasi.

Perkara tersebut paling saya cari dalam sesuatu inovasi ketika diberi tanggungjawab menjadi juri dalam pertandingan dan juga semasa ditanya oleh rakan-rakan guru yang berminat untuk menghasilkan inovasi.

Tentang hak cipta dan kerjasama dengan mana-mana agensi, itu adalah bonus buat cikku jika cikgu telah melakukannya. Bukan syarat utama yang perlu cikgu sediakan.

Inovasi yang dihasilkan juga bukanlah untuk semata-mata dipertandingkan sahaja, boleh juga sebagai simpanan atau rujukan cikgu sendiri di peringkat sekolah...namun dengan menyertai pertandingan, kita secara tak langsung akan mendapat idea dan komen-komen untuk menambah baik inovasi sedia ada.

Bila kita sudah yakin dengan inovasi di hasilkan, kita boleh turunkan pula ilmu inovasi itu kepada anak murid supaya mereka juga dapat membantu membentangkan hasil inovasi kita atau merekacipta idea yang baru.

Jangan pernah mengalah cikgu-cikgu, jika tak berjaya cuba lagi sehingga mendapat hasil yang lebih baik.

Saya sendiri tidak pernah memenangi pertandingan inovasi diperingkat PPD sendiri dengan alasan juri, inovasi saya 'overqualified' untuk dibawa ke peringkat JPN.

Sedih sangat pada masa itu kerana saya tahu, inovasi saya layak ke peringkat negeri. Tetapi mungkin juri lebih memandang inovasi dalam bidang STEM ketika itu.

Saya melihat perkara ini dalam sudut positif. Mungkin bukan rezeki saya dan boleh cuba lagi pada masa akan datang.

Artikel menarik

10 soalan berkaitan ternakan ikan keli, Dr Khalidah beri pandangan hingga ramai teruja nak usahakan

Kriteria kenaikan pangkat pensyarah, Naib Canselor UMT beri penjelasan sebenar