Teater bertaraf dunia, Encore Melaka yang terletak di Impression City telah mengadakan tiga pertunjukan tertutup pertamanya, Encore Melaka Impression Series.

Dianjurkan oleh Syarikat Yong Tai Berhad, persembahan berdurasi 70 minit ini telah menyaksikan penceritaan semula mengenai kisah terkenal Melaka.

Persembahan yang mendapat sambutan cukup hebat itu telah diarahkan pengarah terkenal, Wang Chaoge yang sebelum ini pernah terlibat dalam upacara Pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008.

Seramai 6,000 pelajar dari 44 sekolah telah dijemput untuk menghadiri acara istimewa ini dan sekali gus menjadi antara penonton pertama merasai pengalaman penonton di panggung Encore Melaka.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ayer Keroh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Francis, Sekolah Tinggi Pay Fong, SJKC Malim dan lain-lain.

Persembahan pembukaan bagi tujuan amal itu telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM60,000 yang disalurkan ke pusat hemodialisis Yayasan Toh Puan Zurina, sebuah pusat hemodialisis yang menawarkan rawatan dialisis bagi pesakit buah pinggang berpendapatan rendah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yong Tai Berhad, Datuk Wira Boo Kuang Loon, Encore Melaka bukan hanya sebuah pertunjukan, tetapi ia bertujuan memberi inspirasi dan membantu komuniti di seluruh Melaka.

“Tujuan penubuhan Yayasan Toh Puan Zurina ini sama dengan niat saya, iaitu untuk berbakti. Mereka ingin membantu pesakit yang tidak mampu mendapat rawatan boleh menjadi mahal dalam jangka masa panjang.

“Ini adalah usaha kami untuk membantu pusat ini dengan misinya. Dana yang dikumpulkan melalui pertunjukan yang telah diadakan akan mampu membantu pusat ini mendapatkan ubat-ubatan terbaik untuk pesakitnya,” katanya yang juga merupakan salah seorang penaung Encore Melaka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Toh Puan Zurina, Datuk Radhuana Salleh pula menyifatkan, Encore Melaka dan pihaknya berkongsi nilai yang sama iaitu mahu membantu masyarakat sekeliling.

“Kami terharu dan berterima kasih kerana Encore Melaka sudi membantu Melaka dan rakyatnya serta membantu memberikan sokongan yang kami perlukan.

“Dengan dana yang diberikan, kami mampu mendapatkan ubat-ubatan terbaik untuk pesakit dan membantu pusat kami beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Teater Encore Melaka mempunyai pemetaan tayangan video inovatif dan menakjubkan, selain set hidraulik multi pentas selain teknik pencahayaan serta akustik yang canggih.

Malah ia juga merupakan teater yang mampu memuatkan lebih daripada 2,000 penonton atas platform dalam panggung berputar 360 darjah yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

Inklusiviti Melaka pula dipamerkan menerusi gabungan tarian tradisional dan kontemporari yang dipersembahkan oleh 200 penari.

Teater yang terletak di lokasi paling terkenal di Melaka iaitu di tepi pantai di Kota Melaka, Impression City @ Kota Syahbandar ini akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 Julai depan.