‘Cikgu bukan sekadar mengajar sahaja, tetapi ada banyak perkara lain yang mereka lakukan tanpa kita sedari.

Demikian perkongsian Guru Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Puteri, Batu Pahat, Johor, Ustazah Aminah Mat Yusoff menerusi laman facebooknya.

Menurutnya, ramai kalangan kita terutamanya ibu ayah yang tidak tahu tentang apa yang cikgu buat.

“Saya senaraikan sebahagian perkara. Moga ia dapat dijadikan panduan buat semua,” katanya.

1) Cikgu garang itu penyayang

Cikgu garang yang anak kita gerun sangat, sampai takut nak ke sekolah itulah guru yang sedang berusaha menjadikan anak kita seorang yang beradab dan pandai menghormati.

Cikgu...muka bengis, suara lantang, renungan tajam, lidah seperti mata pedang, sebenarnya dalam hati ada taman.

Kereta kena calar, selalu kena marah dengan mak ayah, difitnah, dituduh, dihina, diperkecilkan dan dipertikaikan kepakarannya, tidak pernah berdendam, malah sentiasa memaafkan.

Tak pernah terfikir untuk cari gaduh dan buat laporan polis atau failkan saman, tetap juga mengajar anak kita seperti tiada apa yang berlaku. Sebak di hati pendam sendiri.

2) Tempat anak-anak mengadu kasih

Mak ayah berpisah, masing-masing ikut haluan sendiri. Anak akhirnya terumbang-ambing. Datang sekolah hari-hari menangis kerana rindu mak ayah yang sudah menjauh. Mengharapkan nenek yang kurang kudratnya. Tiada daya upaya nak menyelami hati cucu yang tengah berduka.

Sampai satu masa, semangatnya pudar, prestasinya menurun, berfikir yang bukan-bukan dan ada yang sanggup merosakkan diri sendiri untuk dapatkan perhatian dan kasih sayang.

Tiada siapa yang peduli, hanya pandai menyalahkan.

Cikgulah, sedaya upaya berusaha membantu, mengeluarkan dia dari kemelut yang melanda.

Cikgulah tempat anak ini meluahkan. Pada cikgulah tempat dia mengadu dan menangis semahunya.

3) Manusia paling peka

Hanya cikgu yang tahu apakah kelemahan dan kekuatan anak kita. Kecenderungan masa depan anak kitapun cikgu boleh agak. Sanggup melatih, membimbing anak kita siang dan malam.. Ada yang bawa balik rumah. Ajar anak kita berdikari dan hargai diri.

Cikgu mencatat, memerhati setiap perubahan anak kita, sehingga sampai satu masa merekalah orang yang paling kenal anak kita. Jangan terkejut. Ada yang melaburkan tenaga, wang ringgit, buat research tentang anak kita.

Di rumah kita tidak begitu.

4) Sanggup bersengkang mata, mencipta sesuatu yang istimewa untuk anak kita.

Macam-macam teknik dan kaedah cikgu guna untuk pandaikan anak kita. Bersengkang mata, mencari idea, dalam tidur pun termimpi-mimpi.

Ada yang kemurungan kerana tidak mampu pandaikan anak murid. Allahu, Hanya Allah yang tahu.

5) Kenalkan Allah pada anak kita

Di rumah anak liat nak bangun solat, disuruh berkali-kalipun beratnya nak buat. Mak ayah membebel, ceramah masuk telinga kanan keluar ikut kiri..

Susah. Akhirnya mak ayah penat.

Tapi kat sekolah, siapa sangka yang liat inilah berebut nak jadi muazzin, berebut nak jadi imam. Maha suci Allah. Hanya PadaNya kita berserah.

6) Hari-hari doakan anak kita berjaya dunia akhirat, cemerlang dalam peperiksaan, Jadi insan mulia dan mendapat syurga Allah SWT.

Hormatilah cikgu anak-anak kita,

sangka baiklah dengan mereka,

sokonglah perjuangan mereka,

bantulah mereka,

hargailah jasa mereka,

jauhilah segala prasangka,

Kerana Keringat seorang guru, anak kita berjaya.  

Sumber: Facebook Aminah Mat Yusoff Yusoff

Artikel menarik

51 senarai semak perlu ibu bapa ambil tahu menjelang persekolahan, ibu bapa boleh tandakan

Cabaran dalam mengarus perdanakan pendidikan murid orang asli, ini pandangan Dr Abdul Ghafar