Sahur adalah satu sesi makan yang sangat penting di bulan Ramadan.  

Ia dinikmati di penghujung waktu malam ketika hampir menjelang Subuh bertujuan untuk berpuasa pada hari tersebut.

Menerusi facebook Pusat Maklumat Pemakanan Johor, ada dikongsikan tip bersahur yang boleh membantu guru, pelajar dan ibu bapa "tahan" lapar lebih lama dan membantu kekal bertenaga di siang hari.

Ini tipnya.

1) Sahur 1/2 jam sebelum waktu Imsak

Dengan “melambatkan” waktu sahur ini, ia dapat "mengurangkan" tempoh berpuasa anda. Sekali gus dapat membuatkan anda "kenyang" lebih lama berbanding orang yang sahur lebih awal.

2) Seimbang, sederhana dan pelbagai

Anda memerlukan nutrien yang cukup walaupun di bulan puasa. Jadi, bersahurlah mengikut panduan PINGGAN SIHAT dan PIRAMID MAKANAN supaya keperluan nutrien anda dipenuhi.

3) Ambil sumber bijirin penuh

Sumber karbohidrat (contoh: nasi, roti, mi dan lain-lain) sangat penting sebagai sumber tenaga anda. Namun, sumber karbohidrat daripada bijirin penuh (contoh: beras perang, roti gandum penuh, oat, jagung, barli dan lain-lain) mempunyai kandungan serat yang lebih tinggi, sekali gus dapat membantu anda bertenaga dan "tahan" lapar lebih lama!

4) Elakkan makanan pedas dan masin

Kenapa? Makanan yang pedas boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada sesetengah orang. Ia boleh menyebabkan seseorang itu kehilangan banyak air sekiranya mengalami masalah cirit-birit.

Manakala makanan yang masin pula boleh menyebabkan seseorang itu rasa haus disebabkan sodium yang "memekatkan" darah. Situasi ini mungkin boleh mengganggu puasa anda.

5) Minum air secukupnya

Air ialah komponen yang sangat penting yang perlu diambil ketika bersahur. Ini kerana penyahhidratan boleh berlaku ketika cuaca panas atau ketika anda melakukan aktiviti fizikal dan lain-lain. Jadi, minumlah air secukupnya ketika bersahur. Sekiranya anda ingin minum minuman berperisa, gantikan dengan minuman bersusu yang rendah lemak, minuman bermalta ataupun jus buah-buahan. Walau bagaimanapun, minumlah air kosong dengan banyak kerana ianya merupakan pilihan yang terbaik.

6) Elakkan minuman berkafein

Minuman berkafein seperti kopi, teh dan minuman bertenaga perlu dielakkan ketika bersahur. Ini kerana kafein boleh memberi kesan diuretik iaitu anda akan kerap buang air kecil. Ini boleh menyebabkan anda kehilangan air lebih banyak.

Semoga tip ini bermanfaat.

Sumber: Facebook Pusat Maklumat Pemakanan Johor

Artikel menarik

Kaedah secara online paling popular sepanjang PdPR, Cikgu Ahmad Zhafran kongsi sebabnya!

Cikgu Mohd Fadli kongsi contoh surat cuti murid sempena wabak Covid-19. Mak ayah boleh rujuk ini