Perkongsian menarik daripada Kaunselor Berdaftar, CR Afizul Mohammad berkenaan kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang sedang berlangsung kini, menarik perhatian ramai.

Ini kerana, PdPR mungkin akan berlangsung dengan lebih lama lagi berdasarkan statistik kes semasa Covid-19.

“Andai ia lebih lama, ini bermakna kita perlu bersiap sedia daripada sekarang dan mula memikirkan alternatif tertentu,” katanya kepada GPS Bestari.

Ujarnya, pelbagai pihak khususnya ibu bapa dan guru-guru perlu memainkan peranan masing-masing dalam situasi kini.

“Kerana itu, saya sediakan lapan peranan yang mungkin boleh dijadikan panduan buat ibu bapa dan guru-guru di Malaysia.

“Semoga ia membawa manfaat buat semua,” katanya.

*****

Peranan ibu bapa

1) Betulkan mindset sendiri agar fleksibel kerana sistem pembelajaran sebegini tidak pernah di alami kita mahupun guru atau anak-anak kita sebelum-sebelum ini. Dalam ilmu Neuro Linguistic Programming (NLP), orang yang berjaya dan cemerlang haruslah sentiasa fleksibel. Berubah dan bertindak mengikut yang sepatutnya.

2) Luangkan masa kepada pembelajaran anak-anak apabila kita berkelapangan. Maka nak tunggu masa free tu agak susahkan, jadi silalah set masa awal-awal bila nak bersama anak-anak dalam pembelajaran mereka. Pasti guru-guru biasanya memberikan kerja sekolah untuk dibuat. Maknanya GURU BESAR sebenar adalah kita sebagai mak ayah di rumah.

3) Sediakan 'alat' yang cukup untuk anak-anak belajar. Pastikan buku teks dan latihan sudah di ambil dari sekolah atau belinya. Saya percaya semua guru pasti melibatkan bahan pengajaran yang berkaitan buku teks dan tambahan pengajaran lain.

4) Dan yang paling penting 'alat' seperti laptop/ipad/telefon yang digunakan guru untuk berhubung. Malah penting juga menyediakan 'internet' yang mencukupi. Rata-rata guru banyak menggunakan you tube, facebook, video dan sebagainya.

5) Ibu bapa mesti banyakkan bersabar seperti mana guru bersabar di sekolah dulu, ini kerana psikologi anak-anak mahu belajar perlukan keadaan yang sepatutnya. Sedikit sebanyak ibu bapa merasai pengalaman guru sebenar.

6) Mak ayah perlu banyak berhubung dengan guru subjek andai tidak faham apa yang perlu dilakukan di rumah. Sudah tentu ada ibu bapa seumur hidupnya tak pernah mengajar secara serius kan.

7) Bergandingan bahu bersama guru menjayakan agenda memandaikan dan memperkembangan anak-anak. Ketika ini bukan masanya mahu menyalahkan sesiapa. Fleksibel sahaja, hati tenang rasa bahagia.

8) Rendahkan ego, jika ada tersalah silap dari guru, pejamkan mata atau beritahulah secara persendirian, guru juga adalah manusia biasa yang sedang giat beradaptasi dengan perubahan.

Peranan guru

1) Betulkan mind set bahawa banyak sistem sebelum ini tidak boleh digunapakai atau perlu sedikit penambahbaikan. Fleksibel, berubah dan tambahbaik.

2) Guru harus akui pembelajaran anak-anak banyak perlu diuruskan ibu bapa di rumah, maka bekerjasamalah dengan ibu bapa penjaga mereka. Guru bagaikan fasilitator/pemudahcara kepada ibu bapa untuk terus berhubung dengan pelajar.

3) Ambil semua pengalaman awal ini dan terus tambah baik. Semua pihak dalam keadaan berevolusi dan bereksperimentasi. Jangan sekadar buat perkara sama tanpa adanya penambahbaikan.

4) Jika ada komen dan cadangan (bukan kritikan), ambil secara positif dan terus implemenkan jika sesuai. Jika tak tahu, ambil tahu sampai jadi. Inilah masanya guru juga 'advance' untuk menjadikan pelajar mereka juga terkedepan.

5) Lebih proaktif, sentiasa pantau pelajar melalui ibu bapa secara aktif. Kadang kala ibu bapa terlupa/atau buat-buat lupa mengenai pembelajaran anak-anak.

6) Bersedia andai kata PdPR ini akan lebih lama, maka anggap sahaja tambah baik ini perlu secara berterusan. Jangan anggap PdPR hanya sementara dan mengajar sambil lewa sahaja musim PdPR kerana beranggapan akan 'cover' semula apabila di sekolah nanti.

7) Inilah juga masa paling terbaik untuk mengeratkan hubungan dengan ibu bapa secara terus bagi memudahkan perhubungan dan komunikasi mengenai anak-anak. Maka tiadalah masalah segan atau susah mahu berkomunikasi mengenai anak-anak kepada ibubapa.

8) Sentiasa bersemangat dan kreatif ketika mengajar online/whassup/fb/video/telegram/zoom/googlemeet. Ini kerana semangat dan keghairahan guru akan dirasai pelajar atau ibu bapa itu sendiri.

Saya percaya dan pasti semua pihak dalam keadaan bersiap siaga menempuhi apa sahaja yang berlaku dalam sistem pembelajaran anak-anak.

Namun harus diakui juga ramai juga pihak yang seakan memandang ringan sama ada ibu bapa penjaga sendiri atau pendidik itu sendiri.

Bersama kita cakna dan mendoakan semua pihak berjaya. Kalau bukan kita siapa lagi dan kalau bukan sekarang bila lagi.

Sumber: Facebook Afizul Mohammad

Artikel menarik

Rakyat Malaysia pertama terpilih dalam WSO FLP, ini keistimewaan pensyarah UKM yang ramai tidak tahu

Modul Pengurusan Murid diisi online mulai tahun ini, ibu bapa boleh daftar dan kemaskini sekarang!