Ramadan sudah tiba, maka guru dan para pelajar perlu bersedia untuk beribadah puasa di dalamnya. Dalam kitab Bidayah al-Hidayah tulisan Imam al-Ghazali, beliau menyenaraikan beberapa adab berkenaan puasa merangkumi puasa sunat dan puasa wajib pada bulan Ramadan secara ringkas.

Para pelajar boleh ambil manfaat dari tulisan beliau secara ringkas ini. Di akhir topik puasa ini, jika berkesempatan Imam al-Ghazali menyarankan agar merujuk kitabnya yang lain berjudul Ihya’ ‘Ulum al-Din jika ingin mengetahui huraian lebih lanjut tentang puasa.

Imam al-Ghazali menyatakan bahawa tidak cukup untuk berpuasa pada bulan Ramadan sahaja. Maka, para pelajar perlu mencuba untuk berpuasa sunat juga kerana, jika tidak, ia telah meninggalkan peluang untuk merebut ganjaran lebih tinggi menerusi berpuasa sunat. Kelak ia akan menyesal apabila mendapati orang lain lebih banyak pahala puasanya dan lebih tinggi kedudukannya di akhirat kelak.

Antara hari-hari yang ada kelebihan untuk berpuasa ialah Hari Arafah (9 Zulhijjah) bagi yang tidak mengerjakan haji ketika itu, Hari ‘Ashura (10 Muharram), sepuluh hari awal bulan Zulhijjah, sepuluh hari awal bulan Muharram, bulan Rejab, bulan Sya’ban, bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab), ayyam al-baid (hari-hari putih iaitu 13, 14 dan 15 haribulan hijrah), Hari Isnin dan Khamis dan seumpamanya.

Terdapat banyak fadilat berpuasa sunat yang boleh memberi manfaat kepada para pelajar Muslim.

Contohnya, Rasulullah SAW ketika ditanya tentang puasa pada Hari Arafah, baginda SAW menjawab: “Puasa Arafah dapat hapuskan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim). Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda: “Berpuasa tiga hari (ayyam al-baid) dalam satu bulan bersamaan dengan berpuasa sebulan penuh” (Riwayat Imam Muslim)

Imam al-Ghazali juga berpesan bahawa puasa itu bukanlah meninggalkan makan dan minum semata-mata. Bahkan ia juga turut merangkumi penjagaan terhadap seluruh anggota badan seperti menjaga mata dari melihat perkara haram, menjaga lidah dari berkata perkara yang tidak berfaedah dan tidak mendengar perkara haram seperti umpatan kecuali ia membenci umpatan tersebut. Selain itu, orang berpuasa juga perlu menjaga perut dan kemaluannya.

Rasulullah SAW bersabda: “Puasa adalah perisai, maka orang berpuasa janganlah berbuat kotor dan jangan pula berbuat perkara bodoh. Apabila ada orang yang mengajaknya berkelahi atau menghinanya maka katakanlah aku sedang berpuasa dua kali” (Riwayat al-Bukhari)

Justeru, para pelajar perlu memahami bahawa puasa itu bukan semata-mata tidak makan dan tidak minum sahaja. Tetapi ia melatih untuk menjaga keseluruhan anggota badan yang berpotensi berbuat dosa.

Buka puasa dengan makanan halal

Ketika berbuka puasa, Imam al-Ghazali menasihati agar berbuka puasa dengan makanan yang halal.

Di samping itu, elakkan pembaziran dengan membeli atau makan terlalu banyak seolah-olah ‘qadha’ semula kerana seharian tidak makan. Ia akan lebih memberatkan perut yang tidak memberi faedah kepada puasa. Sedangkan tujuan puasa untuk memecahkan syahwat dan menambahkan ketakwaan.

Para pelajar perlu fokus kepada tujuan puasa yang sebenar iaitu ingin mengekang atau mengawal hawa nafsu dan menggunakannya secara benar untuk menambahkan ketakwaan yakni melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi laranganNya.

Jika perut penuh dengan makanan yang halal pun merupakan perkara yang tidak molek, maka apatah lagi jika perut diisi dengan makanan yang haram.

Imam al-Ghazali juga menyatakan bahawa puasa adalah asas bagi ibadah dan kunci untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Maka para pelajar perlu memperbanyakkan amalan puasa sunat di samping puasa wajib kerana ia adalah asas dan kunci tersebut.

Antara hadis yang menjelaskan kelebihan puasa yang boleh dihayati oleh para pelajar ialah sabda Rasulullah SAW: “Dan demi Dhat yang jiwaku berada di tanganNya, sungguh bau mulut orang yang sedang puasa lebih harum di sisi Allah Ta’ala berbanding harumnya minyak kasturi. Allah berfirman, ini kerana dia meninggalkan makanannya, minumannya dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan membalasnya dan setiap satu kebaikan dibalas dengan sepuluh kebaikan yang serupa.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama al-Rayyan khusus untuk ahli puasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat kelak. Selain mereka tidak dibenarkan masuk.” (Riwayat Imam Muslim). Menurut Imam Mulla ‘Ali al-Qari, al-Rayyan merujuk kepada pintu syurga yang mana apabila seseorang itu memasukinya maka ia tidak merasa dahaga kerana terdapat banyaknya sungai-sungai yang mengalir dan buah-buahan yang boleh dimakan dan diminumnya atau ia hilang dahaga sebaik sahaja memasuki pintu tersebut meskipun tanpa makanan dan minuman.

Semoga para pelajar dapat melaksanakan ibadah puasa sunat dan wajib pada bulan Ramadan sebaiknya dengan mengambil kira penjagaan semua anggota badan di samping tidak makan, dan minum. Apatah lagi puasa merupakan asas ibadah dan kunci mendekatkan diri kepada Allah. Mudahan cubaan untuk berpuasa sunat ini juga menjadi salah satu proses latihan atau pembelajaran bagi para pelajar semua.

*** Dr Mohd Hasrul Shuhari merupakan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel menarik

17 adab yang perlu guru-guru amalkan, ikuti perkongsian Dr Mohd Hasrul

MILO® dan KPM bekal sarapan percuma kepada murid B40 selama sebulan menerusi Projek Kantin MILO®