PADA 31 Januari lalu, negara kita dikejutkan dengan hasrat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam sistem pendidikan Malaysia.

Dr Mahathir berkata, alasan mengembalikan semula PPSMI  setelah dimansuhkan pada tahun 2013 disebabkan kedua-dua subjek itu bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini dan berbeza dengan mata pelajaran lain.

Bagaimanapun, cadangan terbaru itu mencetuskan pelbagai  reaksi.

Ikuti temu bual Sinar Harian bersama Dekan Fakulti Pengajian  Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Samsilah Roslan.

Apakah tujuan sebenar cadangan kerajaan  memperkenalkan semula PPSMI?

SAMSILAH: PPSMI melibatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah di Malaysia bertujuan memastikan pengetahuan murid sentiasa terkini dalam kedua-dua bidang itu serta memudahkan pelanjutan pelajaran di peringkat lebih tinggi di mana bidang Sains dan Matematik lazimnya diwacanakan dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, ada dua perkara yang wajib ada untuk apa juga program pendidikan di sekolah berjaya mencapai sasarannya.

Perkara pertama ialah kita  memerlukan guru terlatih dan berkepakaran untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Perkara kedua, ia merujuk kepada keupayaan murid yang mempunyai kesediaan minda menerima dan menghadam pembelajaran itu.

Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara masyarakat majmuk dan sistem persekolahan yang pelbagai, mampukah  dasar PPSMI dijayakan kerajaan kelak?

SAMSILAH: Ya, keunikan Malaysia adalah kerana terdapat kepelbagaian dalam masyarakat  dan sekolahnya. Amat wajar kepelbagaian itu diambil kira ketika  melaksanakan apa juga dasar khususnya melibatkan populasi murid.

Pelaksanaan DLP atau pembelajaran dalam dwi-bahasa  yang digunakan sebelum ini adalah satu contoh baik bagaimana kepelbagaian diraikan.

Justeru, satu tinjauan boleh dilaksanakan untuk melihat kesediaan  sekolah-sekolah di Malaysia  dan hasil dapatannya boleh menentukan sama ada PPSMI mampu dijayakan kerajaan atau tidak.

Adakah PPSMI wajar dilaksanakan di semua jenis sekolah di Malaysia?

SAMSILAH: PPSMI wajar dilaksanakan di sekolah di mana  terdapat guru dan murid yang  berketrampilan mewacanakan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Di sekolah di mana guru dan muridnya tidak bersedia, pendekatan pengajaran untuk memperkasakan penguasaan Sains dan Matematik harus dibicarakan melangkaui sempadan bahasa.

Apakah aspek penting yang perlu dimantapkan kerajaan  bagi memastikan pelaksanaan PPSMI pada kali ini tidak  akan gagal?

SAMSILAH: Pendidikan dan latihan guru untuk mengajar Sains dan Matematik dalam dwi bahasa harus dimantapkan. Dalam era serba maju kini, bahasa sepatutnya bukan penghalang untuk pertukaran dan perkongsian ilmu.

Namun, penguasaan bahasa utama dunia sepatutnya lebih  mudah dilakukan dan boleh memberi banyak nilai tambah kepada individu baik dalam bidang keilmuan
mahupun alam pekerjaan.

Artikel Menarik:

Tip lulus Bahasa Melayu Kertas 2 UPSR 2020

Jadilah ketua yang disukai, guru ini ada tipnya

Murid mengantuk dalam kelas...Cikgu Herryan Syah sediakan 11 idea menarik untuk guru-guru cuba

Cikgu Azlan kongsi tip mudah bina carta pai subjek Geografi