Khabar gembira tentang anak yang berjaya ke sekolah berasrama penuh (SBP) tentunya menggembirakan hati semua orang.

Yang paling happy, tidak lain dah tidak bukan tentulah ibu bapa murid berkenaan.

Dalam kegembiraan itu, pernahkah ibu bapa bertanyakan tentang minat anak-anak? Adakah mereka benar-benar mahu ke sekolah tersebut atau perlu mengangguk tanda setuju bila mak ayah mengisi borang kemasukan ke sekolah berkenaan.

Fadilah Lee menerusi akaun facebooknya berkongsi kisah menarik tentang perkara ini.

Mari kita hadam

 

**********

 

Anak-anak yang masuk sekolah berasrama penuh. Ramainya anak-anak yang gembira atau ibu bapa yang terlebih gembira?

Baru-baru ini #cikgustailo baru balik dari Taklimat & Skema Pemarkahan Ujian Khas Ulul Albab. Wow! dikhabarkan peningkatan permohonan untuk mengikuti model sekolah beraliran Sains + Tahfiz sungguh menakjubkan.

Ini menunjukkan kesedaran ibu bapa dalam al-Quran juga meningkat. Namun, 4 perkara yang ibu bapa perlu ambil perhatian sebelum menghantar anak-anak ke Sekolah Berasrama Penuh Ulul Albab tidak kira di MRSM, SBPI, IMTIYAZ atau SABK dan sebagainya iaitu:

 

#1 Kebolehan membaca al-Quran.

#2 Kebolehan menghafaz.

#3 Pencapaian akademik yang tinggi dan

#4 Memiliki minat dalam menghafaz al-Quran.

(Fathiyah et.al, 2018)

Ciri 1-3 mungkin boleh digilap ketika mereka berada di dalam pembelajaran Tahfiz tetapi ciri ke 4 minat, hanya ada dalam diri anak itu sendiri. Mereka sahaja yang tahu apa yang mereka inginkan.

Usah kita memaksa mereka jika keinginan mereka di dalam jurusan yang berbeza dengan keinginan kita. Usah menghukum anak-anak kita semata-mata untuk menunaikan cita-cita kita yang tidak kesampaian.

Kesannya, anak-anak akan menanggung keperitan itu bertahun-tahun lamanya menyebabkan emosi dan psikologi mereka terjejas hingga dewasa.

Pihak sekolah juga akan merana bersama terutama guru. Tidak kurang masalah pencapaian akademik ditambah pula masalah disiplin.

Guru terpaksa menanggung beban anak-anak yang tidak ada minat berada dalam sesebuah jurusan itu. Pencapaian mereka semakin hari semakin menurun. Akhirnya, guru juga akan dipersalahkan tidak pandai mengajar.

Anak-anak ini tersepit sebenarnya. Bila di luah, akan mengguriskan hati ibu bapa. Bila guru dimaklumkan khuatir dianggap berkurang ajar. Guru juga tersepit. Kehendak atasan atau kehendak klien dalam masa yang sama perlu mengambil kira “subject matter”.

Walau bagaimanapun, minat boleh dipupuk apabila anak-anak kita faham mengapa mereka perlu menghafaz al-Quran dengan tidak memaksa-maksa mereka mengikut pilihan orang tua.

Apabila sudah diberi kefahaman, mereka harus diberi peluang untuk membuat pilihan tentang pro dan kontra sama ada pilihan kita atau anak. Setiap pilihan memang ada risikonya.

Jika anak-anak yang masih kurang kematangannya, pastinya akan jawab “tak tahu” atau “ikutlah...” apabila ibu bapa bertanya. Maka, di sinilah kebijaksanaan kita sebagai orang tua untuk memahami dan menilai sendiri kecenderungan anak.

Mak-mak dan ayah-ayah semua, zaman sudah berubah. Kita sekarang sudah berada dalam revolusi industri dunia 4.0. Transformasi digital dan serba serbi teknologi automasi. Masakkan kita masih dalam dunia “old school”.

Jika tidak, mengapa Rasulullah SAW sendiri bersabda, “Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, kerana mereka hidup di zaman mereka bukan pada zamanmu.”

Hamka juga menjelaskan bahawa anak adalah untuk zaman yang akan datang, bukan untuk zaman kita. Salahlah pendidikan orang tua yang hendak menjadikan anak mereka seperti mereka juga.

BFL

#parenting

#homeshooling

#tarbiyatulaulad

#justmy2cents

#seekingforknowledge

 

Sumber: Facebook Fadilah Lee

 

Makluman: Artikel ini diterbitkan atas keizinan daripada penulis asal