Cikgu, anak saya tidak minat untuk belajar.

Cikgu, anak saya langsung tidak mahu belajar kalau ibu bapa yang ajar.

Anak saya ni malaslah. Tak tau nak buat macam mana lagi.

Banyak dah buku yang saya beli tapi dia tetap tidak mahu belajar.

Dipukul pun anak saya tidak mahu belajar, kalau belajar pun tak sampai sepuluh minit.

Kata-kata di atas sering menjadi luahan ibu bapa kepada guru-guru. Selalunya ia biasanya diluahkan oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang tidak menguasai membaca, menulis dan mengira (3M) iaitu anak-anak yang berusia antara 7 tahun hingga 12 tahun.

Namun mereka  ini beruntung kerana memiliki ibu bapa yang tetap berusaha sebaiknya untuk meluangkan masa mengajar anak dan membeli buku-buku.

Ikuti perkongsian Guru Cemerlang Pemulihan Khas SK Kg Soeharto, Selangor, Cikgu Roslee Abdul @ Mohd, bagaimana untuk menarik minat anak istimewa ini belajar di rumah.

Ibu bapa mana yang ingin melihat anak-anak mereka terus tidak boleh membaca dan menulis? Semua ibu bapa mengharapkan yang terbaik untuk anak-anak mereka demi masa depan yang lebih terang dan cerah.

Di sini saya ingin berkongsi tip berdasarkan pengalaman saya sebagai Guru Pemulihan Khas.

Murid Pemulihan Khas merupakan murid atau anak istimewa yang kalau diajar atau diasuh dengan teknik dan kaedah yang betul akan mampu menjadi pelajar cemerlang dalam hidup mereka.

Inilah istimewanya murid Pemulihan Khas ini…

 Mereka bukan bersifat tegar untuk tidak mahu belajar di rumah tetapi mereka menzahirkan satu pemberontakan dalaman yang mereka sendiri tidak tahu untuk luahkan.

Masa berbeza

Di rumah ibu bapa sering ingin memastikan anak-anak mereka belajar. Ada yang belajar hingga berjam-jam. Bagi anak istimewa seperti anak pemulihan khas ini, masa untuk mereka belajar amat berbeza.

Fokus minda mereka kepada apa yang akan mereka belajar mestilah dalam masa antara 15  hingga 20 minit atau paling lama 30 minit sahaja.

Mereka mempunyai daya fokus belajar yang singkat sahaja. Biasanya apabila diajar membaca atau mengeja dalam masa setengah jam pasti mereka dapat impak mengingat dalam 60% hingga 80%.

Hilang fokus

Apabila didesak untuk belajar melebihi daripada 30 minit mereka akan mula hilang fokus dan ini akan menjadi tekanan kepada mereka. Akhirnya mereka memberontak secara halus iaitu tidak mahu belajar lagi. Ini hakikat yang berlaku. Hanya ibu bapa yang ada anak istimewa ini sahaja yang akan melalui situasi ini.

Hari ini saya akan kongsikan tip bagaimana untuk membawa anak-anak pemulihan khas ini berminat untuk belajar.

Ingat bukan hafal

Anak-anak ini perlu belajar mengingat dan bukannya menghafal. Apa beza mengingat dan menghafal dalam pembelajaran anak pemulihan khas?

Menghafal ialah cara belajar untuk ingatan jangka pendek dalam situasi terdesak. Mengingat pula ialah proses pembelajaran anak pemulihan secara semula jadi melalui aktiviti yang merangsang minda mereka.

Tulisan besar

Ibu bapa perlu pastikan buku pembelajaran yang sesuai untuk anak-anak ini ialah buku yang mempunyai tulisan yang besar, jelas dan hurufnya mestilah huruf yang mereka biasa belajar dan bukannya huruf yang berbeza.

Contohnya huruf kecil ‘a’. Mereka diajar huruf ‘a’ jenis tulisan yang lain. Namun kebanyakan buku menggunakan huruf ‘a’ sebegini. Ini menyebabkan timbul kecelaruan kepada mereka.

Belajar dan buat

Anak pemulihan khas amat berminat kepada pembelajaran berbentuk ‘belajar dan buat’. Dalam masa 30 minit ajak anak ini belajar sambil membina bahan belajar.

Contohnya kalau ibu bapa ingin mengajar membaca perkataan, ajaklah anak ini membina kad perkataan tersebut. Ibu bapa hanya perlu sediakan kertas A4 putih atau berwarna-warni, pensel warna, pensel, marker, gunting, gam dan gambar tidak berwarna mengikut perkataan yang hendak diajar.

Dalam masa 30 minit ini mereka akan melakukan aktiviti mewarna, menggunting, menampal, menulis dan membaca.

Aktiviti inilah yang mereka suka dan merangsang minda untuk bekerja. Cara ini akan memudahkan proses mengingat berlaku. Malah mereka akan lebih fokus melalui pembelajaran seperti ini. Ulang lagi aktiviti ini pada waktu lain pada hari yang sama dalam tempoh masa yang sama.

Hubungi cikgu

Untuk lebih jelas, ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa berhubung dengan Guru Pemulihan Khas anak ini bagi mendapatkan ilmu yang lebih sempurna dan juga mendapatkan bahan bantu belajar yang boleh digunakan di rumah seperti himpunan gambar-gambar untuk aktiviti mewarna, bentuk kad perkataan yang sesuai dan idea melaksanakan aktiviti ‘hands on’.

Lebih baik anak-anak pemulihan ini belajar mengingat secara berfokus dalam masa yang singkat tetapi santai daripada mereka belajar berjam-jam secara hilang fokus tetapi impaknya negatif.