Anak muridku, kamu kena jaga kebersihan diri dan penampilan jika nak berjaya
Anak muridku, kamu kena jaga kebersihan diri dan penampilan jika nak berjaya

NORIZAN ZAKARIA, Guru Pengawas SK Bukit Changgang, Selangor

Setiap orang wajib mempraktikkan amalan menjaga kebersihan diri.

Kebersihan diri bermula dengan penjagaan fizikal kita.

Misalnya, menggosok gigi, mandi, memotong kuku, berpakaian kemas dan sebagainya.

Fizikal perlu tampil kemas, bersih dan wangi.

Masalah yang sering dihadapi oleh murid yang tidak menjaga kebersihan diri dengan baik adalah badannya akan berbau.

Individu tersebut tidak boleh menghidu bau badan sendiri tetapi orang lain boleh.

Oleh itu, sebagai langkah pencegahan individu tersebut perlu mandi dengan lebih kerap, memakai wangi-wangian dan deodoran pada setiap hari.

Elakkan daripada memakai baju yang telah dipakai kerana baju akan berbau oleh sebab baki peluh yang menyerap.

Selain itu, masalah yang kedua adalah kebersihan oral tidak terjaga. Oleh itu, sebagai langkah pencegahan murid tersebut perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan floskan gigi secara berkala.

Apabila makan makanan yang mengandungi bawang putih, hendaklah segera berkumur untuk mengelakkan mulut berbau.

Di samping itu, masalah yang ketiga yang dihadapi murid adalah dari segi penampilan diri.

Misalnya, pakaian yang dipakai tidak digosok dan kotor, kasut kotor, rambut tidak bersikat dan kelihatan kusut.

Oleh itu, keyakinan dalam diri akan kurang malah individu lain akan kurang bergaul dengan anda kerana penampilan yang selekeh.

Justeru itu, penampilan diri perlu dijaga untuk tampil yakin di khalayak ramai.

Kepentingan yang dapat diperoleh sekiranya kamu menjaga kebersihan diri dengan baik adalah membantu meningkatkan keyakinan pada diri.

Kebersihan diri yang terjaga akan membawa diri kamu menjadi lebih yakin untuk bergaul dengan orang lain. Selain itu, kebersihan yang terjaga akan menghindari diri daripada terkena penyakit yang berbahaya.

Misalnya, penyakit kulit atau sebagainya yang boleh menyebabkan fizikal terjejas.

Jika kamu sentiasa berpakaian kemas, ia menonjolkan imej yang bersih, teratur dan sopan di mata pelajar lain dan juga guru.

Jika kamu sentiasa bercakap dengan sopan dan bahasa yang baik, kamu akan dilihat sebagai pelajar yang berhati mulia, mendapat didikan sempurna daripada ibu bapa dan mudah didekati.

Sebaliknya, jika kamu bersikap biadap, tidak menghormati rakan lain dan berpakaian tidak kemas (kemas tidak semestinya memakai pakaian mahal), kamu akan menonjolkan imej yang kamu tidak patut didekati.

Apa kaitan penampilan diri dengan kemahiran belajar?

Satu, penampilan diri akan membuat kamu disenangi rakan dan guru. Jadi, kamu mudah mendapat kerjasammereka dan mereka akan sedia membantu kamu dalam pelajaran.

Kedua, penampilan diri yang baik akan meningkatkan keyakinan kamu untuk lebih berjaya.

Jika penampilan kamu seperti pelajar cemerlang, kamu akan rasa yakin seperti pelajar cemerlang.

Jadi, pilih satu imej yang ingin kamu tonjolkan dan pastikan imej itu akan membantu kamu mencapai apa yang kamu inginkan.

Jangan diabai paku dan pahat

Jika terluka sakit tak terperi

Jangan diabai perilaku sihat

Jika berusia memudaratkan diri.

Ini pula pesan Guru Besar SK Bukit Changgang Mohamad Ali Alimin yang bertajuk ' Azam baharu menjadikan hari0hari kita lebih bermakna'.

Artikel penuh boleh dibaca melalui link ini https://www.gpsbestari.com/artikel/rencana/azam-baharu-menjadikan-hari-hari-kita-lebih-bermakna-1.920486

 

 

 
 
www.gpsbestari.com tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
VIDEO
Angkasawan Negara Kongsi Pengalaman
INSTAGRAM
BIASISWA
Biasiswa Karangkraf