JIKA ditanya pada setiap murid mengenai apakah mata pelajaran yang paling seronok mereka pelajari, mungkin hampir keseluruhan akan mengatakan “Saya suka muzik”.

Seperti yang kita sedia maklum muzik merupakan sebahagian daripada kehidupan dalam sistem pembelajaran kanak-kanak.

Muzik merupakan satu rangsangan yang dapat memberikan kesan positif terhadap perkembangan minda bayi dan juga kanak-kanak sehinggalah ke peringkat menengah, muzik terus digunakan secara kreatif oleh guru untuk merangsang minat murid belajar.

Tahukah anak-anak ada banyak kebaikan yang boleh kita dapat dalam mempelajari muzik tidak kira sama ada belajar menyanyi, bermain alat, seni tari ataupun apa sahaja yang berkaitan dengan muzik selagi tidak melalaikan dan merosakkan.

Kanak-kanak seusia 6 tahun pertama mampu mendengar dengan baik dan boleh membezakan bunyi dan irama yang berlainan.

Selain membantu dalam perkembangan bahasa kanak-kanak, mengikut kajian, muzik juga dapat membantu perkembangan otak terutama otak kiri yang berfungsi sebagai 'intelligent quotient' (IQ) yang bermaksud kemampuan intelektual.

Dengan kata lain mempelajari muzik dengan bersungguh-sungguh dapat meningkatkan kepintaran anda  berfikir dan menyelesaikan masalah.

Tentu anak-anak semua  mahu menjadi anak yang pintar bukan? 

Mungkin ada antara anak-anak semua pernah melibatkan diri dalam persembahan majlis di sekolah atau pernah menyaksikan rakan lain menyanyi, bermain alat atau membuat persembahan tarian.  

Apabila kita membuat persembahan di khalayak ramai sebenarnya kita telah membina keyakinan diri kita selain menghilangkan perasaan gementar di hadapan orang ramai.

Untuk menjadikan kita lebih yakin sudah tentu kita perlu menjalani latihan yang mencukupi untuk meningkatkan kemahiran kita.

Jadi kaitannya, dengan mempelajari muzik kita perlu memahirkan kebolehan dan bakat yang kita ada supaya berasa lebih yakin.

Mempelajari muzik bukan perkara yang mudah, belajar muzik adalah perkara yang mencabar, perlu kesabaran dan perlu latihan yang bersungguh-sungguh untuk menjadikan seseorang itu mahir.

Maka tidak hairanlah kanak-kanak yang mempelajari muzik akan menjadi lebih berdisiplin, lebih fokus memandangkan dalam muzik teori terdapat susunan not-not yang berbeza, pelbagai simbol, pelbagai pic dan irama yang memerlukan penelitian serta konsentrasi yang tinggi.

Alangkah baik sekiranya anak-anak dapat menerapkan disiplin dalam muzik ini dalam kehidupan sehari-hari.

 

Roslinda Intan Md Kasim

Guru Pendidikan Muzik SK Bukit Changgang, Banting