Tiga institusi pendidikan iaitu Maahad Tahfiz Darul Wafa’, Sekolah Rendah Islam Fursan Soleh dan Alfaqeh Caliphz Centre melahirkan rasa teruja kerana dapat menggunakan aplikasi My Shakhsiyyah AR dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) guru mereka. 

Cikgu dan pelajar berpendapat, aplikasi My Shakhsiyyah AR banyak membantu mereka memahami tentang akhlak dan sifat mulia yang perlu dimiliki oleh seseorang Muslim secara lebih mendalam lagi.

"Ramai pelajar sangat gembira dan bersetuju bahawa pembelajaran akhlak menerusi aplikasi AR ini dapat menarik minat untuk memahami akhlak mulia," kata salah seorang guru.   

My Shakhsiyyah AR merupakan aplikasi telefon pintar yang mengandungi teknologi augmented reality (AR) atau realiti terimbuh untuk menjelaskan akhlak Islam.

Ia merupakan hasil dari penyelidikan tentang pengalaman akhlak empat tokoh Islam iaitu Imam al-Shafie, Imam Ibn Sina, Imam al-Ghazali dan Sultan Muhammad al-Fateh.

‘My Shakhsiyyah’ diterjemahkan kepada ‘sahsiahku’ yang bermaksud sifat-sifat yang membezakan seseorang dengan yang lain.

Ringkasnya ia berkaitan akhlak dan sifat mulia yang perlu dimiliki oleh seseorang Muslim. Untuk menjelaskan berkenaan akhlak Islam, teknologi AR dimanfaatkan penggunaannya agar ia dapat menarik minat pengguna.

Sejarahnya, teknologi AR ini dicipta oleh Morton Heilig pada tahun 1962, yang mana beliau mendefinisikan AR ini sebagai keadaan di mana pengguna dapat melihat gabungan objek maya dan dunia sebenar dalam masa nyata.

Ia juga dianggap sebagai proses yang menggabungkan objek maya ke dalam dunia nyata yang bersifat interaktif secara realiti dalam bentuk animasi 2D dan 3D.

Aplikasi yang dibangunkan ini mengandungi marker (penanda) yang mana apabila diimbas ia akan memaparkan pada skrin telefon pintar antaranya video bacaan al-Quran, animasi rehal yang mengandungi ayat al-Quran dan pilihan pembaca al-Quran berkenaan ayat tentang akhlak.

Ia juga mengandungi video-video animasi berkenaan adab-adab antaranya adab dengan guru, ibu bapa, ketika tidur dan lain-lain.

Pasukan inovasi My Shakhsiyyah AR

Projek inovasi My Shakhsiyyah AR dihasilkan oleh 10 pensyarah Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diketuai Dr Mohd Hasrul Shuhari.

Projek ini juga mendapat kerjasama beberapa pensyarah UniSZA lain iaitu  Prof Madya Ts Dr Roslan Umar dari Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur dan Dr Suhailan Safei dari Fakulti Informatik & Komputeran (FIK).

Selain itu, pembangunan inovasi ini juga mendapat kerjasama pihak luar UniSZA iaitu Prof Madya Dr. Mustafa Man dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Ketua projek, Dr Mohd Hasrul berkata, aplikasi AR turut digabungkan dengan dua aplikasi yang lain iaitu My Shakhsiyyah Game dan My Shakhsiyyah Speaking Dictionary.

"My Shakhsiyyah Game adalah aplikasi permainan yang diadaptasi dari game Super Mario. Ia dibangunkan dengan menggunakan perisian pengarangan multimedia seperti adobe flash, adobe photoshop dan beberapa perisian yang lain.

"Elemen-elemen multimedia seperti animasi, grafik, audio dan teks juga digunakan. Setelah diimbas pada markernya, pengguna boleh bermain game menerusi telefon pintar atau komputer," katanya kepada GPS Bestari.

Tambahnya, permainan tersebut memerlukan kawalan daripada pengguna untuk mengendalikan watak di atas platform yang sedia ada.

"Watak perlu mengharungi beberapa rintangan dan soalan berkaitan sifat-sifat mahmudah berdasarkan pandangan Imam al-Ghazali perlu dijawab untuk menamatkan permainan ini dengan berjaya," ujarnya.

Aplikasi My Shakhsiyyah Speaking Dictionary pula merupakan teknologi voice recognition yang boleh mengesan suara pengguna.

Apabila marker ARnya diimbas, ia akan membawa pengguna ke pautan khas. Pautan tersebut menyediakan kemudahan kepada pengguna untuk mencari istilah-istilah dalam Pengajian Islam seperti istilah dalam bidang akidah, syariah, akhlak, ilmu kalam, mantik dan lain-lain.

Contohnya, apabila sesuatu istilah dalam bidang akhlak disebut padanya, ia akan memaparkan definisinya secara bersuara dan bertulis.

Di samping itu, dinyatakan juga sumber bagi definisi istilah-istilah tersebut dari buku-buku istilah berautoriti yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ia juga secara automatik memaparkan video-video youtube yang berkaitan istilah yang berkaitan.

Raih pelbagai anugerah

Pembangunan aplikasi AR ini bermula pada Mei 2019 dan siap pada peringkat pertama pada Julai 2019.

Aplikasi ini berjaya memenangi Silver Award dalam pertandingan inovasi di UUM pada bulan yang sama. Setelah itu, ia ditambah baik dari masa ke masa sehingga Mac 2020.

Setelah ditambah baik, My Shakhsiyyah AR berjaya memenangi 10 anugerah dari enam pertandingan inovasi yang disertai iaitu pertandingan MPI UniSZA 2019; UniCeL UniSZA 2019; PIP UUM 2019; IUCEL UNIMAS 2019; PECIPTA UTHM 2019 dan MPI 2020 Kolej Universiti TATI.

Dan anugerah yang diperolehi menerusi pertandingan inovasi tersebut adalah satu penghargaan khas, lima pingat emas dan empat perak.  

Penganugerahan melibatkan aplikasi My Shakhsiyyah Game dan My Shakhsiyyah Speaking Dictionary secara berasingan dan juga aplikasi secara gabungan iaitu My Shakhsiyyah AR.

Kejayaan ini hasil dari sokongan dan bimbingan pihak UniSZA sendiri khususnya Pusat Pengurusan Kecemerlangan dan Inkubator Penyelidikan (CREIM), Pusat Pengurusan Kecemerlangan Akademik & Pengantarabangsaan (CoMAE-I) dan Pusat Pengurusan Bakat & Latihan (CenTTM).

Paling penting, dana bagi kajian yang menghasilkan aplikasi ini adalah dari Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS), Jabatan  Pendidikan  Tinggi  (JPT), Kementerian  Pendidikan  Malaysia (KPM).

Artikel menarik

'Kenapa tak beritahu cikgu? Kan dah pesan...tak de duit cakap, cikgu boleh bagi' - Warganet sebak

Cikgu ternganga tengok lukisan pelajar Tingkatan Empat. Siap terkejut dan hampir pengsan!

Enam amalan terbaik guru-guru terdahulu yang mungkin boleh dijadikan contoh untuk pendidik masa kini