TAHUN Baru datang lagi. Pastinya tahun baru wajar disertakan dengan azam baru.

Setiap orang perlukan azam baru kerana azam  merupakan permulaan matlamat hidup seseorang dalam tahun tersebut.

Azam bermaksud keinginan yang tinggi, cita-cita, matlamat disertai dengan semangat, kecekalan dan ketentuan diri sendiri, sifat yakin untuk menempuhi masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan sejahtera.

Apabila bermula kalendar 2019 bermakna bermulalah sesi persekolahan yang baru, ada yang masuk tadika atau sekolah rendah dan sebahagiannya pula mula melangkah ke alam sekolah menengah.

Bermulanya kelas atau tingkatan yang baru pastinya disertai dengan semangat dan azam untuk dilakukan sebaik mungkin berbanding tahun lepas.

Azam yang baru perlukan perancangan yang rapi, semangat yang tinggi, sesuatu yang realistik atau mampu dicapai dan bersungguh-sungguh untuk mencapainya.

Sentiasalah berfikiran positif, perbaiki kelemahan diri berusaha untuk mencapai azam tersebut.

Tulislah azam yang  kita ingin capai dan letakkan atau tampal di tempat yang boleh kita lihat setiap hari seperti di cermin muka, pintu, di atas meja dan sebagainya.

Sebaiknya tentukan jangka masa untuk kita mencapai azam tersebut.

Buat susunan apakah azam yang kita hendak capai dalam masa yang pendek atau masa yang panjang agar kita tidak leka untuk mencapainya.

Sebagai seorang pelajar antara azam yang perlu ada dalam jiwa anda adalah meningkatkan prestasi akademik  dari yang kurang baik pada tahun lepas kepada yang lebih baik pada tahun ini.

Begitu juga penyertaan dalam aktiviti sukan, permainan, berpersatuan dan penglibatan dalam badan beruniform.

Jadikan amalan membaca buku ilmiah dengan menambah bilangannya  sebagai azam tahun baru.

Kita boleh meletakkan sasaran bilangan jenis buku untuk kita baca seperti buku yang berkaitan tentang sejarah, sukan, agama, sastera, motivasi dan sebagainya.

Hal ini secara tidak langsung kita telah menyahut saranan menteri pendidikan untuk melahirkan masyarakat yang gemar membaca.

Ketika usia kita masih muda, ada baiknya kita jadikan amalan menyimpan wang sebagai salah satu azam.

Kita boleh tetapkan berapa peratus wang saku yang ibubapa berikan kepada kita untuk disimpan sama ada dalam tabung ataupun ke dalam bank.

Seperti pepatah 'sikit-sikit lama-lama menjadi bukit'.

Wang ini akan kita gunakan apabila kita hendak membeli sesuatu seperti buku pelajaran ataupun melanjutkan pelajaran ke IPT.

Hal ini sudah tentu dapat mengurangkan beban ibu bapa kita.

Cikgu masih ingat ketika berada di sekolah rendah seorang kawan cikgu membayar yuran persekolahan dengan duit syiling hasil daripada tabung simpanannya.

Sebagai anak yang baik, mengapa kita tidak boleh melakukannya.

Satu lagi azam yang yang berkaitan dengan diri kita adalah mengubah sikap menjadi lebih baik.

Buanglah perangai yang buruk seperti menyakitkan hati orang lain, cepat merajuk, suka membangga diri, lekas marah dan sebagainya.

Ubahlah kepada sifat lebih penyayang, hormat menghormati, lemah lembut, sopan santun,  pemaaf, bertimbang rasa dan saling bantu membantu terhadap semua mahluk di sekeliling kita.

Demi menjaga kesihatan, tanamkan azam untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat, ceria, penampilan diri yang matang sesuai dengan usia kita yang semakin bertambah.

Lakukan senaman, patuhi amalan makanan seimbang, kurangkan makan segera atau makanan ringan yang tidak memberi manfaat kepada tubuh badan kita.

Sebenarnya banyak lagi azam yang kita boleh sasarkan untuk mencapainya.

Perkara penting ialah azam tersebut mestilah yang memberi manfaat kepada diri kita.

Ingat! Jadikan segala kegagalan azam  pada tahun lalu sebagai pengajaran untuk kita terus berusaha dan perbaiki bukannya sebagai sempadan untuk kita tidak mahu berusaha lagi.

Akhir kata, rajin-rajinlah belajar dan selamat maju jaya.

 

MOHAMAD ALI ALIMIN

Guru Besar, SK Bukit Changgang, Selangor