Hanya mak ayah yang tahu bakat dan kebolehan anak masing-masing.

Apatah lagi anak istimewa.

Mereka yang benar-benar rapat sahaja memahami dan mengetahui keistimewaan yang ada pada anak berkenaan.

Menerusi blog Cikgu Emmet Menulis, kupasan tentang anak Austism sangat jelas dan mudah difahami.

Ikuti cerita istimewa anak ini yang mungkin masih ramai ibu ayah di luar sana yang tidak tahu bahawa mereka sebenarnya beruntung memiliki anak Austism.

 

 

**********

 

 

Bakat Luar Biasa Insan Austism Perlu Diketengahkan: Don Aspie

Disclaimer : Tulisan ini adalah tulisan Don Aspie. Tulisan ini memberikan kupasan yang cukup menarik dan mungkin boleh diambil kira oleh pihak berwajib dalam membantu anak anak istimewa autistik dalam meluaskan kecemerlangan mereka dalam bidang-bidang tertentu seperti seni dan muzik.

Sebagai insan autism, saya ingin menyarankan kepada ibu bapa anak autism agar memberi ruang seluas-luasnya kepada anak-anak untuk mengembangkan bakat mereka.

Bakat autism ada macam-macam; melukis, muzik, kraftangan, Matematik, bertukang, analisis, mengasuh dll. Bakat berbeza setiap individu. Setiap individu satu bakat.

Malangnya, selalunya bakat ini tak berjaya dicungkil disebabkan sistem pembelajaran kita yang mementingkan gred dan menyumbat pelajar autism dengan banyak benda, terutamanya di aliran perdana.

Ini menyebabkan pelajar autism keliru “landasan yang sepatutnya” mereka lalui. Atau buruk lagi, terkeluar dari landasan, mengalami kemurungan dan sebagainya.

Bakat autistik ini ada yang berjaya dicungkil, ada yang gagal.

Ada dijumpai secara tidak sengaja.

Yang berjaya dicungkil menjadi insan-insan penting seperti Einstein, Newton, Mozart, Tesla, Andy Warhol, Temple Grandin dan lain-lain. Yang “terkeluar landasan” pula menjadi OKU.

Genius-genius ini dipercayai termasuk dalam spektrum autism kerana fokus yang luar biasa, masalah bersosial, komunikasi, obses, berfikiran ‘aneh’ dan sebagainya. Ciri-ciri ‘negatif’ ini membantu mereka menjadi pakar dalam bidang mereka.

 

 

Kelebihan orang autistik ialah fokus mereka kerana mereka “single-minded”, lurus bendul, dan berupaya melihat sesuatu secara mikroskopik.

Ini kerana otak atau operating system autistik berbeza dengan neurotipikal. Semua benda di analisa walaupun benda-benda mudah.

Kalau guru suruh “duduk tegak” maka keseluruhan pemikirannya cuma fokus kepada bagaimana hendak “duduk tegak”; tulang belakang lurus, sudut peha dan badan 90 darjah, peha dan betis 90 darjah, kepala tegak, bahu lurus, mata ke depan dll. Hasilnya, “duduk tegak” yang super-sempurna dari segi syaratnya.

Kekurangannya pula, analisis seperti ini tak penting dan tak signifikan dalam dunia neurotipikal (baca: dalam kelas). Mereka terlepas perkara penting iaitu apa yang sedang diajar guru di depan atau benda yang tertulis di whiteboard. (Salah diagnos ADHD kerana gagal fokus? Atau diagnos OCD kerana terlampau perfectionist?).

Orang-orang autistik ini memang dicipta untuk menjadi pakar (dalam bidang sendiri yang dikurniakan bakatnya).

Tidak ada gunanya menyuruh mereka kuasai banyak benda kerana tidak sesuai dengan cara otak mereka bekerja. Mereka ini single-minded. Jika minat A, A sajalah fokus mereka. B, C, D, E semuanya hilang dari radar dan mereka dah tak nampak lagi.

Misi ibu bapa ialah mengenal pasti bakat anak istimewa itu bukannya ‘menormalkan’ mereka supaya menjadi seperti neurotipikal (NT).

Autism adalah kondisi seumur hidup. Menormalkan autistik cuma meletakkan “topeng” supaya kelihatan seperti neurotipikal. Dedahkan mereka dengan bermacam-macam skil untuk tujuan “explore”.

Jika pandai melukis, melukislah sebanyak-banyaknya, sampai boleh menjual lukisan. Belikannya segala keperluan melukis seperti kertas, pen, pensel, warna, kanvas, komputer dsb. (Atau kerajaan boleh sponsor?). Mungkin anak ini suatu hari nanti boleh jadi “the next Picasso”, graphic artist, designer, arkitek atau lain-lain.

Jika pandai bermain piano/keyboard, benarkan dia main sampai malam (dengan headphone). Biarkan dia cipta lagu-lagunya. Mungkin boleh jadi pemuzik atau komposer. Jangan disuruh bermain bola atau pingpong yang boleh mengganggu fokusnya (jika dia tidak mahu).

Jika obses dengan reptilia, berikannya galakan dengan menyokong hobinya. Mungkin anak itu boleh jadi seperti Steve Irwin.

Jika obses dengan astronomi, berikannya teleskop. Mungkin boleh kerja di planetarium.

Jika pandai membaca pattern, jadilah penganalisis.

Jika ada memori fotografik, jadilah artis landskap seperti Stephen Wiltshire.

Jika handal bermain badminton, berlatihlah hingga jadi seperti Datuk Lee Chong Wei.

Jika obses ikan, jadilah penternak, usahawan akuarium, penyelam skuba.. dan macam-macam lagi contoh yang boleh difikirkan.

Dengan syarat, minat-minat (obsesi) ini mestilah datang dari mereka sendiri bukannya apa yang disuruh/dipaksa oleh ibu bapa.

Hari ini, halangan kepada kejayaan anak-anak autistik ini ialah mereka kena lulus peperiksaan dan ada sijil seperti neurotipikal.

Jadi mereka kena menghabiskan bertahun-tahun di sekolah untuk memenuhi syarat minimum, yang mana ini boleh menyebabkan proses terbantut. Atau mereka terkandas di tengah jalan kerana cara belajar dan sistem peperiksaan yang dibuat untuk neurotipikal. (Bolehkah skip sahaja?).

Jika usaha ini boleh dibuat, umat manusia akan ada ramai “expert” di kalangan autistik. Masalah yang berlaku sekarang ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.

Sebagai contoh;

Yang pandai melukis disuruh jadi doktor

Yang pandai Matematik disuruh jadi ahli sejarah

Yang pandai bermain bola sepak disuruh jadi jurutera

Yang pandai hukum-hakam agama disuruh jadi banker

Yang pandai prinsip akaun disuruh jadi saintis……. dll

 

NT = neurotipikal = orang normal

 

#aspergersyndrome

#autismawareness

 

Sumber: Blog Cikgu Emmet Menulis