SELEPAS tular isu yuran PIBG dikategorikan sebagai sumbangan bukannya yuran yang wajib dibayar sejak tahun lalu, ada segelintir ibu bapa mula liat hendak menyumbang duit.

Kesannya PIBG di sekolah kebangsaan menghadapi dilema kewangan yang semakin teruk.

Banyak program hendak buat tetapi tidak cukup wang!

Isu yuran PIBG memang mendapat perhatian daripada orang ramai namun sayangnya cuma bersuara untuk mengecam mengutuk bukan membantu.

Apakah reaksi semua PIBG? Ikuti laporan khas Sinar Harian minggu ini.

Kebanyakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara mengalami kemerosotan dana selepas tular di laman sosial yuran PIBG sekolah bukanlah wajib, sebaliknya hanyalah sumbangan daripada ibu bapa pelajar.

Siasatan skuad Sinar Siasat mendapati rata-rata pihak sekolah terutama guru mengeluh apabila kutipan yuran merudum teruk daripada sekitar 70 peratus hingga 80 peratus kepada sekitar 40 peratus hingga 50 peratus sahaja, gara-gara ibu bapa semakin liat membuat bayaran yuran PIBG.

Lebih mengejutkan selepas mengetahui yuran PIBG hanyalah wang sumbangan, golongan paling liat membuat bayaran adalah ibu bapa berpendapatan tinggi dan ia banyak berlaku di sekolah kebangsaan.

Yuran sumbangan PIBG bagi setiap sekolah berbeza apabila ditetapkan pihak PIBG sekolah masing-masing, bagaimanapun puratanya meletakkan yuran sekitar RM50 setahun.

Guru yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) (1) Gombak, Selangor, Mohd Fadli Salleh mendedahkan, golongan ibu bapa dalam kategori kurang berkemampuan didapati lebih bertanggungjawab menjelaskan yuran PIBG.

Katanya, senario ibu bapa pelajar termasuk yang berpendapatan tinggi enggan membayar menyebabkan PIBG berada dalam dilema kewangan untuk melaksanakan program bagi murid serta menyediakan persekitaran sekolah lebih menarik.

“Mengejutkan, golongan kategori kurang berkemampuan atau miskin lebih ramai membayar yuran PIBG. Senario liat membayar sumbangan yuran PIBG ni, selepas tersebarnya sumbangan PIBG tidak wajib dijelaskan.

“Pekeliling mengenainya juga tersiar menyebabkan makin ramai ibu bapa tak nak bayar sedangkan setiap tahun PIBG perlu dana sekitar RM100,000 untuk sekolah yang mempunyai sekitar 1,000 murid.

"Itu anggaran biasa. Kos besar melibatkan hari kecemerlangan, hari sukan, baik pulih bangunan, tandas, kertas, penceramah, perkhemahan dan lain-lain lagi juga perlu diambil kira," katanya.

Perkongsian pendapat Fadli mengenai sikap ibu bapa dan penjaga dalam membantu memberi sumbangan kepada PIBG mendapat lebih 3,700 Like, 3,300 perkongsian dan lebih 100 komen.

Selain masalah liat menjelaskan yuran PIBG, dilema besar dihadapi PIBG sekolah kebangsaan adalah kehadiran ibu bapa ketika mesyuarat agung PIBG.

“Masalah besar timbul bila yang tak hadir persoalkan ke mana duit, tidak setuju dengan program dan aktiviti, tidak setuju jumlah kutipan sumbangan dan sebagainya.

"Sedangkan mereka tidak hadir pun mesyuarat. Ini dilema paling besar,” tegasnya.

Fadli berkata, lebih memburukkan keadaan, ada ibu bapa yang cenderung untuk memperbesarkan sesuatu isu di laman sosial Facebook.

Gara-gara terkilan dengan sikap segelintir ibu bapa, Fadli pernah membuat perkongsian mengenai isu PIBG dalam laman sosial Facebooknya 26 Januari lepas mendapat lebih 3,700 tanda suka, 3,300 perkongsian dan lebih 100 komen.

Dalam perkongsian bertajuk 'Beza antara Mentaliti Kita' itu, Fadli berkongsikan kesedihan rakannya yang bercerita mengenai sikap berkira 'orang kita' dengan pendidikan anak-anak.

Hanya disebabkan sumbangan RM5 untuk mengecat sekolah, ada golongan ibu bapa dan penjaga ingin melaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menurutnya, majoriti sekolah kebangsaan di negara ini memang begitu.

“Dana PIBG sikit, nak buat program, nak buat keceriaan, nak tambah baik fasiliti kena mohon sumbangan. Bila mohon sumbangan pula, sambutan suam-suam kuku. Yang merungut lebih banyak.

"Bukan kata nak bantu sekolah anak sendiri, bahkan nak menjatuhkan pula," katanya.

Menurutnya, senario berkenaan sangat berbeza dengan SJKC apabila golongan ibu bapa dan penjaga tidak berkira menghulurkan sumbangan untuk pendidikan anak-anak.

“Ini tulisan bukan bermotif politik. Tidak juga bermotif sindiran. Ini satu fakta yang kita kena akui dan ubah segera. Tolong, tolong, tolonglah beri sokongan kepada sekolah anak-anak kalian,” kongsinya.

Ini pula kisah seorang bapa yang hanya bekerja buruh kasar.

Walaupun gajinya hanya RM600 tetapi dia bersungguh ingin memberi sumbangan PIBG .

Kisahnya dikongsikan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, Baling, Esmimi Elias yang terharu dan kagum dengan sikap bapa ini.

Kisah ini menjadi tular dan mendapat bacaan berpuluh ribu setelah dimuat naik di portal ini.

Berita penuh boleh dibaca melalui link ini https://www.gpsbestari.com/artikel/inilah-kisahku/hanya-gaji-rm600-tapi-bapa-ini-tetap-nak-bagi-sumbangan-pibg-1.921822

Kisah yang dikongsi Cikgu Fadli mengenai ibu bapa yang lapor PPD apabila pihak sekolah minta sumbangan RM5 untuk cat sekolah boleh baca melalui link ini https://www.gpsbestari.com/artikel/inilah-kisahku/hanya-minta-rm5-untuk-cat-sekolah-ibu-bapa-lapor-ppd-guru-ini-berang-1.921906