Semalam, Isnin, bermulalah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 di seluruh negara.

Calon SPM 2017 pastinya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental ketika menjawab Kertas 1 dan Kertas 2 Bahasa Melayu serta Pendidikan Seni Visual (Aneka Pilihan) Kertas 1.

Bagi mereka yang sudah membuat persediaan sejak awal, mungkin berpuas hati dengan apa yang mereka jawab, namun yang sekadar 'ala kadar' sahaja, tidak mengapalah, masih ada beberapa subjek lagi yang perlu anda tempuh sepanjang musim peperiksaan SPM berlangsung.

Tip daripada bapa calon SPM Seorang bapa, Saiful Yazan Sulaiman, 51 ketika ditemu bual GPSBestari berkata, dia dan isteri, Shaliza Idris, 49 sangat berdebar apabila anak menduduki peperiksaan besar seperti SPM.

"Debaran itu perkara biasa bila anak nak 'exam'.

"Sudah tentu kami mengharapkan yang terbaik buat anak dan calon yang lain. Kami berharap calon SPM tahun ini dapat menjawab soalan dengan baik dan jangan rasa stres sepanjang peperiksaan berlangsung," katanya.

Saiful dan Shaliza bersyukur dikurniakan anak yang cemerlang dalam bidang masing-masing.

Merupakan Yang Dipertua PIBG Sekolah Tun Fatimah (STF), Johor Bahru, Saiful berkata, anaknya, Nashwa Nabihah, 17, sudah membuat persiapan sebaik mungkin untuk SPM tahun ini.

"Walaupun Nashwa Nabihah tinggal di asrama tetapi saya yakin yang dia mampu beri yang terbaik dalam SPM ini," katanya.

Selain Nashwa Nabihah, Saiful turut mempunyai tiga lagi anak yang berjaya menempa kejayaan dalam akademik masing-masing.

Mereka adalah Syafi qah Syakira, 23 (graduan Imperial Collage London dalam bidang Master in Material & Nuclear Engineering di bawah biasiswa Khazanah Nasional); Faqihah Farhana, 21 (mahasiswi Kejuruteraan Ukur Bahan, UiTM Seri Iskandar) dan Arshaq Arif, 14 (tingkatan dua Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Putrajaya).

Menurut Saiful, tip yang digunakan terhadap anaknya, Nashwa Nabihah mungkin sama dengan ibu bapa yang lain.

"Sebagai bapa, memang saya sudah mengingatkan padanya sejak awal tahun lagi berkenaan kepentingan peperiksaan SPM ini.

"Saya tidak mahu dia buang masa dengan perkara tidak bermanfaat. Jadi, setiap kali cuti persekolahan sebelum ini, memang saya beri keutamaan kepada program pendidikan berbanding program keluarga yang lain," katanya yang dilantik sebagai AJK PIBG SAS.

Saiful bersama isteri dan empat anaknya.

Bertanya pada guru

Walaupun STF sentiasa muncul sebagai sekolah berasrama penuh (SBP) terbaik dalam SPM sebelum ini, namun Saiful tetap 'turun padang' dalam membantu anaknya.

"Ya, memang STF adalah sekolah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan telah mencipta kejayaan tersendiri dalam akademik dan kokurikulum.

"Namun, saya sentiasa bertanya kepada guru mengenai kefahaman mata pelajaran, keputusan peperiksaan atau pun ujian bulanan Nashwa Nabihah," katanya.

Kata beliau, ibu bapa tidak boleh mengharapkan guru sahaja, sebaliknya kita juga kena peka pendidikan mereka.

Selain itu, Saiful turut memberi makanan tambahan dan vitamin. Juga membekalkan makanan sihat dan elakkan makanan segera.

Beliau juga bekalkan buku tambahan, soalan latihan dan bahan bacaan akhbar serta sentiasa memberikan kata-kata semangat berkaitan masa depan, cabaran dan cita-cita.

Antara kata-kata semangat yang sering diberikan adalah kejayaan tidak akan datang tanpa usaha, keluarga hanya mampu memberi semangat, perangsang tetapi usaha sendiri amat
penting.

Tidak ketinggalan, menjadikan kejayaan kakak itu sebagai pembakar semangat dan pendorong serta contoh.

"Mengenai ganjaran, saya memang tidak menjanjikan apa-apa untuk dia. Jika dia berjaya cemerlang, memang saya sangat bersyukur," katanya.

Dia berpegang pada prinsip 'Jika kita bantu anak orang insya-Allah.. tuhan akan bantu anak kita'.