Sekolah Kebangsaan Sg Binjai (SKSB), Meru Klang mempunyai kepadatan muridnya yang tinggi, namun masih menjadi pilihan penduduk sekitar kawasan itu.

Sekolah ini mempunyai bilangan pelajar yang ramai iaitu kira-kira 3,300 murid dan mempunyai dua sesi pembelajaran.

Jumlah kelas di sekolah ini adalah 87 buah kelas untuk aliran perdana, manakala 4 buah kelas lagi adalah prasekolah, dengan kapasiti lebih kurang 44 orang murid dalam satu kelas.

Biarpun mempunyai kepadatan murid yang tinggi, namun sekolah itu masih mengekalkan prestasi para pelajarnya.

Pelbagai program peningkatan akademik diwujudkan, agar murid-muridnya mencapai tahap kecemerlangan dalam pelajaran.

Menurut Guru Besar sekolah itu, Roslan Zakaria berkata, pengalaman pertamanya menjadi guru besar hanya memimpin sebuah sekolah kategori SKM yang mempunyai kira-kira 120 orang murid sahaja.

Namun, kewibawaan guru asal Tanah Merah, Kelantan ini tercabar apabila dia ditukarkan ke SK Sungai Binjai Meru, Klang, sekolah antara paling padat di Malaysia.

“Memimpin murid seramai 3,300 orang, bukanlah tugas mudah, namun saya akan cuba sebaik mungkin untuk sekolah ini.

“Kepercayaan pihak PPD Klang serta JPN Selangor juga harus dibalas dengan membuktikan bahawa guru besar yang baharu dan muda ini mampu menggalas amanah yang berat dan besar,”ujar bekas guru besar SK ( 2 ) Jalan Batu Tiga, Klang ini.

Jelas guru berusia 45 tahun ini, untuk meneruskan legasi kecemerlangan SKSB yang telah gah bukan sahaja di peringkat Daerah Klang, malah di peringkat Negeri Selangor dan Kebangsaan, kekuatan mental dan kepimpinan berprestasi tinggi amat penting.

Di bawah kepimpinan guru besar muda ini juga, SK Sungai Binjai, pernah mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai barisan manusia menggosok gigi berirama paling ramai di Malaysia.

Pengiktirafan tersebut diperoleh selepas 2,098 murid tahun dua sehingga enam sekolah berkenaan berjaya memberus gigi secara berirama, diiringi lagu kartun popular ‘Doraemon’ 5 Julai tahun lalu.

Bahkan SK Sg Binjai juga turut menerima Anugerah Kualiti PPD Klang, kategori sekolah rendah  pada tahun 2019.

“Perasaan saya terkejut, tidak menyangka dalam usia dua tahun menjadi guru besar, telah diberi kepercayaan untuk memimpin sekolah paling ramai murid di Malaysia.

“Perubahan pertama yang saya lakukan, adalah membentuk satu pasukan dengan mencari titik kebersamaan dalam kalangan guru dan kakitangan sokongan sekolah.. Sebab bagi saya, semangat teamwork yang kukuh itulah penentu kejayaan dan kecemerlangan sekolah,”katanya.

Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai merupakan sebuah sekolah yang terletak di Batu 6, Pekan Meru, Klang. Asal nama sekolah ini adalah dari sebatang pokok buah binjai yang tumbuh di tepi sungai yang kini dikenali sebagai Sungai Binjai.

Selain itu, SK Sungai Binjai  juga adalah sekolah pertama dan tertua dibina di Meru sebelum munculnya sekolah-sekolah yang lain seperti SK Meru Jalan Tap, SK Meru (2), SK (1) Jalan Meru dan SK (2) Jalan Meru.

Anugerah Kualiti PPD Klang Tahun 2019

1. Anugerah Khas Kualiti PPD Klang - Program Berimpak Tinggi The Malaysia Book Of Record

2. Emas Anugerah Kualiti Akademik - Pengurusan Kurikulum Sekolah Rendah

3. Emas Anugerah Kualiti Kepimpinan Penolong Kanan Kokurikulum Cemerlang Sekolah Rendah

4. Perak Anugerah Kualiti Kokurikulum Pengurusan Kokurikulum Sekolah Rendah

5. Gangsa Anugerah Kualiti Kokurikulum Pengurusan Kelab dan Persatuan Sekolah Rendah

4. Gangsa Anugerah Kualiti Pengurusan - Pengurusan PIBG Sekolah Rendah

5. Gangsa Anugerah Kualiti Hal Ehwal Murid Pengurusan Disiplin Cemerlang

6. Perak Anugerah Kualiti Pencapaian Sekolah Rendah Gemilang