Baru tahu sukarnya jadi guru di rumah, empat tip berikut bantu anda jadi ibu bapa cemerlang bersama anak

Setelah beberapa bulan, anak-anak tidak lagi belajar secara semuka di sekolah, kini ramai ibu bapa mulai sedar, mendidik anak itu bukanlah tugas mudah.

Pembelajaran jarak jauh banyak cabarannya, antara memenuhi tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, juga sebagai ‘guru’ kepada anak-anak.

Tugas sebagai ‘guru’ di rumah sendiri, memerlukan seorang itu kembali menjadi ‘pelajar’. Bukan sahaja perlu mendampingi anak-anak setiap masa, malah harus juga memahami setiap subjek yang  dipelajari mereka.  

 Gambar: Katerina Holmes daripada Pexels

Umumnya, guru-guru akan memberikan deadline kepada  tugasan yang diberikan. Waktu ini, ibu haruslah sabar dan memahami setiap arahan yang diberikan oleh guru kepada murid.

Jangan terlalu memaksa anak-anak untuk menyiapkannya cepat, sebaliknya bantu anak-anak menyelesaikan kerja sekolah yang diberikan.

Gemar berkongsi hasil kerja sekolah anak di media sosial juga adakalanya akan membuatkan anak-anak tertekan. Mana tidaknya, anak-anak itu dipaksa belajar lebih daripada satu subjek dalam sehari.

Anak-anak tetap anak, mereka memerlukan masa juga untuk  bermain dan beriadah. Keadaan ini tidak semua ibu bapa dapat memahaminya.

Adakalanya, kita sendiri boleh mendengar suara jiran yang menjerit saban waktu kerana anaknya tidak mahu belajar. Bahkan ada juga yang tanpa sedar menyakiti anak mereka ketika mereka salah menjawab atau tidak mahu belajar.

Kekerasan tidak seharusnya terjadi, apatah lagi ketika mendidik anak sendiri. Hakikatnya, kekerasan fizikal dan mental hanya akan merosakkan pemikiran anak sendiri, sehingga mereka memendam rasa sehingga dewasa.

Pembelajaran jarak jauh tidak akan terhasil tanpa kerja sama erat antara ibu bapa dan juga guru. Masing-masing mempunyai peranan, guru-guru menyediakan pembelajaran mudah secara jarak jauh, sementara ibu pula membantu anak mereka memahami subjek yang diajar.

Di sinilah kesabaran seorang ibu itu diuji, ketika mendidik seseorang itu memerlukan hati yang tenang, jiwa lapang dan kesabaran tinggi. Yakinkan kepada anak-anak, mereka boleh berjaya walaupun hanya belajar dari rumah.

Jadi, apakah langkah agar anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran? Empat tip berikut, boleh dijadikan panduan.

1. Aturkan masa terbaik belajar bersama anak

Cuti sekolah atau belajar dari rumah bukan tiket kebebasan tanpa buku. Jelaskan kepada anak, pelajaran itu tetap penting walaupun tidak belajar secara bersemuka seperti di sekolah. Pembelajaran tetap diteruskan, bezanya kali ini, kelas dilakukan di rumah sendiri. Cara mudah yang boleh diambil, tetapkan masa sesuai untuk anak-anak mula membuka buku dan belajar. Perlu ditegaskan, anak-anak harus mematuhi jadual masa yang telah dibuat. Jelaskan kepada mereka, anda akan sentiasa memantau kegiatan belajar mereka.

2. Semak tugasan anak anda

Walaupun berada di rumah, guru akan tetap memberikan kerja sekolah tanpa jemu. Ini merupakan target belajar yang harus dicapai oleh anak-anak setiap hari. Untuk itu, ibu bapa wajib memastikan tugasan yang diberikan itu dapat disiapkan mengikut jangka masa yang diberikan guru.

3. Berhubung dengan guru

Ibu bapa perlu kerap berinteraksi dengan guru. Tanyakan kepada guru, berkenaan kerja sekolah dan subjek yang sedang diajar. Sekiranya anda sendiri tidak faham subjek yang diajar, jangan segan silu hubungi guru untuk cari penyelesaiannya.

4. Sentiasa di sisi anak

Dampingi anak ketika mereka sedang belajar. Jangan biarkan mereka sendiri, sebab anak juga memerlukan bimbingan daripada ibu juga bapa.