Guru Matematik dan Pendidikan Jasmani Kesihatan, SK Putrajaya Presint 14 (1), Putrajaya, Cikgu Hilda Ikya Hilmi ini pernah tular dengan gelaran ‘Cikgu Lari Pagi’.

Aktiviti kecergasan bersama murid selama 30 minit sebelum memulakan pembelajaran dan pengajaran  adalah untuk mengekalkan kehidupan yang lebih sihat dari segi minda dan fizikal.   

Katanya, gaya hidup sihat ini akan dapat memberikan impak yang positif dalam pelajaran, selain memiliki kekuatan minda dan fizikal yang seimbang.

Terkini, tindakannya berlari pagi sambil mengutip  besi-besi yang terdapat di bahu jalan sekitar Putrajaya telah menarik perhatian ramai.

Rata-rata memuji usaha murni yang dilakukan oleh Penerima Anugerah Guru Adiwira Kebangsaan 2019 itu.

Kata beliau, besi-besi tersebut kemungkinan boleh membahayakan pengguna jalan raya lain seperti penunggang basikal, motorsikal serta pejalan kaki.

“Program ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu pada jam  6.45 pagi sehingga  8.00 pagi dan  5.00 petang sehingga 7.00.

“Saya bersama beberapa peserta lain akan fokuskan aktiviti di beberapa kawasan di  presint 14, 15, 2,3,4,5,6, dan 18.

“Kami berlari sambil mengutip besi-besi yang  terdapat di bahu jalan. Lebih kurang 10 kg besi dapat dikumpulkan dan diserahkan kepada  pihak perbadanan untuk tindakan selanjutnya,”katanya

Menurutnya,  ketika menjalani aktiviti tersebut, beliau dapati terlalu banyak taburan besi di bahu jalan, disebabkan itulah beliau bersama rakan-rakan lain rasa terpanggil untuk berlari sambil membuat kutipan besi.

“Saya berasa amat gembira apabila aktiviti ini mendapat perhatian pelbagai pihak untuk menyelesaikan masalah taburan besi tersebut.Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain,”katanya.

Terima kasih Cikgu!