Mulai 2021, semua murid dibenarkan untuk memilih sama ada memakai kasut berwarna hitam  atau putih serta stoking mengikut warna kasut yang dipakai.

Ia sekali gus membatalkan pelaksanaan mewajibkan pemakaian kasut berwarna hitam di sekolah rendah dan menengah sebelum ini.

Perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 7 Disember lalu.

Menerusi edaran Surat Pekeliling Iktisas (SPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang juga bertarikh 7 Disember, memaklumkan semua murid dibenar memilih sama ada untuk memakai kasut berwarna hitam atau putih serta berstoking mengikut warna kasut.

Surat tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim turut memaklumkan SPI tersebut berkuat kuasa serta-merta.

"Dengan berkuatkuasanya SPI ini, maka Surat Pekeliling Iktisas kementerian Pelajaran Malaysia Bilangan 10 2018: Pelaksanaan Pemakaian Kasut dan Stoking Berwarna Hitam Oleh Murid Di Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 20 November 2018 adalah terbatal," kata surat itu.

Biarpun mendapat komen yang pelbagai, namun rata-rata menyambut baik keputusan yang ditetapkan.

Tidak timbul isu sama ada kasut hitam atau putih, murid-murid dibenarkan untuk memilih kasut hitam ataupun putih, mengikut kesesuaian dan keselesaan mereka.

Sementara itu, seorang ibu empat anak dari Jelebu Negeri Sembilan, Saharida Saman berkata, kasut hitam atau putih bukan isu besar, ibu bapa tidak terikat untuk memilih kasut yang mana satu.

“Saya lebih suka kasut hitam sebenarnya, tak perlu kuat mencuci, namun saya menyambut baik keputusan yang telah ditetapkan. Apapun, kami dibolehkan lagi membuat pilihan sama ada kasut hitam ataupun putih,”katanya.

Bagi suri rumah, Hazamaratul Damrah Shariat dari Cheras ini pula berpendapat pemakaian kasut hitam yang diperkenalkan sebelum ini sudah cukup bagus sebagai satu alternatif menjimatkan perbelanjaan kerana tidak  perlu kerap membeli kasut sekolah.

“Bila 2021 diberikan pilihan sama ada kasut putih atau kasut hitam, saya melihat ia sebagai satu langkah lebih menjimatkan sebab yang masih ada kasut putih boleh terus pakai kasut yang sedia ada dan tak perlu beli kasut baru.

“Cuma dari segi keseragaman di sekolah tu tak ada. Sebab ada yang pakai kasut putih ada yang akan pakai kasut hitam,”katanya.

Seorang lagi ibu, Rosmawati Ahmad dari Shah Alam pula menjelaskan, isu kasut ini adalah remeh. Katanya, kasut hitam atau putih tidak memberi kesan kepada pembelajaran dan IQ murid. Sebaliknya silibus pembelajaran yang perlu diangkat, sebab ia tidak sesuai dengan level murid.

“Apapun, saya menerima sahaja keputusan yang ditetapkan. Namun jika ditanya, kasut putih atau hitam, sudah tentulah saya akan memilih kasut hitam,”katanya.