TAK semua pelajar di Malaysia berpeluang untuk mempelajari bahasa antarabangsa di sekolah.

Hanya sekolah terpilih sahaja yang mempunyai bahasa antarabangsa sebagai subjek utama atau tambahan dalam jadual waktu pelajar.

Terdapat segelintir pelajar yang terpaksa membayar yuran yang mahal untuk mempelajari bahasa antarabangsa di kelas swasta.

Jadi, jika awak merupakan pelajar yang terpilih, maka awak dalam kalangan pelajar yang bertuah! Ada empat perkara yang perlu awak elak daripada memikirkannya.

1. Janganlah sesekali awak terfikir bahawa mempelajari bahasa asing itu perkara yang sia-sia dan membuang masa kerana mempelajari satu bahasa baru bukan sekadar memberi awak satu ilmu tambahan, tetapi juga membantu awak memahami sesuatu bahasa lain dengan lebih mudah.

Sebagai contoh dalam mempelajari bahasa Perancis, rujukan atau perbandingan tatabahasa dan struktur ayat yang dipelajari selalu dapat dikaitkan dengan bahasa Inggeris.

Terdapat juga banyak kosa kata bahasa Perancis yang telah dijadikan sebagai ‘mots empruntés’ yang bermaksud perkataan pinjaman kepada bahasa Inggeris sebagai contoh ‘commence’ yang berasal dari perkataan Perancis ‘commencer’, ‘RSVP’ yang sering digunakan dalam jemputan yang berasal dari ayat bahasa perancis ‘répondez s’il vous plaît’ yang bermaksud ‘please reply’, dan banyak lagi perkataan yang selama ini mungkin awak selalu gunakan tanpa sedar seperti ‘déjà-vu’, ‘rendez-vous’, dan lain-lain.

Jadi, dengan mempelajari bahasa antarabangsa, secara tidak langsung awak akan menambah baik bahasa lain yang telah sedia awak ketahui sebelum ini.

2. Jangan sesekali terfikir bahawa mempelajari bahasa antarabangsa ini tidak memberi sebarang kelebihan pada kerjaya dan kehidupan awak pada masa akan datang.

Mungkin pada waktu ini ilmu ini hanya sekadar diperlukan untuk peperiksaan. Mungkin bahasa ini hanya dipraktikkan selama dua jam seminggu, bersama guru dan rakan-rakan sekelas tetapi setiap kejayaan dalam peperiksaan bahasa antarabangsa itu akan memberikan satu sijil peringkat antarabangsa yang sangat berharga.

Sijil ini akan memberi markah tambahan kepada awak.

Sijil ini juga akan membezakan awak daripada beribu-ribu lagi pelajar lain yang mendapat semua A+ dalam SPM. Sijil ini juga mampu membantu awak memilih hala tuju kerjaya awak.

Mungkin awak bercita-cita menjadi seorang jurutera, doktor, arkitek, pelukis, mahupun pereka fesyen.

Mungkin awak fikir awak tidak perlukan bahasa antarabangsa untuk mengejar cita-cita awak.

Tetapi pernahkan awak berharap untuk melanjutkan pelajaran awak di luar negara? Jika awak mempunyai ilmu bahasa Perancis misalnya, awak mempunyai kelebihan untuk melanjutkan pelajaran atau membina kerjaya di 29 negara francophone di seluruh negara.

Jadi jangan kecilkan skop pemikiran awak dengan memandang bahasa antarabangsa ini hanya digunakan selama lima tahun sekolah menengah sahaja. Ia lebih daripada itu.

3. Jangan awak sangka, awak hanya mempelajari bahasa antarabangsa untuk sehelai sijil. Ingatlah bahawa bahasa antarabangsa itu juga merupakan sebuah ilmu yang sama penting seperti subjek yang lain.

Kemahiran bertutur dalam bahasa selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris semestinya akan memberi awak banyak kelebihan.

Tidak kira sama ada bahasa tampil, bahasa Cina, Arab, Jerman, atau bahasa apa sekalipun, pasti ia dapat memberi awak kelebihan pada situasi yang berbeza-beza. Jika awak tidak menggunakan bahasa ini dalam kerjaya sekalipun, bahasa ini boleh awak gunakan dalam kehidupan seharian untuk berkomunikasi, membina persahabatan, berjual beli, bercuti di negara asing, dan pelbagai lagi urusan lain.

Pada zaman serba maju dan moden ini, haruslah awak sentiasa ingat, kita perlu sentiasa memandang ke hadapan, sentiasa selangkah lebih jauh, dan sentiasa mengejar sesuatu kelebihan.

4. Jangan lupa tentang peluang menjana pendapatan sampingan dengan bahasa antarabangsa!

Walaupun aliran yang diambil di sekolah jauh berbeza daripada bidang bahasa, walaupun cita-cita dan kursus yang bakal diambil tidak akan menggunakan bahasa antarabangsa, namun awak harus ingat, tempoh menunggu panggilan universiti selepas SPM, atau tempoh mencari pekerjaan selepas graduasi mungkin agak panjang.

Percaya atau tidak, awak boleh gunakan kemahiran berbahasa awak untuk membuka kelas tuition di rumah, ataupun bekerja di pusat tuition sedia ada untuk memastikan awak mengisi masa lapang dengan berfaedah, dan dapat menjadikan ia sebagai pengalaman bekerja yang pertama.

Lebih baik lagi jika awak mampu menterjemah dengan baik, awak boleh menterjemah transkrip di pusat bahasa, atau awak boleh bekerja sebagai penterjemah langsung kepada pelancong asing yang bercuti di Malaysia.

Peluang pekerjaan dalam bidang penterjemahan kini semakin berleluasa, dan semestinya bayaran yang diberikan juga lumayan kerana masih belum ramai yang dapat menguasai bahasa antarabangsa seperti awak, dan lebih bernasib baik lagi jika bayaran diberi mengikut mata wang asing seperti Euro, Pound, dan Dollar.

Pekerjaan seperti tutor dan penterjemah ini juga masih boleh diteruskan selepas awak masuk ke universiti, atau selepas awak diterima bekerja.

Ia boleh dijadikan pekerjaan sampingan di hujung minggu, atau pada cuti semester.

5. Jangan abaikan aktiviti kecerdasan minda!

Dalam setiap pembelajaran bahasa, awak difokuskan kepada empat kemahiran utama iaitu mendengar, membaca, menulis, dan bertutur.

Kemahiran ini secara tidak langsung dapat membantu mengembangkan kognitif awak dan mengekalkan minda yang cerdas dan sentiasa aktif.

Dalam setiap pembelajaran bahasa juga, awak akan menggunakan sekurang-kurangnya dua kemahiran pada satu masa.

Sebagai contoh, untuk berkomunikasi, awak perlu mendengar dan memahami seterusnya bertutur berdasarkan konteks dan situasi yang bersesuaian.

Begitu juga dengan menulis, kerana dalam setiap penulisan, awak pasti akan membaca semula setiap perkataan dan ayat yang telah awk bina, seterusnya memperbetul dan memperbaik hasil penulisan awak.

Di situ juga akan berlaku pembelajaran autonomi apabila awak sendiri dapat mengenal pasti kesilapan dan membetulkan kesalahan.

Awak akan dapat melatih minda untuk multitasking, iaitu melakukan beberapa perkara pada suatu masa, dan ini bukan setakat dapat membantu awak dalam mempelajari bahasa baharu, tetapi juga akan membantu dalam apa jua perkerjaan yang awak lakukan.

Minda awak lebih fokus dan mampu menerima lebih daripada satu maklumat dalam satu masa.

Pendek kata, dengan mempelajari bahasa baru, minda awak lebih aktif, lebih terbuka dengan input baru, lebih mudah memahami, dan awak semakin pintar!

Jadi jangan sia-siakan peluang mempelajari bahasa antarabangsa. Jika ia tidak digunakan sekarang, mungkin ia akan digunakan pada masa akan datang. Percayalah bahawa setiap ilmu itu mendatangkan tiada lain selain daripada kebaikan dan kelebihan kepada seseorang.

Miasara Ahmad Sobari

Guru Bahasa Perancis, Sekolah Seri Puteri Cyberjaya

Artikel Menarik:

Guru perlu sentiasa cungkil dan kesan bakat murid

Pelajarku, sila amalkan empat tip ini untuk hadapi ujian paling getir... SPM

Raikanlah kejayaan dan santuni kegagalan

Kalian bukan pelanggan, jangan sesekali tinggalkan adab

Anak muridku... belajarlah terokai peluang

Jangan merendahkan orang lain, jaga sikap dan tutur kata