BERMULA 24 Julai 2020, pengoperasian semula sekolah rendah dan sekolah menengah di seluruh negara telah menyaksikan kemasukan semula kira-kira lima juta murid ke sekolah.

Menjelang kemasukan murid pada tarikh tersebut, guru-guru serta kakitangan sekolah telah bertungkus lumus menyediakan segala keperluan serta membuat penyusunan semula bilik darjah bagi memenuhi keperluan prosedur operasi standard (SOP) yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Laluan-laluan di sepanjang koridor serta kawasan sekitar sekolah telah di tanda dengan pita penanda sebagai petunjuk arah laluan pelajar bagi mengekalkan penjarakan fizikal murid. Guru-guru membuat penanda arah yang lebih kreatif dan menarik seperti mengecat arah laluan, menampal pelekat dengan penanda yang kreatif bagi meningkatkan keceriaan sekolah dan pada masa yang sama mematuhi SOP yang ditetapkan. Operasi yang dijalankan secara bersama dan bergotong royong oleh guru-guru dan kakitangan sekolah menunjukkan semangat mereka dalam menyantuni serta memastikan murid-murid selamat daripada jangkitan Covid-19 semasa sesi persekolahan dibuka.

Menjelang hari pertama persekolahan, berbekalkan alat pengimbas suhu, guru dengan setianya menunggu di hadapan pintu pagar sekolah pada awal pagi, bersedia untuk menyaring suhu dan kesihatan pelajar.

Murid yang benar-benar sihat dengan suhu badan yang normal sahaja dibenarkan masuk ke sekolah. Manakala murid yang didapati tidak sihat dan mempunyai suhu badan yang tidak normal, diminta pulang ke rumah dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

Bagi pelajar-pelajar di asrama, warden sekolah menyaring kesihatan pelajar dengan mengukur suhu badan mereka dan memastikan tiada gejala batuk, selsema dan sakit tekak dihidapi pelajar setiap pagi. Pelajar yang mempunyai suhu yang normal serta tidak menunjukkan sebarang gejala seperti batuk, selsema dan sakit tekak dibenarkan masuk ke kelas. Murid yang didapati tidak sihat dan mempunyai suhu badan yang tidak normal pula akan diasingkan dan ditempatkan di bilik isolasi di dalam asrama. Sekolah akan memaklumkan klinik kesihatan terdekat mengenai murid yang tidak sihat bagi mendapatkan rawatan.

Bagi pelajar-pelajar yang diasingkan di dalam bilik isolasi, warden bertanggungjawab menyediakan keperluan asas kepada mereka. Makanan akan diberikan oleh warden sekolah dengan memastikan SOP pemberian makanan dan keperluan murid dipatuhi dengan ketat dan mengikuti penjarakan fizikal.

Perlu diketahui, warden asrama juga merupakan seorang guru di sekolah. Mereka dengan penuh setianya menjalankan tugas yang diamanahkan dalam memastikan murid-murid di asrama sentiasa sihat dan tidak mempunyai sebarang gejala penyakit berjangkit.  

Sikap dedikasi dan kesetiaan guru dalam mengikuti semua SOP yang diwartakan ini merupakan suatu amalan terpuji.

Tugas guru yang sebelum ini mendidik dan membentuk sahsiah dan jati diri murid-murid bertambah kepada memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin. Ini bagi memastikan sekolah bukan menjadi pusat penularan Covid-19.

Bagi memastikan tiada penularan Covid-19 dan penyakit berjangkit yang berkaitan berlaku di sekolah, guru-guru dengan penuh rasa tanggungjawab perlu memastikan penjarakan fizikal dipatuhi secara maksimum. Sebarang perkumpulan murid juga dipantau oleh guru bagi mengelakkan sentuhan langsung berlaku.

Perkara ini merupakan suatu cabaran besar kepada guru. Dalam mereka bertungkus lumus memastikan murid dapat menguasai ilmu yang diajar sepenuhnya, mereka juga terpaksa memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin.

Peranan guru yang amat besar pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini menyaksikan guru-guru tanpa erti penat dan jemu bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan sama seperti barisan hadapan yang lain.  

Mengambil iktibar daripada kes penularan kluster Sivagangga yang telah mencecah angka puluhan orang dan menjangkiti beberapa murid di Kedah, guru-guru perlu menggandakan usaha dan berwaspada mengelakkan terjadinya penularan di sekolah.

Dalam usaha memastikan penularan Covid-19 tidak berlaku di sekolah, saringan yang lebih ketat wajar dilakukan. Selain menyukat suhu badan, murid juga sewajarnya dimestikan untuk membuat pengisytiharan pergerakan hari sebelumnya bagi mengesan sama ada murid berada di kawasan yang berisiko atau tidak.

Bagi pelajar berasrama pula, mereka juga diwajibkan mengemukakan pengisytiharan kesihatan dan pergerakan apabila pulang ke asrama bagi memastikan guru-guru mengenal pasti sama ada murid tersebut datang daripada kawasan yang berisiko tinggi.

Pada masa yang sama, murid perlu jujur memberitahu pergerakan serta keadaan kesihatan semasa mereka. Kejujuran kendiri juga amat penting bagi mengelakkan semua warga sekolah tidak kira murid, guru, kakitangan mahupun makcik kantin terdedah kepada risiko jangkitan dan menyebarkannya kepada individu lain tanpa sengaja. Ini mustahak bagi membendung penularan penyakit-penyakit berjangkit ini.  

Dalam memastikan sekolah bukan sebagai pusat penularan jangkitan wabak Covid-19, peranan guru adalah amat penting. Guru bukan sahaja menjadi pendidik dan pemudahcara pembelajaran, tetapi juga bertindak sebagai ‘ibu bapa’ dalam memastikan murid benar-benar sihat untuk hadir ke sekolah.

Pada masa yang sama, mereka juga berperanan sebagai ’pegawai kesihatan’ yang bertindak sebagai pembendung penularan penyakit berjangkit. Kerjasama dan kejujuran ibu bapa dan murid dalam memberikan maklumat tanpa menyembunyikannya amat diperlukan dalam memastikan sekolah sebagai sebuah tempat yang benar-benar selamat kepada murid untuk menimba ilmu pengetahuan.  

Jelas sekali, guru itu umpama lilin, besar pengorbanan mereka bukan sahaja untuk memastikan murid-murid menjadi manusia berilmu dan berguna apabila dewasa nanti, tetapi juga memastikan mereka membesar dengan sihat dan sejahtera.

- Dr Nor Raihan Zulkefly, Pensyarah Kanan Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia

Artikel menarik:

Pelajar pintar perlu terus digilap jadi permata negara

Pemimpin penentu kecemerlangan sekolah