“Saya mempunyai anak istimewa, saya tak tahu bagaimana nak ajar anak di rumah cikgu. Sebelum anak banyak belajar dalam kelas pemulihan khas di sekolah. Apa yang perlu saya buat cikgu?”

Inilah antara soalan yang sering dinyatakan oleh segelintir ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa.

Bukan mudah untuk mendidik murid istimewa pemulihan khas menguasai kemahiran 3M, membaca, menulis dan  mengira. Tidak seperti kanak-kanak biasa lain, mereka tidak boleh diajar terlalu banyak perkataan dalam sehari.

Dalam pembelajaran juga, untuk mengelakkan anak istimewa ini menjadi serik dan malas ketika belajar, elakkan memberi terlalu banyak latihan. Namun, sayangnya tidak ramai yang memahami permasalahan utama ini.

Menurut Guru Cemerlang Pemulihan Khas SK Kg Soeharto, Cikgu Roslee Abdul @ Mohd, yang juga guru Bahasa Melayu di sekolah itu, modul ‘Satu hari tiga perkataan’ yang diperkenalkan beliau mampu membuatkan murid pemulihan khas lebih teruja dan fokus untuk belajar.

Jarang guru membuat kajian tentang tingkah laku dalaman murid pemulihan khas. Namun berbekalkan pengalaman, beliau mengkaji, menjiwai dan kenal sifat anak-anak ini.

Satu hari tiga perkataan, itulah objektif beliau dalam memastikan anak-anak pemulihan khas dapat menguasai kemahiran membaca dan menulis melalui Pengajaran Dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR).

Pelbagai cerita kita dengar mengenai PdPR, murid pemulihan khas ini juga tidak ketinggalan. Lebih ketara, proses pembelajaran mereka lebih bergantung kepada peranti ibu bapa.

Melihat kepada situasi ini, beliau mengambil inisiatif melaksanakan pengajaran secara lebih mudah.

“Hakikat murid pemulihan khas ini tidak menguasai membaca, menulis dan mengira (3M), saya menghasilkan rakaman video pendek, modul mesra murid dan aktiviti ‘hands on’.

“Daya fokus murid pemulihan khas dalam pembelajaran tidak lama. Mereka akan fokus kepada pembelajaran penerangan daripada guru antara 10 minit hingga 20 minit sahaja.

“Selepas itu mereka memerlukan gerakan atau pengaktifan aktiviti. Itulah pentingnya kreativiti guru pemulihan khas dalam menjana fokus murid ini. Pelaksanaan aktiviti ‘hands on’ walaupun melalui modul amat penting,” katanya.

Berbalik kepada usaha mengajar satu hari tiga perkataan. Beliau turut menghasilkan video pengajaran yang menarik, ceria, santai dan mampu mencetuskan minat murid untuk mudah menguasai perkataan-perkataan yang diajar.

Sesuai dengan daya tumpuan murid ini yang singkat, beliau mengambil kira juga hasil kajian yang telah dibuat dan berdasarkan pengalaman sebagai guru yang mengajar murid-murid pemulihan khas sebelum ini.

“Mengajar tiga perkataan sehari, akan membuatkan mereka lebih mudah ingat, tahu dan kenal. Mereka akan mula menguasai tiga perkataan yang diajar, serta tahu menyebut huruf jadi suku kata yang akhirnya membentuk perkataan dalam sehari.

“Menerusi rakaman video yang disediakan, ibu bapa mampu  membimbing anak-anak belajar dengan mudah dan mengambil masa singkat untuk ingat perkataan yang diajar.

LIHAT VIDEO DAN MUAT TURUN LATIHAN ANAK ANDA DI SINI

“Setidak-tidaknya mereka boleh fokus dan kuasai sembilan puluh peratus, berbanding mengajar murid sehari sepuluh perkataan, dalam masa satu atau dua jam tanpa henti. Akhirnya, tumpuan mereka mula hilang dan hanya dua perkataan sahaja yang mereka mampu ingati,” jelas beliau.

Tambah Cikgu Roslee, Guru Pemulihan Khas perlu bijak dan kreatif dalam pengurusan masa mengajar secara maya.

Murid istimewa ini belum menguasai 3M, jiwa mereka sensitif, mudah hilang fokus dan jangan sampai mereka menyebut ‘malas’ nak belajar.

“Untuk menghasilkan rakaman video, modul dan sesi dalam talian, saya akan melihat kepada kehendak dan luahan daripada hati murid pemulihan itu sendiri.

“Setakat ini apa yang saya telah buat adalah dengan memberikan impak positif kepada murid saya. Biarlah mereka menguasai 3M secara semulajadi iaitu mengingat tiga perkataan dalam sehari.

“Jangan amalkan mereka menguasai 3M dengan cara menghafal kerana kesan jangka panjangnya ialah murid ini mudah lupa apa yang telah dipelajari apabila mereka diajar kemahiran berikutnya,”jelas beliau.