SYOR penubuhan Majlis Bahasa Melayu dalam memartabatkan bahasa Melayu (BM) di  dalam dan luar negara oleh Menteri Pendidikan memberi nafas baharu dalam memperkasa dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita di pentas universal.

Dr Maszlee Malik menjelaskan bahawa penubuhan majlis ini akan  memberi ruang kepada Dewan Bahasa dan Pustaka serta pusat, institusi bahasa dan universiti  awam dalam memperkasakan bahasa Melayu dengan lebih proaktif dan keterlihatan di mata dunia.

Mengikut perancangan dalam  tempoh lima tahun ini, Majlis Bahasa Melayu berperanan mengiktiraf  Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) dan hal ini dapat  memberi kesan yang positif dalam kalangan pencinta bahasa Melayu serta rakyat Malaysia.

Selain itu, KSBM merupakan kerangka rujukan dalam mengukur  kompetensi berbahasa Melayu dalam kalangan penutur natif dan bukan natif.

Rakyat Malaysia terutamanya boleh merujuk kerangka KSBM ini dalam merungkai segala yang berkaitan dengan bahasa Melayu, tidak  kira sekecil-kecil kosa kata  sehinggalah huraian dan olahan frasa, ayat, perenggan serta keseluruhan teks. Hal ini amat penting bagi pengguna bahasa di semua peringkat umur.

Dalam erti kata lain, penggunaan bahasa Melayu yang meluas ini  bukan sahaja akan mengambil kira perluasan pengaruh wilayah geografi, tetapi akan  membolehkan penutur dan pengkaji bahasa Melayu memahami struktur bahasa ini dengan lebih baik.

Ia akan membantu mengembangkan bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa yang diiktiraf penting dalam dunia digital sekarang.

Selain itu, Akta DBP akan dikaji semula supaya peranan serta penstrukturan  semula DBP lebih menampakkan perkaitan dan penekanan terhadap  pengantarabangsaan.

Kerjasama dalam menaik taraf peranan DBP ini dapat dilakukan  dengan pihak yang pakar dalam bidang bahasa Melayu.

Ini boleh dilihat dengan penglibatan yang proaktif daripada profesor, pensyarah, guru bahasa serta pencinta bahasa Melayu, malah disarankan supaya mereka menyumbang melalui kerjasama dengan DBP dengan tujuan memperlihatkan kepentingan peranan DBP kepada negara dan antarabangsa.

Penyebaran bahasa dan budaya Melayu di luar negara boleh dilakukan  dengan mewujudkan pejabat atau cawangan di lokasi yang terpilih dan strategik di luar negara.

Hal ini dapat memperlihatkan profesor, pensyarah dan guru pelawat  dijadikan sebagai pakar rujuk atau dengan kata lain, duta bahasa Melayu di persada dunia.

Mereka yang terlibat ini dapat berkongsi pengetahuan dan membantu  dalam penyelesaian persoalan serta kekeliruan yang terpalit tentang bahasa dan budaya  Melayu.

Buat masa ini, Malaysia mempunyai kursi bahasa Melayu di serata  dunia seperti Kursi Pengajian Melayu wilayah Eropah di Universiti Leiden Belanda, Kursi Tun  Abdul Razak di Universiti Ohio Amerika Syarikat, Universiti Victoria Wellington, Universiti Beijing dan di Universiti Hankuk of Foreign Studies Korea Selatan.

Penempatan kursi bahasa Melayu boleh diwujudkan lagi di negara lain dan dengan cara ini, penyebaran bahasa dan budaya Melayu dapat dilakukan dengan lebih luas.

Ketika ini, menurut Dewan Bahasa (keluaran Julai) bahasa Melayu dipelajari secara meluas di Universiti Youngsan dan Universiti Busan di Korea Selatan, Universiti Deakin Melbourne, Australia, Universiti Tokyo of Foreign Studies, Universiti Frankfurt malahan terdapat juga di Universiti Negara Moscow Lomonosow dan Universiti Negara St. Petersburg di Rusia.

Secara keseluruhannya, terdapat lebih 140 buah institut pengajian  tinggi di lebih 50 buah negara di seluruh dunia yang menawarkan kursus pengajian bahasa  Melayu.

Antaranya negara Amerika Syarikat, United Kingdom Jepun, China, Rusia, Belanda, Jerman, Mesir, Iran,  Pakistan, dan lain-lain.

Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu sudah berada di peringkat antarabangsa namun golongan yang ingin mempelajari bahasa Melayu terlalu kecil berbanding dengan bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, Arab, Mandarin, Sepanyol, Rusia dan Perancis.

Adalah diharapkan dengan penubuhan Majlis Bahasa Melayu,  Malaysia menjadi tumpuan negara sebagai rujukan bahasa Melayu bagi seluruh dunia.

Malah, pada suatu hari nanti bahasa Melayu dinobatkan sebagai  salah satu bahasa utama di seluruh di dunia.

 

DR NORMALIZA ABD RAHIM

* Penulis ialah profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia