MENYEDARI wujudnya jurang antara pengetahuan, kemahiran dan sikap pelajar berbanding dengan keperluan di tempat kerja, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengambil tindakan proaktif mengadakan hubungan rapat dengan menjalinkan perjanjian persefahaman (MoU) dengan pelbagai agensi industri dan institusi pendidikan bagi merealisasi pelaksanaan Transformasi Pendidikan Vokasional.

Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri, Bahagian Pendidikan Latihan, Teknik dan Vokasional KPM, Norhana Mustapha berkata, perjanjian itu membolehkan kerjasama strategik antara industri dengan KPM khususnya Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) dan Kolej Vokasional (KV) dilaksanakan dengan lebih sistematik dan terarah kepada pembangunan kebolehpasaran graduan KV dalam sektor pekerjaan.

“Hasilnya, kejayaan dan pencapaian Transformasi Pendidikan Vokasional pada hari ini amat membanggakan dan usaha ini tidak seharusnya terhenti begitu sahaja.

“Keyakinan sikap dan kemahiran spesifik dalam bidang kemahiran meletakkan graduan kolej vokasional di tempat yang tinggi dan mampu bersaing, terutamanya bagi mengisi perjawatan di sektor swasta dan seterusnya bergerak sebagai tenaga mahir peneraju industri,” katanya.

Katanya lagi, semua pihak haruslah melihat kejayaan itu secara holistik sebagai satu usaha membina generasi yang mampu memiliki pekerjaan dengan pendapatan tinggi.

“Antara kejayaan membanggakan adalah peningkatan perjanjian persefahaman yang dilakukan bersama industri. Pada tahun 2016 sebanyak 63 MoU ditandatangani, 2017 dengan 230 MoU, seterusnya pada tahun 2018, peningkatan paling memberangsangkan dengan 300 MoU dan pada tahun 2019, sehingga Oktober sebanyak 250 telah ditandatangani dengan jumlah MoU dijangka meningkat sehingga akhir tahun ini melepasi sasaran 300 MoU BPLTV dan Kolej Vokasional bersama industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca teks ucapan sebagai mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Dr Ahmad Rafee Che Kassim pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman BPLTV dan Kolej Vokasional Kajang bersama Industri 2019 di kolej itu, baru-baru ini.

Norhana (tengah) bersama wakil 10 syarikat yang menandatangani perjanjian persefahaman dengan Kolej Vokasional Kajang.

Ubah masa hadapan

Katanya, usaha awal kerajaan mengarusperdanakan pendidikan vokasional seperti yang terkandung di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) adalah tepat dalam menyediakan ruang dan peluang kepada modal insan negara untuk memiliki keupayaan dan tahap kemahiran tinggi serta memenuhi permintaan pihak industri.

“Agenda ekonomi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) menjangkakan wujud 1.5 juta peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dengan sasaran sebanyak 60 peratus daripada pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran berkaitan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

“Menyedari keperluan dan kepentingan TVET dalam pembangunan kapasiti dalam kalangan rakyat tempatan bagi menyokong merealisasikan status negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, maka KPM telah merangka dan melaksanakan Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional mulai 2012 dan diperhebat apabila diletakkan menjadi salah satu Aspirasi Sistem, iaitu akses kepada pendidikan berkualiti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025,” katanya.

Norhana berkata, beliau juga meletakkan keyakinan yang tinggi kepada BPLTV dan warga KV untuk melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi dan mempunyai keterampilan diri.

“Saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak industri, swasta dan agensi kerajaan yang telah memberi kerjasama kepada KPM dalam mengimplementasikan Transformasi Pendidikan Vokasional khususnya dalam merealisasikan hasrat BPLTV pelaksanaan Bekerja sambil Belajar (OJT) pelajar KV dan up-grading dan re-skilling pensyarah KV.

“Meskipun KPM telah menjalankan pelbagai transformasi dalam dunia pendidikan, TVET khususnya, dunia tidak pernah berhenti daripada mengalami revolusi demi revolusi dalam pelbagai dimensi.

“Ternyata, Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0) yang sedang melanda dunia hari ini, pastinya akan meninggalkan kesan dan tempiaskepada negara kita,” katanya.

Kata beliau lagi, cabaran bukan sahaja merangkumi pertumbuhan dan industri tetapi mencakupi perkara berkaitan tadbir urus, ekonomi, norma sosial, budaya, moral dan etika.

“KPM perlu merangka dasar pendidikan dan pelan tindakan mengenai Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR4.0), justeru sebagai pendukung transformasi pendidikan teknik dan vokasional KPM khususnya BPTV haruslah bersiap siaga mendepani cabaran tersebut.

“IR 4.0 secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan serta keseimbangan perolehan dan agihan pendapatan.

“IR 4.0 ini dilihat dapat mengatasi masalah kebergantungan terus kepada sumber tenaga kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, robotik, Internet of Things (IoT), kenderaan elektrik, percetakan tiga dimensi, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum,” jelasnya.

REAKSI

1) “Saya pilih kemahiran ini kerana minat, tambahan pula memang bagus kerana pelbagai latihan didedahkan kepada pelajar secara langsung, dan ini beri kami pengalaman sebelum buat latihan industri dan melangkah ke alam pekerjaan.”

- Nurliana Syafiqah Mohd Akmal

Jurusan Pengurusan Perniagaan

Kolej Vokasional Kajang

 

2) “Saya masuk kolej ini fokus kepada bidang yang saya minat. Saya minat pengurusan perniagaan dan saya memilih untuk belajar lebih dalam bidang ini kerana saya mempunyai impian suatu hari nanti ingin membuka sebuah kedai komputer dan mewujudkan jenama komputer sendiri.”

- Azrill Muhammad Hakimi Shahril

Jurusan Pengurusan Perniagaan

Koleh Vokasional, Kajang

 

3) “Syarikat kami akan menyediakan tempat latihan industri kepada pelajar KV dan apa yang pihak kami akan buat adalah memberi pendedahan awal seperti mana mereka belajar di sekolah dan kena tunjukkan kebolehan yang ada apabila masuk ke alam pekerjaan. Bukan sahaja itu, masa latihan industri nanti pihak kami akan membenarkan pelajar memilih sendiri di bahagian mana mereka jalani latihan berdasarkan kemampuan dan kemahiran sedia ada.”

- Khairul Faizy Paimin

Pengarah Urusan

Industri Heritage Forte Sdn Bhd

 

4) “Kita akan cuba bantu pihak BPLTV untuk mengadakan latihan industri kepada pelajar KV bagi pendedahan di peringkat awal dan sekali gus BPLTV dapat melahirkan tenaga kerja yang berkualiti dan mungkin akan berkerja di syarikat kami suatu hari nanti.”

- Datuk Khairil Adri Adnan

Ketua Pegawai Eksekutif

Industri DreamEDGE Sdn Bhd

 

5) “Kerjasama erat antara pihak kolej dan industri mampu memberi impak kepada pelajar kerana pelajar mendapat penempatan latihan industri, pensyarah KV turut berpeluang berkongsi peralatan dengan pihak indsutri untuk kegunaan pembelajaran di dalam kelas.”

- Liyana Hanim Che Ibrahim

Guru Kaunselor

Kolej Vokasional, Kajang

Artikel Menarik:

Mulai tahun 2020, pakej mata pelajaran baharu bagi Tingkatan Empat dan Lima diperkenal KPM

Pakej mata pelajaran tingkatan 4 tahun hadapan yang perlu guru tahu... pelajar mudah faham

Pakej mata pelajaran menengah atas mulai tahun 2020