Bagaimana sesi persekolahan murid-murid hari ini?

Tentu adik-adik seronok dan tak sabar untuk bercerita kepada ibu bapa masing-masing.

Daripada sisi ibu bapa pula, penulis yakin, semuanya sudah buat yang terbaik dan telah mematuhi prosedur operasi standard SOP yang telah ditetapkan.

Cikgu Mohd Fadhli menerusi perkongsian di telegramnya ada memuat naik posting berkaitan empat adab yang perlu mak ayah terangkan pada anak.

Adab-adab tersebut adalah

1) Adab makan

2) Adab masuk tandas

3) Adab dengan rakan

4) Adab dengan guru

GPS Bestari sertakan huraian penuh bagi setiap adab sebagai rujukan buat mak ayah.

Ia boleh diterangkan pada anak-anak sebelum mereka ke sekolah, pada esok hari.

Semoga bermanfaat.

1) Adab makan

Ajar anak-anak kita adab makan. Makan jangan bersepah. Makan biar habis. Jangan membazir. Paling penting makan ketika lapar berhenti sebelum kenyang.

Bila perut kenyang seadanya barulah dapat belajar sebaiknya. Jika perut terlalu kenyang, anak akan mengantuk. Jika perut kosong sangat, anak tak selesa nak belajar.

2) Adab masuk tandas

Ajar anak-anak agar buang air dengan sempurna. Baca doa dan langkah kaki kiri keluar kanan. Ini wajib.

Paling wajib, jaga baju, seluar atau kain agar tidak kena najis. Bersihkan kemaluan dengan bersih. Jangan kencing berdiri.

Paling penting 'flush' setelah buang air kecil atau air besar.  

3) Adab dengan rakan

Ajar anak bersosial. Hormati orang lain. Beritahu anak, jangan ambil barang yang bukan hak milik dia.

Bercakap pula dengan suara yang rendah dengan kawan-kawan. Jangan terjerit-jerit.

Pendek kata latih anak adab bercakap.

4) Adab dengan guru

Ini paling penting. Biasakan anak bila guru panggil jawab 'Yer saya'. Peka dengan arahan guru. Buat apa yang di suruh.

Ajar juga anak ringan tulang. Bila nampak cikgu bawa barang banyak, ajar anak 'offer' kan diri untuk menolong.

Paling penting bila selisih dengan guru beri salam dan senyum.

Semoga anak-anak kita menjadi anak yang beradab. Adab dan nilai adalah utama sebelum ilmu pembelajaran dipelajari.

Ilmu pembelajaran boleh di isi bila-bila masa. Namun adab payah nak dilentur apabila rebung telah menjadi buluh.

Sumber: Telegram Nota Cikgu Mohd Fadhli