MENJADI hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia untuk melihat warga Malaysia mengamalkan tingkah laku sihat dan bebas dari segala jenis penyakit. Malangnya ia seumpama mimpi di siang hari.

Kita sering dikejutkan dengan isu demam denggi, obesiti, diabetes, darah tinggi keengganan mengambil vaksin dan berbagai lagi isu kesihatan lain yang berlegar di media.

Namun, ianya bukanlah bermakna usaha-usaha itu perlu berakhir disitu. Malah usaha berterusan terus diambil, tidak cukup kepada masyarakat secara umum, aktiviti mempromosi kesihatan turut digiatkan kepada murid sekolah.

Salah satu daripadanya ialah Program Doktor Muda atau dikenal sebagai Kelab Doktor Muda.

Program yang dilaksanakan hasil kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia ini telah dilaksanakan sejak 30 tahun yang lalu.

Dikenal sebagai Kelab Doktor Muda, ianya merupakan aktiviti mempromosi kesihatan yang diangkat sebagai aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah rendah dan menengah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pemilihan ahli dibuat berdasarkan perlembagaan Kelab Doktor Muda dimana ianya dibuat berdasarkan kriteria seperti minat, kemas, sihat, memiliki ciri-ciri kepimpinan, bertanggungjawab, berpersonaliti menarik, berpengaruh, suka menolong dan mendapat kebenaran ibu bapa.

Persoalannya sejauh manakah mereka ini mampu untuk membantu dalam mempengaruhi rakan sebaya dalam mengamalkan tingkah laku sihat dan seterusnya mewujudkan persekitaran sihat di sekolah?

Melihat kepada situasi semasa kesihatan seperti tingkah laku merokok, obesiti, penyalahgunaan bahan, amalan pemakanan yang semakin membimbangkan, mampukah kumpulan yang digelar sebagai Doktor Muda ini berperanan sebagai pembimbing rakan sebaya?

Suhaili.

Guru Penasihat Kelab Doktor Muda SBT Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Biram Pekan, Suhaili Samsuddin berkata, pemilihan ahli Doktor Muda di sekolah dibuat berdasarkan pemilihan yang ketat.

"Selain menggunakan perlembagaan sebagai rujukan, sekolah juga turut menjalankan ujian kelayakan agar murid yang dilantik sebagai Doktor Muda ini benar-benar layak untuk bertindak sebagai Pembimbing Rakan Sebaya.

"Selepas pemilihan dibuat murid ini akan dilatih mengikut modul latihan yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang dilaksanakan pada setiap waktu perjumpaan kokurikulum (seminggu sekali)," katanya.

Selaku Guru Penasihat, kata Suhaili, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan ahli Doktor Muda itu mempunyai ciri-ciri kredibiliti apabila menyampaikan maklumat kepada rakan sebaya, mereka perlu dilihat sebagai seorang yang boleh dipercayai, kompeten, mempunyai daya tarik, dan berpengetahuan agar dapat menarik perhatian dan kebolehpercayaan rakan sebaya.

"Manakala dari aspek pelaksanaan aktiviti ianya dilaksanakan mengikut masalah kesihatan sekolah.

"Antara contoh yang diberi keutamaan ialah masalah obesiti, kesihatan pergigian dan pemakanan sihat. Sebagai contoh aktiviti Fit Together (FITTO) yang dilaksanakan di sekolah pada akhirnya merekodkan 80% peserta mengamalkan pemakanan sihat berdasarkan pelan pemakanan yang dibekalkan oleh ahli Doktor Muda dan 95% peserta mengikuti aktiviti senaman yang dianjurkan," katanya.

Katanya lagi, bagi aktiviti SMILE ( aktiviti kesihatan pergigian) merekodkan 100% murid yang mempunyai masalah pergigian mengikut setiap aktiviti dan menggosok gigi di sekolah dan 85% daripada mereka pula turut menggosok mengikut jadual di rumah.

"Ini membuktikan bahawa ahli KDM di sekolah beliau sememangnya berkredibiliti kerana mampu untuk memberi arahan keda rakan sebaya dan arahan tersebut diikuti oleh rakan sebaya," jelasnya.

Menurut beliau, beberapa ahli Doktor Muda SBT SK Seri Biram telah dinobatkan sebagai penerima Tokoh Doktor Muda Peringkat Kebangsaan dan yang terbaru adalah pada tahun 2018.

"SBT SK Seri Biram juga telah dinobatkan sebagai Pusat Kecemerlangan Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan, penerima Anugerah Sekolah Cemerlang KDM Kebangsaan dan telah beberapa kali menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Kebangsaan.

"Hasil kejayaan Kelab Doktor Muda di peringkat kebangsaan itu membolehkan saya mengembangkan sayap Kelab Doktor Muda ke peringkat antarabangsa.

"Antara negara yang telah menjalin kerjasama dengan Kelab Doktor Muda SBT SK Seri Biram ialah Indonesia, Singapura, Brunei, Cambodia dan Thailand.  Ekoran kejayaan itu, Kelab Doktor Muda merupakan aktiviti kebitaraan sekolah.. kejayaan sebegini tidak mungkin dapat diperolehi tanpa kecemerlangan ahli Kelab," ujarnya.

Justeru, Suhaili menasihatkan orang ramai agar lebih baik sama-sama menjaga kesihatan dan mengamalkan tingkahlaku sihat berbanding mempersoalkan kredibiliti ahli KDM.

Azizah Ahli Kelab Doktor Muda sekolah ketika menyertai Program Zoomers Kelab Doktor Muda Negeri Perak baru-baru ini.
 

Sementara itu, Guru Penasihat Kelab Doktor Muda SK Seri Iskandar, Perak, Azizah Yahya, berkata Kelab Doktor Muda antara kelab yang menjadi rebutan di sekolah beliau, justeru pemilihan ahli Doktor Muda perlu dibuat dengan sebaik yang mungkin agar murid yang dipilih benar-benar mampu menjadi pembimbing rakan sebaya yang berkredibiliti.

"Tiga kaedah pemilihan ahli digunakan di sekolah kami, permohonan dari murid yang berminat, pencalonan oleh guru kelas dan akhir sekali satu sesi temuduga akan dibuat dalam memilih keahlian.

"Kaedah ini dibuat agar mereka yang terpilih merupakan murid yang benar-benar layak untuk bertindak sebagai Pembimbing Rakan Sebaya," jelasnya.

Kata Azizah lagi, tiada isu kredibiliti Doktor Muda yang perlu dipersoalkan memandangkan Guru Penasihat juga telah dilatih oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan murid pula akan dilatih menggunakan modul latihan yang dibekalkan pada setiap waktu kokurikulum yang ditetapkan.

"Dalam memastikan Doktor Muda di sekolah berfungsi dengan baik, pihak sekolah turut melaksanakan latihan tambahan seperti Kursus Pembimbing Kesihatan Rakan Sebaya, Kem Kesihatan, Latihan Mentor dan Kursus Kepimpinan Kelab Doktor Muda.

"Dengan kursus yang diadakan ini tiada sebarang isu kredibiliti yang boleh dipersoalkan," katanya.

Menurutnya, SK Seri Iskandar juga telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sekolah Cemerlang Kelab Doktor Muda Peringkat Negeri, Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum Peringkat Kebangsaan dan pencapaian terbesar kami ialah kami telah dinobatkan sebagai Pusat Kecemerlangan Kelab Doktor Muda Peringkat Kebangsaan.

"Saya melihat kredibiliti ahli KDM menerusi penganjuran aktiviti Jom Cergas adalah yang telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya oleh pasukan instruktor kecergasan Doktor Muda sekolah.

"Pada peringkat  awal tumpuan diberikan kepada  sesi senamrobik dan senam sihat sahaja. Namun mulai Julai 2018, Doktor Muda telah melaksanakan projek intervensi rakan berat badan unggul bertujuan untuk mengurangkan kumpulan rakan sebaya yang obes," katanya.

Kata Azizah, hasil 3 bulan projek ini dilaksanakan, didapati usaha kumpulan projek intervensi ini berjaya membantu 2 orang rakan yang obes untuk menurunkan berat badan mereka.

"Pada masa yang sama 95% rakan sebaya telah didedahkan kepada aktiviti kecergasan fizikal di mana pasukan senamrobik Doktor Muda mendapat  sambutan hangat setiap kali membuat  aktiviti.

"Kejayaan ahli Kelab dalam pertandingan intervensi tingkah laku kesihatan di peringkat negeri dan kebangsaan juga membuktikan kemampuan ahli Doktor Muda tidak perlu dipersoalkan," ujarnya.

Menurut beliau, mereka hanyalah dalam kalangan murid berusia 10 hingga 12 tahun, berperanan sebagai pembimbing rakan sebaya itu adalah aktiviti sampingan kerana keutamaan adalah kepada pembelajaran, justeru kelemahan itu tetap akan ada tetapi komitmen yang mereka berikan itu harus diberi sokongan dan penghargaan.

"Bukan mudah untuk mengubah tingkah laku seseorang. Orang dewasa juga belum tentu dapat mengubah tingkahlaku orang dewasa yang lain," katanya.

Menurut kedua-dua guru penasihat adalah terlalu berat untuk mempersoalkan kredibiliti Doktor Muda. Ini kerana Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek latihan kepada semua Guru Penasihat berdasarkan Modul Latihan dan Garis Panduan yang disediakan.

Program Doktor Muda.

Doktor Muda akan dilatih pada pada setiap waktu ko-kurikulum di sekolah merangkumi skop kesihatan yang ditetapkan seperti aktiviti fizikal, makan secara sihat, tidak merokok, pengendalian stres, kenali ubat anda, penjagaan kebersihan diri, penjagaan kebersihan persekitaran dan nilai-nilai murni malah turut diterapkan kepada Doktor Muda cara untuk berkomunikasi dan penampilan diri semasa melaksanakan aktiviti bersama rakan sebaya.

Maklumat yang disampaikan pula adalah berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam Modul latihan. Justeru isu kredibiliti maklumat juga tidak perlu dipertikaikan.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah usaha berterusan untuk mempromosi cara hidup sihat kepada setiap murid di sekolah. Tanpa usaha berterusan mereka percaya hasrat Kementerian ini tidak akan tercapai.

Melihat kepada usia program yang telah memasuki tahun ke 30 dan pertambahan sekolah dari tahun ke tahun merupakan petanda bahawa pelaksanaan Kelab Doktor Muda ini telah diterima dan secara tidak langsung mebuktikan kredibiliti Doktor Muda dan kelab itu masih relevan untuk dilaksanakan.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga kini pelaksanaan program promosi kesihatan sekolah ini telah melibatkan sejumlah 3286 buah sekolah rendah dan 577 buah sekolah menengah di seluruh negara. Sehingga kini pelakasanaannya turut mendapat sokongan daripada agensi swasta untuk mempromosikan amalan cara hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak. Justeru usaha murni ini seharusnya diberikan sokongan berterusan agar negara benar-benar dapat melahirkan generasi yang sihat.

 

 

Mohd Razif Zakaria

Pelajar Kedoktoran (PhD), Universiti Kebangsaan Malaysia

Juga merupakan Ketua Penolong Pengarah di Kementerian Kesihatan Malaysia.